Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.
Showing posts with label Sastera Luar. Show all posts
Showing posts with label Sastera Luar. Show all posts

Surat Rilke kepada Penyair Muda

Petang tadi, kubaca surat asli Rilke (dalam bahasa Jerman dan ditulis di Paris pada 17 Februari 1903) itu sekali lagi. Ini terjemahanku dalam bahasa Melayu. Antara pesan beliau yang penting kepada Franz Xaver Kappus, penyair muda dari sekolah militari tersebut:

"Tidak ada seorang pun yang dapat mengajar dan menolongmu. Cuma ada satu cara. Menyelamlah sedalam-dalamnya ke sanubarimu sendiri. Apakah dasar yang mendesak engkau menulis, adakah benar-benar telah mencengkamkan akar perdunya ke lubuk hatimu? Akui dan bersumpahlah kepada dirimu sendiri bahawa engkau lebih rela mati daripada dilarang menulis sama sekali. Yang lebih penting daripada semua itu, bertanyalah kepada dirimu, pada saat-saat malammu yang paling sunyi: 'Mestikah, wajibkah aku menulis?' Galilah lubuk hatimu sedalam-dalamnya untuk mengesan jawapan yang paling pokok ini. Kalaulah jawapanmu 'ya'; jika engkau berkata dengan tegas 'aku pasti' untuk pertanyaan itu, maka bentuklah hidupmu, selaras dengan keperluannya (betapa pun pada saat pasrah dan pada saat tak berertinya); seluruh hayatmu haruslah menjadi isyarat dan saksi kepada gelombang ilhammu. Kemudian, dekatkanlah dirimu pada alam. Jadikanlah dirimu seolah-olah orang yang pertama mengatakan sesuatu pada apa jua yang kaulihat, pada sesuatu yang kaualami, pada sesuatu yang kaurindui, dan akhirnya, pada saat engkau kehilangan sesuatu yang amat kaukasihi...."

- CATATAN, hlm 59. 

(Rilke- Rainer Maria Rilke)

Wawancara dengan Penterjemah

+ Jadi, kamu sudah bulat hati, mahu jadi penterjemah?
- Ya, tuan.
+ Kamu harus membaca setiap buku, sekurang-kurangnya sepuluh kali; fahami betul-betul maksudnya, banyak yang tersirat daripada yang tersurat. Adakah kamu bersedia?
- Ya, tuan.
+ Baiklah. Kamu terjemahkan empat muka surat saja dahulu. Kemudian, kita lihat nanti. Saya harap kamu lulus. Sudah ada sebelum kamu enam orang. Semuanya gagal belaka. Ambil senaskhah di stor sana.
(Dia keluar. Di pintu, dia bertanya kepada gadis setiausaha.)
- Buku apa itu, sampai enam orang gagal ujian?
+ Buku komik!

- Catatan, hlm 67.

Petua Terjemahan Lagi

Pertama-tama, kita mesti fasih dalam bahasa asal buku yang ingin kita terjemahkan itu. Bagaimana cara mengujinya?

Katakanlah, bahasa Perancis. Cari orang Perancis dua tiga orang. Kemudian, omong-omonglah tentang apa-apa saja dalam dunia ini - wanita, politik, sastera, makanan, filem, muzik, fesyen, roti yang paling enak, kopi yang paling harum, dan sebagainya...dan seterusnya.

Nah, sekarang awas! Apabila saja seorang daripada mereka bikin lucuan, engkau harus dapat membalas lucuannya dengan lucuanmu sendiri, dalam bahasa Perancis juga, secepat kilat. Jika ini dapat engkau lakukan, engkau lulus sudah. Engkau memang fasih sudah dalam bahasa Perancis itu. Nah, sekarang engkau bisa menterjemahkan Balzac, Maupassant, Zola...malah Satre!

- Catatan, hlm 66-67.

