Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Apa yang Mengganggu Pengarang?

Yang mengganggu pengarang itu banyak. Umpamanya, pada Pak Arenawati: bau belacan bakar di dapur. Pada Pak Asraf: alunan lagu keroncong di rumah jiran. Pada Pak Sako: rentak joget moden di radio. Dan pada Usman Awang: bunyi loceng penjual aiskrim di depan rumah. Namun, karangan mesti disiapkan juga.

-CATATAN, halaman 10.

Sebarang pendapat atau komen? Sila lontarkannya di ruangan komen.

Hadiah Sastera dan Kembara

Fikir-fikir, pasti ada cara lain yang lebih imaginatif dan penuh rangsangan daripada memberikan wang yang cepat habis kepada penyair-penyair muda yang memenangi hadiah sastera, terutamanya kepada orang seperti aku ini yang paling suka keluar mengembara. Alangkah baiknya kalau bisa diatur; aku dikirim ke Bhutan, ke Fiji atau ke Iceland, atau kalau bisa terus saja ke Brazil bertemu dengan kaum kerabat Neruda, Paz, Borges, dan penyair-penyair Latin yang lain. Mana tahu, aku bisa pulang daripada "pelayaran puisi" itu nanti dengan satu dua antologi puisi yang penuh "duende"?

-CATATAN, halaman 24.

Sebarang pendapat? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Dunia Buku: Kelana Minda Latiff Mohidin

Oleh HAFIZAH ISZAHANID

INFO
Tajuk buku :
Catatan Latiff Mohidin
Keluaran : Maya Press Sdn Bhd
Halaman : 397
Bintang : ****
Harga: RM36.00

Penulis Sungai Mekong rakam pengalaman dan perasaan
ABDUL Latiff Mohidin mungkin satu-satunya seniman yang memiliki sentuhan magis serba menjadi. Antara puisi dan catan, Latiff mengungguli kedua-duanya. Jika Syed Ahmad Jamal menzahirkan Sidang Roh, sedutan dari sajak Kassim Ahmad manakala Ibrahim Hussien menghasilkan Pak Utih, ilham lewat karya Sasterawan Negara (SN), Usman Awang, Latiff merungkai sendiri makna lewat puisi Sungai Mekong dalam Siri Pago-Pago dan Siri Langkawi.

Setiap apa yang terlintas di benaknya selama aktif dalam dunia seni, terakam dalam Catatan Latiff Mohidin keluaran Maya Press. Bagi penggemar Latiff, buku ini adalah kitab yang wajar dimiliki. Ia bukan buku fiksyen, jauh sekali esei atau merakam proses pengkaryaan puisi atau catan. Sebaliknya ia hanyalah catatan pendek yang merangkumi pelbagai topik tentang sastera, puisi, filem dan budaya. Tidak ketinggalan 84 halaman peribadi yang memperlihatkan sisi lain Latiff.

Seperti diketahui, Latiff adalah lulusan seni halus dari Akademi Seni Halus di Berlin, Jerman pada pertengahan 1960-an. Malah, Latiff juga pernah terdidik dalam lingkungan pengajian yang sama di Atelier La Courrier, Paris, pada 1969 dan di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat.

Justeru tidak hairan, pengaruh dan pengalaman di barat banyak sekali diterjemahkan dalam karya. Malah dalam beberapa catatannya, memperlihatkan kekaguman Latiff pada pemuisi Bohemian Austria, Rainer Maria Rilke. Kekaguman itu dapat difahami kerana Rilke adalah pemuisi Jerman terpenting. Selain Rilke, Latiff turut mencatat kekagumannya pada Johann Wolfgang von Goethe, penulis yang dianggap sebagai genius dalam kesusasteraan Jerman, selain Gunter Eich dan Bertolt Brecht.

Bagaimanapun, Latiff sedikit terkilan kerana kehebatannya dalam seni halus ada kalanya dijadikan cara termudah bagi pengkritik untuk mengetepikan puisi-puisinya. Jelas Latiff jika ada antara puisinya yang tidak difahami, ‘mereka terus saja lepas tangan. Ditolak dan disingkirkan sajak-sajakku ke daerah seni lukis. Ah, ini daerah surelisme, kata mereka. Dengan demikian tertutuplah kemungkinan segala ruang metamorfosisinya’ (halaman 165).

Begitupun, sejauh mana pun sajak-sajaknya tersingkir lewat ketidakfahaman itu, puisi-puisinya masih memiliki magis yang membolehkan Latiff dinobat sebagai penerima anugerah penulisan di peringkat Asia Tenggara (SEA Write) pada 1984.

