Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.
Showing posts with label ulasan. Show all posts
Showing posts with label ulasan. Show all posts

[Ulasan] Teater daripada Catatan Latiff Mohidin

Oleh: DINSMAN

Ada banyak perkara menarik mengenai buku Catatan Latiff Mohidin. Jenis dan bentuk tulisannya itu sendiri pun cukup menarik. Suatu genre yang menyegarkan untuk bacaan. Misalnya, ada banyak perkara mengenai Latiff Mohidin yang kita boleh temui dalam buku ini, khasnya mengenai seni. Buku ini merupakan bacaan yang menarik untuk diulangi pembacaannya. Walaubagaimanapun, saya akan menulis hanya satu perkara, iaitu mengenai catatan-catatannya sekitar teater. Yang lainnya biarlah dahulu. 

Latiff membahagikan catatannya kepada 11 perkara, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Saya akan soroti bahagian ke sembilan itu (hal. 227-262), dan cuba melihat kembali teater Malaysia (Melayu) melalui catatan Latiff. 

Catatannya pendek sahaja, dan kebanyakannya tidak ada tarikh. Yang ada tarikh (pun tidak disusunnya berurutan), secara kebetulan agaknya, banyak sekitar tahun 1970-an, iaitu tahun yang teater Melayu paling aktif, dan saya pun kebetulan berada di dalamnya. Kebetulan. (Atau ya-kah, kebetulan?). Maka sambil membaca itu ingatan pun menghidupkan kembali beberapa peristiwa, terutamanya aktiviti Kumpulan Anak Alam, yang juga sangat aktif ketika itu. 

Kita ambil catatan kedua: “Di Sudut Pentas” (Ogos 1974): “Ada tiga jalan untuk kegiatan drama dewasa ini. Jalan pertama, meluncur bersama drama rakyat seluruhnya, iaitu dengan tekad untuk mengangkat/menyambung tradisi. Jalan kedua, terjun saja ke dalam drama moden seluruhnya; tanpa sentiment, tanpa mempedulikan unsur warisan. Atau yang lebih menarik, jalan ketiga, iaitu mencampurbaurkan drama tradisi dengan drama moden.” 

Hal itu tanggapan Latiff terhadap aktiviti teater waktu itu. Dilihatnya ada tiga aliran. Kemudian, dalam catatan selang beberapa setelah itu, ada tajuk “Teater Absurd, 74”. “Hairan juga aku,” katanya, “Bagaimana dramatis tempatan tiba-tiba saja menolak teater absurd (sejenis teater baru dari Barat)? Tanpa kita perlu menganut falsafahnya, kulihat stail dan stuktur dramatiknya cukup menarik, iaitu sebagai suatu eksperimen…” 

Dramatis tempatan sekitar tahun 1974 menolak teater absurd? Catatan itu membuatkan saya berfikir semula kerana teater saya pun, waktu itu, dikatakan teater absurd. Ya, barangkali itu yang dilihat oleh Latiff. Dan, ternyata Latiff meminati teater absurd. Dicatatnya lagi selepas itu sebuah tajuk “Teater Absurd itu Absurd”. Katanya: “Teater absurd itu absurd-humornya pahit; teaternya hitam; ‘hening’ ditinggalkan di tengah-tengah pentas, begitu lama sekali, di bawah suluhan lampu hingga menjadi ‘h i n G a r’!” 

Kemudian, dia juga mencatatkan pengalamannya diminta berlakon dalam sebuah taridra Uda dan Dara, yang dipentaskan oleh MTG (Malaysian Theater Group). Dia menolak permintaan pengarah itu, dengan alas an: “Aku tidak bisa beraksi di atas pentas. Aku cepat gugup, malah biasa gagap. Suaraku rendah, orang di belakang sana akan kecewa. Aku mudah berpeluh…”. Beberapa halaman kemudian, ada lagi catatan mengenai Uda dan Dara ini, (pementasan Gemaseni, 1972) –“Nah, inilah taridra yang ku nanti-nantikan selama ini! Liriknya hebat. Lagu dan iramanya mengasyikkan. Romantis memang; kali ini mesej sosial Usman Awang benar-benar datang menerkam, ‘menikam’ dalam girang.” 

Apakah yang dimaksudkannya itu muzika Uda dan Dara arahan Rahim Razali? Rasa-rasanya begitu, tapi saya tidak pasti.

Pengalamannya yang lain, terlibat dengan teater , dicatatkan di bawah tajuk “Pementasan Hamlet” (di Universiti Sains Malaysia, Januari 1979). “Aku diberi tugas oleh sutradara dari Australia itu untuk menasihati mereka (semasa latihan) tentang penggunaan bahasa dan pengertiannya, tentang pengucapan bahasa Melayu yang lazimnya diucapkan setiap hari. Naskah terjemahan Trisno Sumarjo itu ternyata terlalu puitis.” (Dia tidak menyebut nama Helen ven der Poorten, pengarah dan pensyarah teater dari Australia itu). 