Derita Kerja-kerja Terjemahan

"Kerja-kerja terjemahan itu kerja 'orang gila', bukan kerja main-main; mengambil masa berbulan-bulan, bertahun-tahun...tak juga siap-siap; siang malam asyik teringat pada satu dua patah kata...masalah 'kata kembar' - kata apa yang paling tepat, yang mana - lupa keluarga, lupa dunia; beli kamus baru lagi - sinonim, antonim; tulis...padam; padam...tulis lagi; 'sudah nyanyuk' - tangan bergetar, jantung berdebar; baca lagi...polish, gilap lagi, sipi lagi; sedar-sedar, sudah sepuluh cawan kopi, baru siap satu para...."

"Ah, pengarang ini! Loghat apa ini? Mengapa melucu begini? Mana boleh dibawa/dialihkan ke bahasa Melayu?"

Telefon berdering. Suara Ketua Editor mengingatkan aku sekali lagi, "Tolonglah siapkan kerja itu secepat mungkin."

Nampaknya, besok kenalah aku beli ubat antipening, antisakit kepala! (Mamak, Aspro sepuluh papan lagi!)

- Catatan, hlm 66.

Drama Noh Mishima

Aku mengambil masa begitu lama untuk menterjemahkan enam drama Noh moden karya Yukio Mishima dari bahasa Jerman ke bahasa Melayu. Itu pun belum selesai sepenuhnya. Banyak lagi perkara yang harus kuselesaikan (kalau kumpulan skrip drama ini mahu juga diterbitkan oleh DBP nanti) - memberikan tajuk buku, menterjemahkan bahagian Pengenalan, dan kemudian yang penting sekali, membaca prufnya.

Mengapa aku menterjemah sedangkan aku sedar bahawa kerja-kerja terjemahan memang rumit, bagai menuang air dari satu baldi ke baldi yang lain. Air masih tak jernih lagi, sedangkan sudah banyak yang tumpah. Dan kebetulan, karya Mishima ini, "airnya" sudah disalin dua kali. Pertamanya, daripada bahasa asalnya, Jepun (berjudul Kindai Nogaku Shu) ke bahasa Inggeris; kemudian daripada bahasa Inggeris ke bahasa Jerman (berjudul Sechs Moderne No-Spiele). Kini aku mencuba pula menuangkan-menyaling-mengalihkannya ke bahasa Melayu! Mudah-mudahan saja, tidak ada sesiapa yang akan mahu menterjemahkannya kembali ke bahasa Jepun! Tidak dapat kubayangkan lucunya atau tragisnya nanti apabila dibuat perbandingan tentang makna sesuatu kata ataupun ayat tertentu.

Jangan bermimpi, kita berupaya menyambut "saranan-parodi" Jorge Luis Borges yang terkenal tentang kerja-kerja terjemahan. (Katanya, "Aku tidak peduli bagaimana karyaku diterjemahkan, asalkan terjemahan itu lebih baik daripada karya asal.")

Ah, segala itu pasti tidak akan mungkin, malah mustahil berlaku pada terjemahanku ini!

- CATATAN, halaman 64-65.

Siapakah Marsman*?

(Lahir, 1890 di Utrecht, Belanda; meninggal 1940.)

Penyair Belanda ini amat dikagumi oleh Chairil Anwar hingga dikatakan bahawa Chairil Anwar hingga dikatakan bahawa Chairil memang dipengaruhi oleh kalimat yang tegang menyentak, berapi-api, dan meliar garang dalam puisi-puisi beliau.

Buku pertama Marsman berjudul Paradise Regained terbit pada tahun 1925. Sejak itu, beliau menjadi amat terkenal di seluruh Eropah sebagai penyair kelana yang antiintelektual, yang kental semangat rebelnya. Beliau terlalu menghargai nilai kebebasan. Suaranya lantang, tegang, dan amat bertenaga (vital). Maka itulah sebabnya hasil puisi beliau diberi nama aliran vitalisme (iaitu pecahan daripada aliran ekspresionisme Jerman). Sesudah menyiapkan antologinya yang ketiga, beliau jatuh murung, dan soal kematian/maut pula mula menguasai jiwanya. Marsman mati lemas di lautan ketika Perang Dunia Kedua.