Meskipun handal dalam kedua-dua bidang seni, buku ini menjelaskan sebenarnya Latiff tidak mempunyai masa yang khusus untuk berkarya. Sebaliknya Latiff menegaskan masa berkarya itu akan datang sendiri mengikut kesesuaian, keselesaan, kelapangan dan kebiasaan. Bagaimanapun menghasilkan karya kreatif dan catan bukanlah kerja mudah, ‘tidak mudah melompat dari petak lukisan ke rentak puisi, dari lapisan rona warna ke urutan kata-kata’ halaman 185.

Di dalam buku ini juga, Latiff ada mencatatkan mengenai gaya penulis muda zaman itu (sekitar 1970-an) yang terlalu gemar bermain dengan kata-kata dalam karya walaupun sesetengahnya tidak ada makna.

Penulis muda zaman itu katanya (dan masih wujud juga pada zaman ini) gemarkan pemilihan kata berkerawang, berbunga-bunga. Sedangkan diksi dalam puisi haruslah tepat untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Catatan itu dibuat lebih dari dua kali yang menjelaskan betapa Latiff terganggu membaca karya sebegitu. Pada Latiff, biarlah sajak miskin kata-kata asalkan kaya raya tafsirannya.

“Akhirnya yang akan dikenang oleh pembaca ialah kesan daripada isi sesuatu karya; bukan gaya, bukan teknik. Akhirnya yang akan sampai ke hati ialah getaran kata daripada benda yang biasa, (tetapi terasa aneh, terasa luar biasa) halaman 342.

Latiff juga mencatatkan maksud penulisan yang konsisten itu adalah mutu karya juga berganda hebat bukan mengulang yang itu-itu juga, kalau demikian lebih baik berhenti menyair.

Catatan Latiff turut memperlihatkan keakrabannya dengan Usman Awang, Lat dan Datuk Baharuddin Zainal (disebut sebagai Baha di dalam buku ini). Turut dicatatkan adalah keluh kesahnya membuat kerja terjemahan yang sukar. Satu catatan yang menarik adalah kisah dia bersengkang mata bersama-sama Usman Awang di Art Print, Jalan Riong bagi menyambut kelahiran sulung Dewan Sastera pada 13 Januari 1971. Detik itu disifatkan sebagai menanti anak sulung yang mana, Usman Awang adalah bidannya dan dia pembantu bidan.

Latiff, sejak kecil diketahui sebagai ‘budak ajaib’, namun tiada catatan mengenai kisah remajanya dalam buku ini cuma sesekali Latiff menulis segala pesanan ibu dan bapanya. Bagaimanapun, ada baris yang mencatatkan mengenai perantauannya yang disifatkan oleh Latiff (yang lahir dalam keluarga Minang) sebagai cara untuk memerdekakan diri.


*******

Bakat pelukis, penyair dan penterjemah

ABDUL Latiff Mohidin adalah fenomena dunia seni di Malaysia. Lahir pada 20 Ogos 1941 di Seremban, Negeri Sembilan, Latiff mula berpuisi pada 1963 dan mendapat pendidikan formal dalam seni halus di barat. Justeru, karya Latiff sama ada catan atau puisi sisi romantisme artis barat dapat dikesan dalam karyanya.

Mungkin, puisi Latiff yang paling terkenal adalah Sungai Mekong yang kemudian dijadikan tajuk antologi puisi pada 1972 dan mungkin juga catannya yang paling diingini oleh pengumpul adalah Pago-Pago, namun kebanyakan karya Latiff memiliki keunikan tersendiri. Jika dilihat lebih terperinci, Latiff sebenarnya lebih gemar berkarya mengenai isu masyarakat dan alam setempat, sedaya upaya mengelak untuk berbicara soal politik.

Dalam pengembaraannya, antara 1962 dan 1983, Latiff berkesempatan mengadakan pameran catan di sekitar Jerman; Berlin, Frankfurt, Hamburg selain Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London.

Dalam dunia sastera, Latiff pernah memenangi banyak anugerah sastera dan antaranya Hadiah Karya Sastera/Hadiah Sastera Malaysia, Anugerah Puisi Putera 1 anjuran Bank Bumiputera serta GAPENA selain Anugerah Penulisan SEA.

Selain melukis dan menulis, Latiff juga membuat kerja penterjemahan karya Tagore, Rumi, Omar Khayyam, Loa Tzu dalam bahasa Melayu

(Resensi ini diterbitkan di ruangan Sastera, Berita Harian, 6hb Mei 2011.)

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.