Satu lagi cerita penglibatan Latiff dalam teater dicatatkannya di bawah tajuk “Set buat Hang Jebat?”. Tulisnya: “Usman Awang menunjuk aku sebagai tukang pereka set untuk dramanya Matinya Seorang Pahlawan. Ini membuatkan aku berpeluh, ‘Bagaimana membayangkan watak dan dunia seorang yang bernama Hang Jebat?’” 

Ceritanya lagi, “Pelbagai alat dan perabot telah kurancang, tetapi semuanya tidak sesuai; kononnya mahu yang luar biasa sedikit; kalau boleh, sesuatu yang lebih dramatik dengan elemen cahaya lampu sport-light yang keras. Ke hulu ke hilir sampai jam tiga pagi, barulah aku tahu bahawa membuat set drama rupa-rupanya bukanlah mudah. Pertama-tama, kita perlu meyakinkan Sang Pengarah…” Dan akhirnya, kata Latiff, “Kupakai beberapa helai tikar saja yang digantung-gantungkan dan sebuah ranjang yang berkilat keperak-perakan.” 

Saya tidak tahu pementasan mana yang dimaksudkan (tidak disebut tahun bila), dan saya pun tidak pernah menonton Matinya Seorang Pahlawan yang setnya daripada beberapa helai tikar yang digantung-gantung itu. Dan sebuah catatan lagi, Latiff menceritakan keresahannya sewaktu mengikuti latihan teater (tidak dijelaskan teater apa atau siapa). Dicatatkannya begini: “Amat kusedari akan kerumitan yang dihadapi oleh sutradara yang ghairah ini. Yang mana dialog dan yang mana monolog? Yang mana ucapan dan yang mana khutbah? (Tidak mungkinkah skripnya diubah, ditulis kembali?). 

Antara penglibatan Latiff yang paling bermakna dalam teater ialah terjemahan. Dia menterjemahkan beberapa skrip pendek dari Jepun (karya Yukio Mishima) dan sebuah buku lagi terjemahan drama-drama pendek German (Woyzek-?). Drama “Puan Aoi” (kalau tidak silap saya), pernah dipentaskan oleh Meor Hashim Manap dan dilakonkan oleh Izzaidah Khairan. Sesuatu yang bagus pada waktu itu. Dalam buku catatan ini Latiff menulis: “Drama Noh, karya Yukio Mishima yang kuterjemahkan itu akhirnya disetujui oleh pihak DBP untuk ‘dimasukkan dalam senarai penerbitannya’. Buku tersebut kuberi judul Bantal Impian. Tolong jangan bertanya kepadaku, tarikh sebenarnya buku itu akan dicetak/diterbitkan.” 

Kemudian tentang kumpulan Anak Alam, yang Latiff sendiri merupakan orang penting yang menubuhkan kumpulan itu. Catatan pertamanya mengenai aktiviti mereka pada tahun 1976: “Ada tiga kegiatan yang disemarakkan oleh Kumpulan Anak Alam. Pertama, tentunya seni lukis. Kedua, teater dan ketiga, baca sajak.” 

“Yang paling menonjol ialah teater-segar, meriah dengan bentuk eksperimen yang lebih mudah dilaksanakan (kemudiannya dikenal sebagai experimental theater), daripada skrip ‘mini kata’nya (atau tanpa skrip), penataan latarnya (atau tanpa latar) hinggalah kepada pemilihan tempat letak kereta, di kawasan setinggan, di pasar raya, di kompleks…” 

Satu lagi catatan mengenai Anak Alam, di bawah tajuk “Hari Alam di Kuala Lumpur, 1974”. Latiff menulis semula pamflet yang mereka sediakan untuk aktiviti Hari Alam itu:”…pelukis dan penulis Taman Budaya, besama-sama dengan seniman tempatan serta bantuan abadi daripada alam wajar (cahaya, tanah, air, angin, tumbuhan) akan mengadakan ‘Hari Alam’ selama dua hari dua malam, mulai subuh hari Sabtu, 13 Julai 1974 di sekitar Taman Budaya beralamat di 905, Persiaran Tun Ismail, Kuala Lumpur; …kegiatan secara spontan dan kreatif daripada para pengunjung sekeluarga ; acara siang malam, antaranya arca-enviro, drama, pantomin, playreading, dan mini-kata; baca puisi; persembahan muzik mainan cahaya, alunan genta, ketuk-ketuk, gamelan buluh; dan lain-lain seumpamanya.” 

Rumah beralamat 905 itu, itulah Rumah Anak Alam. Perhatikanlah aktiviti yang disenaraikan itu yang pelbagai. Memang, Kumpulan Anak Alam waktu itu sangat menjanjikan untuk perkembangan yang menarik bagi teater Malaysia. Saya selalu melihat mereka bereksperimen dengan gerak lakon tanpa dialog, muzik yang lain daripada kebiasaan, dan malahan saya pernah berimaginasi sebuah gerak teater yang unik ketika sering melihat Latiff menyiapkan lukisan-arca dinding dalam siri “Langkawi”nya, terutama karya yang diberikan warna biru pekat itu. Tetapi sayang, imaginasi saya itu tidak berkembang ke alam realiti. Samalah juga dengan eksperimen yang dilakukan oleh Mustapha Hj. Ibrahim (muzik) dan Yusuf Osman (gerak) yang tidak berkembang dan kemudiannya hilang. 