*Hendrik Marsman

- CATATAN, halaman 64.

Kemudian Datanglah Heraklitus

Sejarah filsafat Yunani itu kubaca lagi (kuliah yang kuikuti dalam bahasa Jerman di Berlin pada tahun 1960-an dahulu ternyata terlalu rumit). Jadi, bagaimana bermulanya segala itu, asalnya 'sejarah idea' itu?

Thales (ahli filsafat pertama) mengatakan, "Semua hidupan berasal daripada air."

Pendapat ini segera disanggah oleh Anaximander dengan mengatakan , "Bukan daripada air tetapi daripada 'yang-tak-terhingga'."

Kemudian datang Anaximenes yang mengatakan, "Sebenarnya, hidupan berasal daripada udara atau kabus, maka bumi dan air dan api, semua itu, berasal daripada udara."

Datang pula Parmenides, menyanggah ketiga-tiga pendapat dengan mengatakan, "Jangan percaya pada indera. Tidak ada suatu benda pun berubah menjadi benda lain, kecuali kembali pada sifat asalnya."

Dan kini, datanglah Heraklitus seolah-olah 'bapa filsafat' kepada 'penghulu Minang', dan 'pendeta Tao' (para pembawa konsep tantangan-paradoks-polariti) yang dengan tegas mengatakan, "Tidak ada yang tinggal statik sesaat pun jua. Segalanya mengalir dan semuanya berubah, bagai sungai yang mengalir - berubah. Pada saat kujejakkan kakiku ke dalam sungai buat kali keduanya, bukan saja sungai, malah aku sendiri turut berubah. Lihatlah, tidak ada yang tinggal sama (kekal), tidak ada yang abadi sebenarnya, kecuali 'perubahan'."

Maka ringkasnya, hakikat 'ketidaksamaan', inilah yang kekal sama, yang menyatukan seluruh manusia dan alam semesta!

-CATATAN, halaman 93.


Pesan Norman Mailer & John Steinbeck

"Khalayakmu hanyalah seorang pembaca, mungkin seseorang yang amat kaukenali atau seseorang yang kauciptakan sendiri. Kepadanyalah kautulis seluruh karyamu." - John Steinbeck

"Engkau harus menganggap bahawa kerja-kerja menulis ialah kerja yang lebih penting daripada segala-galanya. Kalaulah engkau bimbang tentang perasaan orang lain, maka engkau tidak akan ke mana-mana akhirnya." - Norman Mailer

-CATATAN, halaman 68 & 74.

Belajar daripada Seni Lukis?

Mereka, para cerpenis/novelis, mempelajari sastera daripada seni lukis? (Kulihat Hemingway (Earnst Hemingway) mundar-mandir di hadapan sekeping Cezanne (Paul Cezanne, pelukis Perancis)). Maksudku, bukan mempelajari cara/teknik melukis. Tetapi, cara bagaimana seseorang pelukis 'melihat-membaca-menciptakan' ruang, sama ada jarak ruang mahupun pembahagian ruang (dalaman dan luaran) serta elemen ruang (positif dan negatif); kemudian teknik 'melapis-menindih-mengalihkan' ruang; 'menahan-menarik' serta 'menggentingkan' ruang.

Dan soal ruang itu sendiri, mungkin ruang dasar atau ruang permukaan yang penuh tekstur dan dimensi. Banyak gerak sapuan - ke depan  ke belakang, maju mundur yang berlaku dalam menciptakan pelbagai sudut pandangan (perspektif) atau komposisi supaya teksturnya lebih kukuh.

Daripada kaca mata seorang novelis, segala ini memang penting bagi penciptaan gerak tension dalam pembentukan dimensi watak serta 'lipat-lapis' pembangunan/pembinaan plotnya.

-CATATAN, halaman 75.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.