Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

[Ulasan] "Catatan" dan "Catatan Dua Baris" Latiff Mohidin

Oleh: ANWAR RIDHWAN

“But I know life is simple, however complex the organism may be; and everything goes to pieces when the living truth of the central simplicity is lost.” Rabindranath Tagore, Letters to a Friend.

I
Sarjana Perancis, Francois Rene-Daillie yang juga pengkaji pantun Melayu, dalam bukunya Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) memberikan tanggapan tentang hubungan pengalaman dengan pengkaryaan. Ujarnya:

“I have always conceived literature as an adventure that is, something that happened to you, that you have to go through, a series of events in which you get more or less deeply involved, happenings which have an impact on your intellect, your spirit, or even better, on your whole being, body, heart and brains. The adventure can be as brief as the explosion of surprise of the haiku, as long and complicated in its development and gradual in its action upon you as the novel as its best.”

Tanggapan tersebut boleh kita terapkan untuk menghubungkan pengalaman Latiff Mohidin dengan pengkaryaan seni visual, seni puisi, serta dua buah buku terbaharunya. Alam dan kehidupan adalah dua unsur yang sangat erat dengan pengkaryaan Latiff kerana alam dan kehidupan memberikan ruang kepada perkembangan pengalaman serta pengetahuan.
Pengalaman biasanya akan menambah pengetahuan dan “rasa” yang dikutip secara formal (umpamanya melalui pendidikan), ataupun secara tidak formal (umpamanya melalui pengembaraan, pembacaan dan tontonan). Dalam konteks seni visual, pengalaman Latiff dan kembaranya membentuk rasa, rupa dan jiwa tiga cabang seni visual yang dikuasainya, iaitu cat minyak, ukiran arca, dan goresan cetak, seperti karya-karyanya dalam siri “Pago-Pago”, “Mindscape”, dan “Langkawi”. Namun begitu, tulisan ini tidak akan menyentuh lebih lanjut sumbangan Latiff dalam seni visual kerana akan lebih memberikan fokus kepada dua buah buku terbaharunya, iaitu Catatan dan Catatan Dua Baris.
Latiff dilahirkan pada tahun 1941. Hal ini beerti beliau menempuh zaman remaja dalam era sebelum kemerdekaan. Namun, bakat tidak mengenal era. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika sejak sekitar tahun 1952, beliau mendapat gelaran “Boy Wonder” kerana bakatnya dalam bidang seni lukis. Bakat itu, disamping motivasi yang tinggi serta dokongan kewangan telah menghantarnya ke Hochschule fur Bildende Kunste di Jerman, seterusnya ke Atelier La Courriere di Perancis, dan Pratt Graphic Centre di Amerika Syarikat.
Negara tersebut terutamanya Jerman dan Perancis, memiliki tradisi seni, sastera, dan falsafah yang panjang, kukuh, serta mempengaruhi perkembangan estetik dan pemikiran Eropah moden, yang kemudian mengalir pula ke tanah-tanah jajahan mereka, serta negara lain. Puisi Eropah, khususnya karya penyair-penyair Perancis, seperti Charles Baudelaire, Arthur Rimbaud dan Stephane Mallarme, sedikit sebanyak telah mempengaruhi kepenyairan Latiff.
Pedidikan seni di Jerman dan Perancis cenderung ke arah pendekatan yang holistik. Warna pengajian sejarah seni dicampurkan dengan rona sejarah falsafah, psikologi, sastera, dan dilakar bersama-sama cabang ilmu elektif yang mendorong penjanaan visual yang kaya teknik dan kaya lapisan makna. Latiff, sehubungan itu bukan sahaja menguasai bahasa Jerman dan nuansanya, malahan bidang seni visual, serta dunia sastera khususnya dalam genre puisi. Sebagai seniman visual gerak, dan rentaknya terpancar dalam puisi-puisinya.
            Puisi-puisinya turut menjadi dewasa kerana hasil kembara seninya ke dalam bait-bait puisi mempesona yang turut diterjemahkannya: Gitanjali (Tagore), Rubaiyyat (Omar Khayam) di samping puisi-puisi klasik Tao Te Ching karya Lao Tzu. Kemudian, mempengaruhi Latiff untuk mencipta ungkapan ringkas dan padat yang berkecenderungan pemikiran atau falsafah, sebagaimana mereka, seperti yang terpancar dalam dua buah buku terbaharunya.
            Puisi-puisi Melayu tahun 1950-an dan 1960-an, yakni dekad-dekad yang belum merakamkan kemasukan Latiff dalam genre ini, pada umumnya sarat dengan mesej atau amanat. Tema nasionalisme dalam pelbagai cabang kehidupan, juga tema pengisian kemerdekaan, mendominasi kebanyakan puisi. Tema ini padat kata-kata, dan kadang kala penuh retorik, hingga yang lebih diutamakan ialah aspek pemikiran yang abstrak. Tiada salahnya puisi-puisi seperti ini, selagi dicipta bedasarkan strategi puisi yang menekankan keringkasan, kepadatan, keindahan serta kejayaan amanat yang mengetuk emosi serta pemikiran pembaca.
            Namun begitu, melalui puisi-puisinya Latiff berusaha menawarkan lebih daripada itu. Melalui kata-kata, beliau berusaha untuk memvisualkan imejan di samping menawarkan pemikirannya. Hal ini turut terlihat dalam dua buah buku terbaharunya, Catatan dan Catatan Dua Baris. Karya-karya ini memperlihatkan keterikatannya pada akar budaya, konsep ”sedikit itu mewah” serta kecenderungan yang berinti falsafah kehidupan.