Seperti saya sebut pada awal tulisan, ada banyak perkara menarik sebenarnya dalam Catatan Latiff Mohidin. Bahkan dalam bab teater sahaja pun. (Kapai-kapai di padang letak kereta Stadium Negara itu ada cerita peribadi di sebalik penganjuran pementasan itu). Saya ingin menulis panjang. Tetapi kita selalu tertakluk pada batasan, pelbagai batasan. Insya-Allah pada kesempatan lain. 

Sementara itu, catatan berikut menunjukkan seorang penggemar teater dan selalu mengikut gerak dan perkembangannya. “Sutradara dari Jakarta itu bercerita panjang lebar tentang perkembangan hebat dunia teater di Indonesia….Aku yang tidak mahu mengalah dengan spontan menyebut beberapa nama teater, termasuk nama-nama ini: teater ‘Ruang Tamu’, Bidin Subari; teater ‘Atap’, Kala Dewata; teater ‘Alang’, Syed Alwi; teater ‘Pintu’ dan teater ‘Tiang’, Noordin Hassan; teater ‘Tali’, Dinsman; teater ‘Kerusi’, Hatta Azad Khan; teater ‘Agin’, Johan Jaafar; teater ‘Alam’ oleh Kumpulan Anak Alam, dan banyak lagi…”

 - Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.



[Ulasan] "Catatan" dan "Catatan Dua Baris" Latiff Mohidin

Oleh: ANWAR RIDHWAN

“But I know life is simple, however complex the organism may be; and everything goes to pieces when the living truth of the central simplicity is lost.” Rabindranath Tagore, Letters to a Friend.

I
Sarjana Perancis, Francois Rene-Daillie yang juga pengkaji pantun Melayu, dalam bukunya Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) memberikan tanggapan tentang hubungan pengalaman dengan pengkaryaan. Ujarnya:

“I have always conceived literature as an adventure that is, something that happened to you, that you have to go through, a series of events in which you get more or less deeply involved, happenings which have an impact on your intellect, your spirit, or even better, on your whole being, body, heart and brains. The adventure can be as brief as the explosion of surprise of the haiku, as long and complicated in its development and gradual in its action upon you as the novel as its best.”

Tanggapan tersebut boleh kita terapkan untuk menghubungkan pengalaman Latiff Mohidin dengan pengkaryaan seni visual, seni puisi, serta dua buah buku terbaharunya. Alam dan kehidupan adalah dua unsur yang sangat erat dengan pengkaryaan Latiff kerana alam dan kehidupan memberikan ruang kepada perkembangan pengalaman serta pengetahuan.
Pengalaman biasanya akan menambah pengetahuan dan “rasa” yang dikutip secara formal (umpamanya melalui pendidikan), ataupun secara tidak formal (umpamanya melalui pengembaraan, pembacaan dan tontonan). Dalam konteks seni visual, pengalaman Latiff dan kembaranya membentuk rasa, rupa dan jiwa tiga cabang seni visual yang dikuasainya, iaitu cat minyak, ukiran arca, dan goresan cetak, seperti karya-karyanya dalam siri “Pago-Pago”, “Mindscape”, dan “Langkawi”. Namun begitu, tulisan ini tidak akan menyentuh lebih lanjut sumbangan Latiff dalam seni visual kerana akan lebih memberikan fokus kepada dua buah buku terbaharunya, iaitu Catatan dan Catatan Dua Baris.
Latiff dilahirkan pada tahun 1941. Hal ini beerti beliau menempuh zaman remaja dalam era sebelum kemerdekaan. Namun, bakat tidak mengenal era. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika sejak sekitar tahun 1952, beliau mendapat gelaran “Boy Wonder” kerana bakatnya dalam bidang seni lukis. Bakat itu, disamping motivasi yang tinggi serta dokongan kewangan telah menghantarnya ke Hochschule fur Bildende Kunste di Jerman, seterusnya ke Atelier La Courriere di Perancis, dan Pratt Graphic Centre di Amerika Syarikat.
Negara tersebut terutamanya Jerman dan Perancis, memiliki tradisi seni, sastera, dan falsafah yang panjang, kukuh, serta mempengaruhi perkembangan estetik dan pemikiran Eropah moden, yang kemudian mengalir pula ke tanah-tanah jajahan mereka, serta negara lain. Puisi Eropah, khususnya karya penyair-penyair Perancis, seperti Charles Baudelaire, Arthur Rimbaud dan Stephane Mallarme, sedikit sebanyak telah mempengaruhi kepenyairan Latiff.
Pedidikan seni di Jerman dan Perancis cenderung ke arah pendekatan yang holistik. Warna pengajian sejarah seni dicampurkan dengan rona sejarah falsafah, psikologi, sastera, dan dilakar bersama-sama cabang ilmu elektif yang mendorong penjanaan visual yang kaya teknik dan kaya lapisan makna. Latiff, sehubungan itu bukan sahaja menguasai bahasa Jerman dan nuansanya, malahan bidang seni visual, serta dunia sastera khususnya dalam genre puisi. Sebagai seniman visual gerak, dan rentaknya terpancar dalam puisi-puisinya.
            Puisi-puisinya turut menjadi dewasa kerana hasil kembara seninya ke dalam bait-bait puisi mempesona yang turut diterjemahkannya: Gitanjali (Tagore), Rubaiyyat (Omar Khayam) di samping puisi-puisi klasik Tao Te Ching karya Lao Tzu. Kemudian, mempengaruhi Latiff untuk mencipta ungkapan ringkas dan padat yang berkecenderungan pemikiran atau falsafah, sebagaimana mereka, seperti yang terpancar dalam dua buah buku terbaharunya.
            Puisi-puisi Melayu tahun 1950-an dan 1960-an, yakni dekad-dekad yang belum merakamkan kemasukan Latiff dalam genre ini, pada umumnya sarat dengan mesej atau amanat. Tema nasionalisme dalam pelbagai cabang kehidupan, juga tema pengisian kemerdekaan, mendominasi kebanyakan puisi. Tema ini padat kata-kata, dan kadang kala penuh retorik, hingga yang lebih diutamakan ialah aspek pemikiran yang abstrak. Tiada salahnya puisi-puisi seperti ini, selagi dicipta bedasarkan strategi puisi yang menekankan keringkasan, kepadatan, keindahan serta kejayaan amanat yang mengetuk emosi serta pemikiran pembaca.
            Namun begitu, melalui puisi-puisinya Latiff berusaha menawarkan lebih daripada itu. Melalui kata-kata, beliau berusaha untuk memvisualkan imejan di samping menawarkan pemikirannya. Hal ini turut terlihat dalam dua buah buku terbaharunya, Catatan dan Catatan Dua Baris. Karya-karya ini memperlihatkan keterikatannya pada akar budaya, konsep ”sedikit itu mewah” serta kecenderungan yang berinti falsafah kehidupan.

