Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.
Showing posts with label Teater dan Filem. Show all posts
Showing posts with label Teater dan Filem. Show all posts

Surat dari Iowa

(April 1973)

Seorang bernama Ariffin C. Noer tiba-tiba saja mengirim surat kepadaku dari nun jauh di Iowa City, Amerika Syarikat. Aku kenal nama ini, tetapi orangnya tidak.

Ariffin ingin sekali singgah sebelum pulang ke Jakarta. Beliau berhasrat untuk bertemu dengan para seniman di sekitar Kuala Lumpur, khususnya karyawan teater seramai mungkin. Ini, katanya, atas anjuran Taufiq dan Mas Kayam. Beliau ingin melihat dan mempelajari kehidupan teater, baik yang tradisional mahupun yang moden dengan maksud membuat perbandingan dengan apa yang dikerjakannya di Teater Kecilnya di Jakarta.

"Jawapan untuk surat ini diharapkan dapat dikirimkan kepada Rendra atau Sardono yang sedang berada di Nancy, atau langsung saja ke alamat Arief Budiman di Paris," katanya.

- Catatan, hlm 252.

Suatu Paradoks

Hasil ciptaan memang tidak sunyi daripada anasir paradoks. Misalnya, dalam filem drama lokal tadi malam "yang palsu dan yang buruk" begitu mudah didedahkan/ditonjolkan. Sedangkan niat asalnya (kita tahu) adalah untuk memperlihatkan "yang baik dan yang benar" sebagai contoh/teladan sebagai asuhan moral kepada penonton.

- Catatan, hlm 253.

Antagonis dan Protagonis

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat itu tidak sama dengan watak wayang kulit Sri Rama dan Rawana. Watak epik Ramayana itu watak hitam - putih; watak yang lahir daripada dua nilai, dua sifat, dan dua dunia yang bertentangan sama sekali; watak yang sudah diterima oleh masyarakat sebagai watak baik dan watak buruk. Yang satu bersifat ganas, sementara yang satu lagi bersifat lembut.

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat ialah dua watak adik-beradik, watak kembar, watak pahlawan sehinggalah yang seorang difitnah, manakala yang seorang lagi bangun menuntut bela. Yang seorang amat patuh lagi setia, sementara yang seorang pula ingkar lalu menderhaka; watak yang bukan 100% hitam - putih, tetapi berwarna kelabu dengan ratio atau nisbah 40:60, bergantung pada fahaman simbol dan keadaan psikologi semasa. Sebentar, Hang Tuah itulah hero dan wira kita; sebentar lagi, Hang Jebat pula. Ahli sejarah dan ahli sains terus berbelah bagi. Begitu jugalah halnya dengan keadaan pemikiran/minda kita. (Mungkin inilah dua watak idaman seorang Shakespeare!)

-CATATAN, halaman 233.

Dilema Teater Malaysia, 1975 & Riwayat Teater Moden Kita

Dilema Teater Malaysia, 1975
Teater kita masih terlalu muda, masih baru; belum menampakkan bentuk yang jelas khas. Bangsawan boleh dikembangkan. Apakah makyung dan wayang kulit akan 'diperbarui'?

Kita tidak ada teater rakyat atau teater jalanan seperti yang dipentaskan di Indonesia. Kita takut pada teater absurd. (Juga segala bentuk pementasan yang datang dari Eropah?)

-CATATAN, halaman 243.

Riwayat Teater Moden Kita
...Masih terlalu muda, belum sampai 30 tahun; dipelopori oleh Cikgu Shaharom Husain pada akhir tahun 40-an (pada zaman Jepun) di Johor. Shaharom cuba meninggalkan bentuk komedi tanpa skrip ala bangsawan, lalu terus masuk ke sandiwara berbentuk purbakala atau sejarah (Si Bongkok Tanjung Puteri).

Pada akhir tahun 50-an di Singapura, muncul Kala Hamidy dengan bentuk drama baru, meninggalkan bentuk sandiwara (Anak Nazar Tujuh Keramat). Kemudian daripada itu, muncullah pada tahun 60-an, Kala Dewata (Atap Genting Atap Rumbia), Bidin Subari (Tinggi-tinggi Si Matahari), dan diikuti oleh Noordin Hassan (Bukan Lalang Ditiup Angin) serta Syed Alwi (Alang Rentak Seribu) pada awal 70-an. Dan kini sejarah teater moden kita terletak di tangan para dramatis muda seperti Dinsman (Bukan Bunuh Diri), Johan Jaafar (Angin Kering), Hatta Azad Khan (Stesyen)....

-CATATAN, halaman 255.

Tujuan Berteater

Teater yang kutonton tadi cukup menghiburkan. Aku bertanya, "Apakah hiburan itu satu-satunya tujuan berteater?" Bagiku, berteater ialah suatu cara untuk meneroka jiwa manusia, insan biasa, watak-watak yang kita temui dalam perjalanan hidup kita sehari-hari. Dengan itu pula, barangkali, kita akan dapat sedikit banyak mengenal diri kita sendiri.

-CATATAN, halaman 227.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.