II
Buku Catatan (Petaling Jaya: Maya Press, 2010) didedikasikan demikian, Latiff secara sedar meletakkan dua kategori penulis, iaitu penulis muda dan golongan penulis yang tidak lagi muda (termasuk dirinya). Dedikasi dan kategori sedemikian meletakkannya pada kedudukan yang mewajarkannya untuk (berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang ditempuhnya) menyampaikan sesuatu kepada penulis muda. Dalam konteks kandungan buku ini, sesuatu itu berupa catatan-catatan pendek yang seringkas satu baris, atau lebih sedikit sahaja. Ungkapan mutiara katanya, disampaikan dengan gaya seorang guru yang ingin bersikap informal, merendah diri, dan hemat kata-kata. Atau dalam ayat Latiff sendiri dalam “Haluan Kata” atau penghantar buku ini: “Catatanku - semua ini – seperti bercakap kepada diri sendiri…”
            Kandungan Catatan dibahagikan ke dalam 11 bahagian, iaitu “Sastera Umum”, “Sastera Lokal”, “Sastera Luar”, “Bahasa”, “Pantun dan Pepatah”, “Puisi Umum”, “Puisi Khas”, “Puisi LM”, “Teater dan Filem”, “Seni dan Budaya”, dan “Peribadi”.
            Dalam bahagian “Sastera Umum” terdapat 55 catatan. Bahagian ini menurunkan catatan tentang sastera secara umum. Contohnya, catatan pendek yang berjudul “Tragedi Penulis: Tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang.” Atau yang lebih panjang: “Setiap 20 Hingga 25 Tahun: Sekurang-kurangnya setiap 20 hingga 25 tahun, bentuk seni (terutamanya seni sastera) menjadi beku lalu nazak. Maka perlu ada suntikan ajaib atau mujarab pada bentuk dan isinya – suatu perubahan besar oleh sesuatu angkatan baru ataupun individu. Jika tidak, sastera, dan genre lainnya akan kehilangan ruang untuk para peminat tulen.”
            Dalam “Sastera Lokal”, Latiff menurunkan 72 catatan. Bahagian ini tidaklah menurunkan catatan tentang sastera tempatan atau lokal sahaja. Takrifannya meluas kepada sastera Indonesia kerana Latiff turut membuat catan tentang Hamka, Chairil Anwar, dan sebagainya. Malahan beliau mencatatkan tentang penyair Rusia, Yevtusheko, yang pernah dating mendeklamasikan puisinya di sini, di “dewan yang setengah kosong atau setengah penuh.”
            Bagi penulis lokal yang mula mencipta nama dalam tahun 1970-an, maaflah kerana tiada catatan tentang anda. Latiff lebih terpesona hanya kepada beberapa nama, termasuklah Jymy Asmara (…”tidak dapat kita bayangkan wujudnya ASAS 50 tanpa kebaikan dan kegigihan penulis bernama Jaafar bin Haji Muhammad atau yang lebih dikenali sebagai Jymy Asmara”), Usman Awang (“Sebagaimana seorang ayah mengimpikan kelahiran seorang anak, begitu pulalah tokoh generasi ini mengimpikan kelahiran generasi akan datang dengan penuh harapan dan cemas. Tadi Usman Awang Tanya lagi, ‘Bagaimana agaknya bentuk sastera penulisan kita kemudian nanti?) juga Rahim Kajai (“Buat para cerpenis, surat khabar ialah wadah, ruang yang paling lumayan sejak zaman Kajai”).
            Sasterawan lokal lain yang mendapat perhatian Latiff ialah Pak Sako (“Padaku, unsur yang paling menarik dalam novel Pak Sako Anak Mat Lela Gila (1941) ialah unsur grafik; jelas kelihatan tidak saja pada sosok watak bernama Bulat, tetapi juga pada apa jua yang berbentuk bulat di sekeliling kampungnya…”), A. Samad Said, dan Ahmad Rashid Talu (“Benarkah Salina tak merukun tetangga, maka itu dapat nombor dua? Iakah Salmah? Pakai baju Bandung, naik beca tak bertudung?”), Keris Mas (“Menyambut dan mengisi kemerdekaan yang kami perjuangkan pastilah lebih mudah …Nah, jagalah, isilah ia…itu tugas generasi kalian”) , Arena Wati (“Dia berbicara tentang nada atau irama, tentang sudut, tentang ruang… Dia adalah seorang pelaut.”) dan Baha Zain dengan memetik sebahagian kandungan suratnya kepada Latiff yang ditulis dari Jakarta.
            Kandungan “Sastera Luar” memuatkan 69 catatan. Menepati judulnya, catatan tersebut berbicara tentang ruang lingkup sastera yang merentas zaman, sejak terciptanya Tao Te Ching karya Lao Tzu (“Bunyinya seperti pepatah Minang. Umpamanya: yang nyata dan yang ghaib datang beriringan / susah dan senang saling melengkapi / panjang dan pendek saling membentuk / tinggi dan rendah saling mengisi / suara dan bunyi saling melaras / depan dan belakang saling menyusuri”) hinggalah kepada karya yang lebih moden, seperti Mr. Biswas oleh V.S.Naipaul (“…walaupun kehidupan dan kisah Mr. Biswas berlaku di Trinidad, jauh dari benua Asia, acap kali kubayangkan bahawa ‘rumahnya’ itu seolah-olah berada di belakang rumahku, di suatu kawasan orang India.”)
            Dalam bahagian ini banyak sekali renungan yang mendalam, sama ada oleh Latiff sendiri (cetusan daripada pendapat atau karya sasterawan dunia. Beliau juga mengungkapkan pemikiran tentang aliran dalam sastera, proses mengarang, keperibadian pengarang, karya-karya besar dunia, karya sufisme, masalah penterjemahan karya sastera, dan sebagainya.
            Bahagian “Bahasa” memuatkan 29 catatan pemikiran seputar isu bahasa Melayu: tokoh-tokohnya, keajaiban nuansanya, hinggalah, kepada cabaran-cabaran semasa yang boleh menggugat bahasa Melayu dan jati diri penutur aslinya. Umpamanya:

PEPATAH BARU
“Pepatah batu yang kita ciptakan termasuklah segala ragam dan jenis slogan / semboyan / congan kata; walaupun terasa kasar, masih mempunyai pesan tertentu sebagai cermin kehidupan kita hari ini.”

SEBATANG “POHON BAHASA”
“Di halaman rumah kami ada sebatang pohon, ‘pohon bahasa’ namanya. Dahannya pepatah. Rantingnya pantun. Pada daun-daunnya beruntaian tamsil, ibarat, gurindam, dan seloka …”

Turut mendapat perhatian Latiff ialah “Pantun & Pepatah” yang memuatkan 26 catatannya. Beliau amat menghargai warisan seni puisi tradisional ini, yang telah dicipta sejak kewujudan bangsa Melayu, yang menggunakan atau menzahirkan kebijakan serta tunjuk ajar, melalui ungkapan yang puitis lagi padat.
            Antaranya yang menarik termasuklah “Daripada Dua Pusaka”. Melalui catatan ini, Latiff memperlihatkan semacam adanya persamaan ungkapan daripada dua bangsa dan dua budaya:

Kata pusaka Minang:
Tukang tak membuang kayu
Gemuk tak membuang lemak
Besar jangan melenduh
Panjang jangan melindis.

Kata Pusaka Tao-China:
Tukang tak membazirkan banir
Yang lempung diikat erat-erat
Yang nipis disususn lapis-berlapis.
           