II
Buku Catatan (Petaling Jaya: Maya Press, 2010) didedikasikan demikian, Latiff secara sedar meletakkan dua kategori penulis, iaitu penulis muda dan golongan penulis yang tidak lagi muda (termasuk dirinya). Dedikasi dan kategori sedemikian meletakkannya pada kedudukan yang mewajarkannya untuk (berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang ditempuhnya) menyampaikan sesuatu kepada penulis muda. Dalam konteks kandungan buku ini, sesuatu itu berupa catatan-catatan pendek yang seringkas satu baris, atau lebih sedikit sahaja. Ungkapan mutiara katanya, disampaikan dengan gaya seorang guru yang ingin bersikap informal, merendah diri, dan hemat kata-kata. Atau dalam ayat Latiff sendiri dalam “Haluan Kata” atau penghantar buku ini: “Catatanku - semua ini – seperti bercakap kepada diri sendiri…”
            Kandungan Catatan dibahagikan ke dalam 11 bahagian, iaitu “Sastera Umum”, “Sastera Lokal”, “Sastera Luar”, “Bahasa”, “Pantun dan Pepatah”, “Puisi Umum”, “Puisi Khas”, “Puisi LM”, “Teater dan Filem”, “Seni dan Budaya”, dan “Peribadi”.
            Dalam bahagian “Sastera Umum” terdapat 55 catatan. Bahagian ini menurunkan catatan tentang sastera secara umum. Contohnya, catatan pendek yang berjudul “Tragedi Penulis: Tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang.” Atau yang lebih panjang: “Setiap 20 Hingga 25 Tahun: Sekurang-kurangnya setiap 20 hingga 25 tahun, bentuk seni (terutamanya seni sastera) menjadi beku lalu nazak. Maka perlu ada suntikan ajaib atau mujarab pada bentuk dan isinya – suatu perubahan besar oleh sesuatu angkatan baru ataupun individu. Jika tidak, sastera, dan genre lainnya akan kehilangan ruang untuk para peminat tulen.”
            Dalam “Sastera Lokal”, Latiff menurunkan 72 catatan. Bahagian ini tidaklah menurunkan catatan tentang sastera tempatan atau lokal sahaja. Takrifannya meluas kepada sastera Indonesia kerana Latiff turut membuat catan tentang Hamka, Chairil Anwar, dan sebagainya. Malahan beliau mencatatkan tentang penyair Rusia, Yevtusheko, yang pernah dating mendeklamasikan puisinya di sini, di “dewan yang setengah kosong atau setengah penuh.”
            Bagi penulis lokal yang mula mencipta nama dalam tahun 1970-an, maaflah kerana tiada catatan tentang anda. Latiff lebih terpesona hanya kepada beberapa nama, termasuklah Jymy Asmara (…”tidak dapat kita bayangkan wujudnya ASAS 50 tanpa kebaikan dan kegigihan penulis bernama Jaafar bin Haji Muhammad atau yang lebih dikenali sebagai Jymy Asmara”), Usman Awang (“Sebagaimana seorang ayah mengimpikan kelahiran seorang anak, begitu pulalah tokoh generasi ini mengimpikan kelahiran generasi akan datang dengan penuh harapan dan cemas. Tadi Usman Awang Tanya lagi, ‘Bagaimana agaknya bentuk sastera penulisan kita kemudian nanti?) juga Rahim Kajai (“Buat para cerpenis, surat khabar ialah wadah, ruang yang paling lumayan sejak zaman Kajai”).
            Sasterawan lokal lain yang mendapat perhatian Latiff ialah Pak Sako (“Padaku, unsur yang paling menarik dalam novel Pak Sako Anak Mat Lela Gila (1941) ialah unsur grafik; jelas kelihatan tidak saja pada sosok watak bernama Bulat, tetapi juga pada apa jua yang berbentuk bulat di sekeliling kampungnya…”), A. Samad Said, dan Ahmad Rashid Talu (“Benarkah Salina tak merukun tetangga, maka itu dapat nombor dua? Iakah Salmah? Pakai baju Bandung, naik beca tak bertudung?”), Keris Mas (“Menyambut dan mengisi kemerdekaan yang kami perjuangkan pastilah lebih mudah …Nah, jagalah, isilah ia…itu tugas generasi kalian”) , Arena Wati (“Dia berbicara tentang nada atau irama, tentang sudut, tentang ruang… Dia adalah seorang pelaut.”) dan Baha Zain dengan memetik sebahagian kandungan suratnya kepada Latiff yang ditulis dari Jakarta.
            Kandungan “Sastera Luar” memuatkan 69 catatan. Menepati judulnya, catatan tersebut berbicara tentang ruang lingkup sastera yang merentas zaman, sejak terciptanya Tao Te Ching karya Lao Tzu (“Bunyinya seperti pepatah Minang. Umpamanya: yang nyata dan yang ghaib datang beriringan / susah dan senang saling melengkapi / panjang dan pendek saling membentuk / tinggi dan rendah saling mengisi / suara dan bunyi saling melaras / depan dan belakang saling menyusuri”) hinggalah kepada karya yang lebih moden, seperti Mr. Biswas oleh V.S.Naipaul (“…walaupun kehidupan dan kisah Mr. Biswas berlaku di Trinidad, jauh dari benua Asia, acap kali kubayangkan bahawa ‘rumahnya’ itu seolah-olah berada di belakang rumahku, di suatu kawasan orang India.”)
            Dalam bahagian ini banyak sekali renungan yang mendalam, sama ada oleh Latiff sendiri (cetusan daripada pendapat atau karya sasterawan dunia. Beliau juga mengungkapkan pemikiran tentang aliran dalam sastera, proses mengarang, keperibadian pengarang, karya-karya besar dunia, karya sufisme, masalah penterjemahan karya sastera, dan sebagainya.
            Bahagian “Bahasa” memuatkan 29 catatan pemikiran seputar isu bahasa Melayu: tokoh-tokohnya, keajaiban nuansanya, hinggalah, kepada cabaran-cabaran semasa yang boleh menggugat bahasa Melayu dan jati diri penutur aslinya. Umpamanya:

PEPATAH BARU
“Pepatah batu yang kita ciptakan termasuklah segala ragam dan jenis slogan / semboyan / congan kata; walaupun terasa kasar, masih mempunyai pesan tertentu sebagai cermin kehidupan kita hari ini.”

SEBATANG “POHON BAHASA”
“Di halaman rumah kami ada sebatang pohon, ‘pohon bahasa’ namanya. Dahannya pepatah. Rantingnya pantun. Pada daun-daunnya beruntaian tamsil, ibarat, gurindam, dan seloka …”

Turut mendapat perhatian Latiff ialah “Pantun & Pepatah” yang memuatkan 26 catatannya. Beliau amat menghargai warisan seni puisi tradisional ini, yang telah dicipta sejak kewujudan bangsa Melayu, yang menggunakan atau menzahirkan kebijakan serta tunjuk ajar, melalui ungkapan yang puitis lagi padat.
            Antaranya yang menarik termasuklah “Daripada Dua Pusaka”. Melalui catatan ini, Latiff memperlihatkan semacam adanya persamaan ungkapan daripada dua bangsa dan dua budaya:

Kata pusaka Minang:
Tukang tak membuang kayu
Gemuk tak membuang lemak
Besar jangan melenduh
Panjang jangan melindis.

Kata Pusaka Tao-China:
Tukang tak membazirkan banir
Yang lempung diikat erat-erat
Yang nipis disususn lapis-berlapis.
           
            Latiff juga menurunkan takrifan serta contoh pameo (yang menurut Latiff: Sejenis peribahasa yang seakan-akan tumbuh seiring dengan perumpamaan. Tetapi sifatnya lebih dekat dengan sifat pepatah berlawanan. Kadangkala kedengaran seperti kalimat yang berbentuk sindiran, tetapi sebenarnya mempunyai isi yang berbentuk songsang. Kalimatnya menyarankan hal-hal yang tidak mungkin terjadi):

PAMEO PAK MURI
Berjalan seorang, hendak dahulu
Berjalan berdua, hendak di tengah.

            Catatannya juga sensitif terhadap kehilangan kosa kata dalam peribahasa, akibat peredaran zaman. Beliau mengutip peringatan mamaknya terhadap gejala ini: “Apabila sesuatu rangkap daripada kalimat peribahasa kita itu hilang, maka dengan serta merta suaranya, rentaknya, ruangnya dan malah lambangnya turut juga hilang.”
            Pengamatannya terhadap pantun dan pepatah pula membuat Latiff sampai kepada kesimpulan yang mendalam ini: “Pantun ialah ekspresinisme kita, pepatah ialah realism kita.” Mengapakah Latiff sampai kepada kesimpulan sebaliknya? Hanya beliau yang tahu akar hujahannya.
            Bahagian 6, iaitu:Puisi Umum memuatkan 83 catatan. Beliau berbicara tentang puisi daripada pelbagai aspek: penciptaannya, penyairnya, takrifannya, hayatnya, pendeklamasiannya, hingga kepada peranan dan nasib puisi. Dalam “Catatan Subuh” Latiff percaya bahawa “puisi akan tetap ditulis, meskipun khalayak pembacanya berkurang.”
            Masih berlegar sekitar puisi, “Puisi Khas” dengan 96 catatan tidak kurang menarik dan mendalam renungannya, malahan ada yang menzahirkan pengakuan Latiff sendiri (seperti, “Sebenarnya puisiku lebih dekat dengan Carl Jung daripada Sigmund Freud”, atau pengakuan berikut: “Aku sendiri sebenarnya masih belum bisa terlepas seratus peratus daripada nada, rentak, gaya, pengucapan lama”).
            Latiff juga lebih cenderung membiarkan puisinya difahami dan dihayati oleh khalayak, bukan melalui penjelasan maksud puisi “Sungai Mekong”. Ujar Latiff dalam “Makna Puisiku”: “Maknanya sudahpun termaktub, tertulis, terpasak, terpahat sama dalam puisiku. Tidak ada gunanya mencari-cari, meraba-raba di luar ayat-kalimat-gatra yang ada.”
            Satu lagi mutiara kata Latiff dalam bahagian ini: “Puisi LM memuatkan dua catatan “Antologi Sajak-Tak-Siap?” (“Jika kucari-cari kembali, kukumpul-kumpulkan kembali, sajak-sajakku yang tak siap sejak tahun 1963 hingga tahun ini-1973-banyak juga jumlahnya, kira-kira cukup untuk sebuah antologi’), dan:

CERITA SEBATANG POHON
(Kuingat kembaraku ke Luang Prabang, Laos, Februari 1966).
“Di tanah gersang, luas, dan lengang berdebu, tidak ada yang menarik selain kehadiran sebatang pohon yang tinggi dan rending. Pada pohon yang sebatang itu sajalah kutumpukan seluruh perhatianku sepanjang pagi, demi serangkai lakaran dan sebaris puisi. Perdu pohon itu memang aneh, seolah-olah seluruh daya kehidupan di desa Vanveing bermula dari situ…”

            Selebihnya ialah 40 buah puisi Latiff. Yang menariknya tentang puisi-puisi ini adalah kerana kebanyakannya disertai dengan keterangan tempat sajak itu dicipta. Contohnya, pada bahagian akhir sajak “Kelam” disertai catatan (“Demikian bunyi sajak yang kutulis di Kelang, bulan Jun 1972, namun tak jadi kukirim ke Dewan Sastera. Kurasakan bahawa ada sesuatu yang kurang, yang perlu kutambahkann pada sajak ini”).
            Latiff menyelinap juga ke dunia teater dan filem dengan sejumlah 70 catatannya. Beliau mengungkapkan secara padat kolaj-kolaj sejarah drama, teater Melayu tradisional, seperti bangsawan, juga teater Melayu moden dengan menyebut sejumlah nama penggiatnya. Beliau membawa kita ke pentas teater dari Indonesia, Jepun, dan Eropah.
            Berhubung dengan teater, Latiff memberikan pendapatnya tentang tujuan genre tersebut:
           
            “Teater yang kutonton tadi cukup menghiburkan. Aku bertanya, ‘Apakah hiburan itu satu-satunya tujuan berteater?’ Bagiku, teater ialah suatu cara untuk meneroka jiwa manusia, insan biasa, watak-watak yang kita temui dalam perjalanan hidup kita sehari-hari. Dengan itu pula, barangkali, kita akan dapat sedikit banyak mengenal diri kita sendiri.”