            Latiff juga menurunkan takrifan serta contoh pameo (yang menurut Latiff: Sejenis peribahasa yang seakan-akan tumbuh seiring dengan perumpamaan. Tetapi sifatnya lebih dekat dengan sifat pepatah berlawanan. Kadangkala kedengaran seperti kalimat yang berbentuk sindiran, tetapi sebenarnya mempunyai isi yang berbentuk songsang. Kalimatnya menyarankan hal-hal yang tidak mungkin terjadi):

PAMEO PAK MURI
Berjalan seorang, hendak dahulu
Berjalan berdua, hendak di tengah.

            Catatannya juga sensitif terhadap kehilangan kosa kata dalam peribahasa, akibat peredaran zaman. Beliau mengutip peringatan mamaknya terhadap gejala ini: “Apabila sesuatu rangkap daripada kalimat peribahasa kita itu hilang, maka dengan serta merta suaranya, rentaknya, ruangnya dan malah lambangnya turut juga hilang.”
            Pengamatannya terhadap pantun dan pepatah pula membuat Latiff sampai kepada kesimpulan yang mendalam ini: “Pantun ialah ekspresinisme kita, pepatah ialah realism kita.” Mengapakah Latiff sampai kepada kesimpulan sebaliknya? Hanya beliau yang tahu akar hujahannya.
            Bahagian 6, iaitu:Puisi Umum memuatkan 83 catatan. Beliau berbicara tentang puisi daripada pelbagai aspek: penciptaannya, penyairnya, takrifannya, hayatnya, pendeklamasiannya, hingga kepada peranan dan nasib puisi. Dalam “Catatan Subuh” Latiff percaya bahawa “puisi akan tetap ditulis, meskipun khalayak pembacanya berkurang.”
            Masih berlegar sekitar puisi, “Puisi Khas” dengan 96 catatan tidak kurang menarik dan mendalam renungannya, malahan ada yang menzahirkan pengakuan Latiff sendiri (seperti, “Sebenarnya puisiku lebih dekat dengan Carl Jung daripada Sigmund Freud”, atau pengakuan berikut: “Aku sendiri sebenarnya masih belum bisa terlepas seratus peratus daripada nada, rentak, gaya, pengucapan lama”).
            Latiff juga lebih cenderung membiarkan puisinya difahami dan dihayati oleh khalayak, bukan melalui penjelasan maksud puisi “Sungai Mekong”. Ujar Latiff dalam “Makna Puisiku”: “Maknanya sudahpun termaktub, tertulis, terpasak, terpahat sama dalam puisiku. Tidak ada gunanya mencari-cari, meraba-raba di luar ayat-kalimat-gatra yang ada.”
            Satu lagi mutiara kata Latiff dalam bahagian ini: “Puisi LM memuatkan dua catatan “Antologi Sajak-Tak-Siap?” (“Jika kucari-cari kembali, kukumpul-kumpulkan kembali, sajak-sajakku yang tak siap sejak tahun 1963 hingga tahun ini-1973-banyak juga jumlahnya, kira-kira cukup untuk sebuah antologi’), dan:

CERITA SEBATANG POHON
(Kuingat kembaraku ke Luang Prabang, Laos, Februari 1966).
“Di tanah gersang, luas, dan lengang berdebu, tidak ada yang menarik selain kehadiran sebatang pohon yang tinggi dan rending. Pada pohon yang sebatang itu sajalah kutumpukan seluruh perhatianku sepanjang pagi, demi serangkai lakaran dan sebaris puisi. Perdu pohon itu memang aneh, seolah-olah seluruh daya kehidupan di desa Vanveing bermula dari situ…”

            Selebihnya ialah 40 buah puisi Latiff. Yang menariknya tentang puisi-puisi ini adalah kerana kebanyakannya disertai dengan keterangan tempat sajak itu dicipta. Contohnya, pada bahagian akhir sajak “Kelam” disertai catatan (“Demikian bunyi sajak yang kutulis di Kelang, bulan Jun 1972, namun tak jadi kukirim ke Dewan Sastera. Kurasakan bahawa ada sesuatu yang kurang, yang perlu kutambahkann pada sajak ini”).
            Latiff menyelinap juga ke dunia teater dan filem dengan sejumlah 70 catatannya. Beliau mengungkapkan secara padat kolaj-kolaj sejarah drama, teater Melayu tradisional, seperti bangsawan, juga teater Melayu moden dengan menyebut sejumlah nama penggiatnya. Beliau membawa kita ke pentas teater dari Indonesia, Jepun, dan Eropah.
            Berhubung dengan teater, Latiff memberikan pendapatnya tentang tujuan genre tersebut:
           
            “Teater yang kutonton tadi cukup menghiburkan. Aku bertanya, ‘Apakah hiburan itu satu-satunya tujuan berteater?’ Bagiku, teater ialah suatu cara untuk meneroka jiwa manusia, insan biasa, watak-watak yang kita temui dalam perjalanan hidup kita sehari-hari. Dengan itu pula, barangkali, kita akan dapat sedikit banyak mengenal diri kita sendiri.”