            Tidak banyak isu filem yang dicatat Latiff. Beliau lebih banyak memberikan tumpuan kepada seni persembahan tradisi, seperti wayang kulit, teater Melayu tradisional, seperti dikir barat, drama klasik dari timur dan barat, serta drama kotemporari dari barat dan timur. Sebuah catatannya tentang filem ialah “Bahasa Filem” (Bagaimana cahaya “dipahat” ke dalam gerak kilat seorang dua watak, terutama di sudut-sudut wajah mereka).
             “Seni & Budaya” turut mendapat perhatian Latiff. Beliau mencatatakan hal-hal seni visual, kumpulan Anak Alam, peranan teknologi dalam seni dan budaya, sketsa, seni bina, erti keindahan, dan sebagainya dalam jumlah 124 catatan.
            Latiff berpendapat, “Seni (yang indah) itu lebih dekat pada agama daripada sains.” Hal ini merupakan ungkapan ringkas yang sebenarnya memerlukan tafsiran yang panjang. Begitu juga apabila beliau mencatatkan: “Indah kita kerana budaya, mulia kita kerana agama.”
            Latiff juga memberikan pendapatnya tentang “Seni Tulen” (“Seni tulen tidak memerlukan bendera. Seni tulen ‘berkibar terus’; tanpa dijulang, ditiup-tiup.”). Tentang hubungan seni dan kehidupan pula, Latiff berpendapat: “Tidak seperti politik, seni itu pada asasnya berada pada landasan lain, tidak mempunyai kuasa untuk memperbaiki keperluan, keadaan, dan hal ehwal kehidupan manusia. Tetapi, seni berupaya memberikan gambaran atau pengertian yang lain terhadap dunia ini.”
            Sesuai dengan sikapnya yang merendah diri, Latiff meletakkan bahagian “Peribadi” pada bahagian akhir kandungan buku ini, dengan sejumlah 183 catatan pendek. Bahagian ini mencatatkan sakitnya, mimpinya, igaunya, pernyataan-pernyataan resahnya, tokoh atau karya yang mempengaruhi hidup serta pengkaryaannya, dan sebagainya lagi.
            Dalam bahagian ini, Latiff turut mencatat tentang “Teman Merantau” nya [“Antara temanku yang paling akrab ketika aku merantau / menjelajah-selain peta atlas dunia-termasuklah buku Peribahasa Melayu (ketika rindu) dan dongeng Mulla Nasharuddin (ketika murung)”]. Perantauan/pengalaman dalam bidang seni menyebabkan Latiff pernah ditawarkan sesuatu, tetapi inilah “Pengakuannya” (“Beberapa kali sudah aku diminta menjadi guru. Tetapi maaf, aku tak bisa. Sebenarnya, aku lebih selesa menjadi pelajar saja kalau boleh pelajar sepanjang hayat.”).
            Sungguhpun bahagian akhir ini mencatatkan hal-hal peribadi Latiff dan pengakuan-pengakuannya, kita sebenarnya masih belum mendapat gambaran yang menyeluruh serta lengkap tentang dirinya.

III
Kecenderungan Latiff untuk membuat “catatan dua baris” yang ditemui di sana sini dalam Catatan, diteruskan dalam kumpulan khas yang diberi judul Catatan Dua Baris (Kuala Lumpur: LM Studio Sdn Bhd., 2012). Buku ini diterbitkan dalam edisi mewah berbanding dengan Catatan yang diterbitkan dalam bentuk biasa berkulit lembut. Terdapat 79 catatan dua barisnya dalam buku ini, dengan Catatan yang lebih awal.
            Catatan-catatan dua baris dalam buku ini bersifat renungan, peringatan, peringatan, tunjuk ajar, sebab dan akibat, serta falsafah. Contohnya:

Setiap orang dalam hidupnya
Punya rancangan yang hebat

Yang ikhlas dan yang sejati
Tak perlukan perlumbaan

Mengingati nama-nama benda
Itulah yang kita pikul setiap hari

Di Negara kemewahan melimpah
Ramai orang merasa resah

Kita diuji dengan kekurangan
Kita diuji dengan kelebihan

Kebimbangan dunia seni kurun ini
Banyaknya karya tak tahan usia

Orang berbakat sering tidak berani
Orang berani sering tidak berbakat

Yang tembus di fikiran ialah prosa
Yang tembus di khayalan ialah puisi

Kelmarin: redup pohonan
Hari ini: hingar batu-bata

Jika puisi dianggap sebagai pengucapan seni indah, bermakna, dan padat, Latiff kelihatan berusaha mencari wadah yang boleh lebih memadatkan ungkapan dan fikiran – yang ditemui melalui catatan dua barisnya.