            Tidak banyak isu filem yang dicatat Latiff. Beliau lebih banyak memberikan tumpuan kepada seni persembahan tradisi, seperti wayang kulit, teater Melayu tradisional, seperti dikir barat, drama klasik dari timur dan barat, serta drama kotemporari dari barat dan timur. Sebuah catatannya tentang filem ialah “Bahasa Filem” (Bagaimana cahaya “dipahat” ke dalam gerak kilat seorang dua watak, terutama di sudut-sudut wajah mereka).
             “Seni & Budaya” turut mendapat perhatian Latiff. Beliau mencatatakan hal-hal seni visual, kumpulan Anak Alam, peranan teknologi dalam seni dan budaya, sketsa, seni bina, erti keindahan, dan sebagainya dalam jumlah 124 catatan.
            Latiff berpendapat, “Seni (yang indah) itu lebih dekat pada agama daripada sains.” Hal ini merupakan ungkapan ringkas yang sebenarnya memerlukan tafsiran yang panjang. Begitu juga apabila beliau mencatatkan: “Indah kita kerana budaya, mulia kita kerana agama.”
            Latiff juga memberikan pendapatnya tentang “Seni Tulen” (“Seni tulen tidak memerlukan bendera. Seni tulen ‘berkibar terus’; tanpa dijulang, ditiup-tiup.”). Tentang hubungan seni dan kehidupan pula, Latiff berpendapat: “Tidak seperti politik, seni itu pada asasnya berada pada landasan lain, tidak mempunyai kuasa untuk memperbaiki keperluan, keadaan, dan hal ehwal kehidupan manusia. Tetapi, seni berupaya memberikan gambaran atau pengertian yang lain terhadap dunia ini.”
            Sesuai dengan sikapnya yang merendah diri, Latiff meletakkan bahagian “Peribadi” pada bahagian akhir kandungan buku ini, dengan sejumlah 183 catatan pendek. Bahagian ini mencatatkan sakitnya, mimpinya, igaunya, pernyataan-pernyataan resahnya, tokoh atau karya yang mempengaruhi hidup serta pengkaryaannya, dan sebagainya lagi.
            Dalam bahagian ini, Latiff turut mencatat tentang “Teman Merantau” nya [“Antara temanku yang paling akrab ketika aku merantau / menjelajah-selain peta atlas dunia-termasuklah buku Peribahasa Melayu (ketika rindu) dan dongeng Mulla Nasharuddin (ketika murung)”]. Perantauan/pengalaman dalam bidang seni menyebabkan Latiff pernah ditawarkan sesuatu, tetapi inilah “Pengakuannya” (“Beberapa kali sudah aku diminta menjadi guru. Tetapi maaf, aku tak bisa. Sebenarnya, aku lebih selesa menjadi pelajar saja kalau boleh pelajar sepanjang hayat.”).
            Sungguhpun bahagian akhir ini mencatatkan hal-hal peribadi Latiff dan pengakuan-pengakuannya, kita sebenarnya masih belum mendapat gambaran yang menyeluruh serta lengkap tentang dirinya.

III
Kecenderungan Latiff untuk membuat “catatan dua baris” yang ditemui di sana sini dalam Catatan, diteruskan dalam kumpulan khas yang diberi judul Catatan Dua Baris (Kuala Lumpur: LM Studio Sdn Bhd., 2012). Buku ini diterbitkan dalam edisi mewah berbanding dengan Catatan yang diterbitkan dalam bentuk biasa berkulit lembut. Terdapat 79 catatan dua barisnya dalam buku ini, dengan Catatan yang lebih awal.
            Catatan-catatan dua baris dalam buku ini bersifat renungan, peringatan, peringatan, tunjuk ajar, sebab dan akibat, serta falsafah. Contohnya:

Setiap orang dalam hidupnya
Punya rancangan yang hebat

Yang ikhlas dan yang sejati
Tak perlukan perlumbaan

Mengingati nama-nama benda
Itulah yang kita pikul setiap hari

Di Negara kemewahan melimpah
Ramai orang merasa resah

Kita diuji dengan kekurangan
Kita diuji dengan kelebihan

Kebimbangan dunia seni kurun ini
Banyaknya karya tak tahan usia

Orang berbakat sering tidak berani
Orang berani sering tidak berbakat

Yang tembus di fikiran ialah prosa
Yang tembus di khayalan ialah puisi

Kelmarin: redup pohonan
Hari ini: hingar batu-bata

Jika puisi dianggap sebagai pengucapan seni indah, bermakna, dan padat, Latiff kelihatan berusaha mencari wadah yang boleh lebih memadatkan ungkapan dan fikiran – yang ditemui melalui catatan dua barisnya.

IV
Membaca Catatan dan Catatan Dua Baris akan menyampaikan kita kepada beberapa kesimpulan, antaranya.
            Insan bernama Latiff ini luas sekali pengembaraan fizikal atau luaran yang membawanya ke beberapa benua, negara dan ceruk, tetapi yang lebih penting ialah kembaranya ke dunia ilmu pengetahuan yang pelbagai.
            Beliau menguasai ilmu yang berhubung langsung dengan bakatnya, terutama bidang seni visual, dan seni bahasa sastera (dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Jerman) yang dimanfaatkan untuk puisi, catatan, dan terjemahan karya sastera. Beliau juga meluaskan pembacaannya yang mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain, termasuk agama, sosiologi, budaya, dan falsafah.
            Latiff berkenalan dengan pelbagai genre seni di barat dan timur, yang datang bersama-sama pelbagai aliran, mewakili pelbagai kepercayaan, serta teori puitikanya. Beliau menghayatinya. Beliau selalau berusaha menyelongkar khazanah seni tradisional bangsanya, untuk menemukan kebijakan atau kearifan tempatan di dalamnya, membandingkannya dengan sastera dunia, dan sampai kepada kesimpulan betapa luar biasanya warisan sastera sendiri.
            Dalam dirinya teradun ilmu yang diperoleh secara formal dan tidak formal, dibaurkan dengan pelbagai disiplin ilmu yang lain, dan dituangkan semula ke dalam genre atau aktiviti yang difikirkannya sesuai.
            Apa-apa yang dituang dalam Catatan atau Catatan Dua Baris ada yang kedengaran seperti biasa sahaja, atau pernah kita dengar di tempat lain. Atau kita bertanya kenapa Latiff tidak kelihatan cenderung kepada sesuatu yang pada fikiran kita lebih baik jika beliau mengambil langkah itu. Tetapi tidak kurang ada yang begitu mendalam, kompleks dan berciri kefalsafahan, sehingga menggugah fikiran kita untuk bertanya, bagaimana Latiff dapat membentuk ungkapan-ungkapan padat dan luar biasa itu?; dan kita memerlukan rujukan lain, atau huraian yang lebih panjang, untuk benar-benar dapat memahami inti pemikirannya.
            Sebagai seniman visual, Latiff berminat untuk melihat apa-apa sahaja-yang harfiah dan lebih-lebih lagi yang abstrak-sebagai sesuatu yang mempunyai bentuk, warna, nafas, gerak, dan segala macam yang boleh dipersonifikasikan. Segala-galanya hadir di depan kita dengan nyata, tetapi Latiff tidak memberikan seluruh dimensi, kerana seperti warisan pantun, pepatah, dan peribahasa, bayangan yang kuat merupakan strategi terbaik untuk menyampaikan idea yang jitu dan padat.
            Sungguhpun Latiff pernah menolak tawaran tugas guru, tetapi sejumlah catatannya dalam dua buah buku terbaharunya ini ada yang menunjukkan kecenderungannya untuk menggurui. Namun, beliau bukanlah guru yang tampil nyata di hadapan murid-muridnya (penulis muda), sebaliknya beliau duduk di bawah bayang pohonan, dengan kata-kata yang lembut, berpakaian sederhana, yang mengaburkan wujud dirinya, sementara di sekelilingnya segala flora, fauna dan segala yang abstrak termasuk idea tersihir untuk mempunyai bentuk, warna, nafas, dan gerak kinetik di mandala kenyataan visual dan di atas kertas yang tercipta daripada bauran imaginasi dan realiti.


 -Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.
                 
                 




Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.