IV
Membaca Catatan dan Catatan Dua Baris akan menyampaikan kita kepada beberapa kesimpulan, antaranya.
            Insan bernama Latiff ini luas sekali pengembaraan fizikal atau luaran yang membawanya ke beberapa benua, negara dan ceruk, tetapi yang lebih penting ialah kembaranya ke dunia ilmu pengetahuan yang pelbagai.
            Beliau menguasai ilmu yang berhubung langsung dengan bakatnya, terutama bidang seni visual, dan seni bahasa sastera (dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Jerman) yang dimanfaatkan untuk puisi, catatan, dan terjemahan karya sastera. Beliau juga meluaskan pembacaannya yang mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain, termasuk agama, sosiologi, budaya, dan falsafah.
            Latiff berkenalan dengan pelbagai genre seni di barat dan timur, yang datang bersama-sama pelbagai aliran, mewakili pelbagai kepercayaan, serta teori puitikanya. Beliau menghayatinya. Beliau selalau berusaha menyelongkar khazanah seni tradisional bangsanya, untuk menemukan kebijakan atau kearifan tempatan di dalamnya, membandingkannya dengan sastera dunia, dan sampai kepada kesimpulan betapa luar biasanya warisan sastera sendiri.
            Dalam dirinya teradun ilmu yang diperoleh secara formal dan tidak formal, dibaurkan dengan pelbagai disiplin ilmu yang lain, dan dituangkan semula ke dalam genre atau aktiviti yang difikirkannya sesuai.
            Apa-apa yang dituang dalam Catatan atau Catatan Dua Baris ada yang kedengaran seperti biasa sahaja, atau pernah kita dengar di tempat lain. Atau kita bertanya kenapa Latiff tidak kelihatan cenderung kepada sesuatu yang pada fikiran kita lebih baik jika beliau mengambil langkah itu. Tetapi tidak kurang ada yang begitu mendalam, kompleks dan berciri kefalsafahan, sehingga menggugah fikiran kita untuk bertanya, bagaimana Latiff dapat membentuk ungkapan-ungkapan padat dan luar biasa itu?; dan kita memerlukan rujukan lain, atau huraian yang lebih panjang, untuk benar-benar dapat memahami inti pemikirannya.
            Sebagai seniman visual, Latiff berminat untuk melihat apa-apa sahaja-yang harfiah dan lebih-lebih lagi yang abstrak-sebagai sesuatu yang mempunyai bentuk, warna, nafas, gerak, dan segala macam yang boleh dipersonifikasikan. Segala-galanya hadir di depan kita dengan nyata, tetapi Latiff tidak memberikan seluruh dimensi, kerana seperti warisan pantun, pepatah, dan peribahasa, bayangan yang kuat merupakan strategi terbaik untuk menyampaikan idea yang jitu dan padat.
            Sungguhpun Latiff pernah menolak tawaran tugas guru, tetapi sejumlah catatannya dalam dua buah buku terbaharunya ini ada yang menunjukkan kecenderungannya untuk menggurui. Namun, beliau bukanlah guru yang tampil nyata di hadapan murid-muridnya (penulis muda), sebaliknya beliau duduk di bawah bayang pohonan, dengan kata-kata yang lembut, berpakaian sederhana, yang mengaburkan wujud dirinya, sementara di sekelilingnya segala flora, fauna dan segala yang abstrak termasuk idea tersihir untuk mempunyai bentuk, warna, nafas, dan gerak kinetik di mandala kenyataan visual dan di atas kertas yang tercipta daripada bauran imaginasi dan realiti.


 -Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.
                 
                 




Mengenali Penyair Latiff Mohidin - Rahman Shaari

Oleh: RAHMAN SHAARI
14 Ogos 2011

Penyair Latiff Mohidin amat dikenali dan dikagumi dalam dekad  1960-an, 1970-an, 1980-an, dan 1990-an.  Namanya meningkat naik kerana puisinya berbeza daripada puisi  penyair lain yang sezaman dengannya.  Dalam dekad-dekad tersebut, beliau sering dirangkaikan dengan penyair Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain.  Mereka disebut penyair tiga serangkai. Namun, Latiff ada kelebihan lain yang tidak terdapat pada Muhammad dan Baha. Latiff  ialah penyair cum pelukis.

Puisi Latiff yang  mula mengharumkan namanya ialah “Sungai Mekong”.  Karya ini dihasilkan dalam dekad 1960-an, tetapi menjadi terkenal sepanjang masa, dari dekad ke dekad.   Dapat dikatakan bahawa “Sungai Mekong” ialah puisi rentas dekad, sama seperti sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang, atau “Di Bawah Bintang Mengerdip” karya A Samad Said.

Sajak “Sungai Mekong” adalah aneh bagi orang yang pertama membaca karya ini yang agak surealis.   Cubalah anda   baca rangkap pertama ini:
Sungai Mekong kupilih namamu
Kerana aku begitu sepi
Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu
Kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari
Kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu
Namaku ke muara/ Suaraku ke gunung.

Dalam pengajaran di kelas-kelas puisi, saya selalu bertanya kepada pelajar tentang makna bari-baris ini: Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu/ kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari. Pelajar kebanyakannya hairan, bagaimankah penyair dapat berbuat begitu, atau berimaginasi begitu. Dadanya dibenamkan ke dasar Sungai Mekong, manakala kakinya terkangkang, sebelah di bulan, sebelah lagi di matahari. Seseorang tentu tidak dapat melakukan perbuatan begitu. Jadi, apakah maknanya? 

Jika makna sajak di atas dilukiskan dengan menggunakan berus dan cat, keanehan perlakuan itu akan dianggap surealis. Dan himpunan imej-imej yang dipungut penyair, iaitu ‘sungai’, ‘matahari’, ‘bulan’, ‘muara’ dan ‘gunung’ menjadikan sajak ini imagis. Seterusnya, perlu ditegaskan bahawa sajak begini hanya dapat dihasilkan oleh penyair yang berbakat besar dalam seni puisi dan seni lukis. 

Pada masa makalah ini ditulis, Latiff Mohidin tidak aktif menghasilkan karya, baik puisi mahupun lukisan. Sekurang-kurangnya itu ialah tanggapan peminat-peminat beliau. Mungkin beliau  ada menghasilkan karya diam-diam, dan akan menerbitkannya secara tiba-tiba  hingga menjadi satu kejutan besar.

Setelah agak lama memikirkan kemungkinan Latiff masih menulis, atau sebaliknya, muncul sebuah buku yang bertajuk Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, 2010).  Pada mulanya saya menyangka ini ialah buku tentang proses kreatif beliau, atau autobiografi Latiff.  Ternyata tidak. Buku ini memuatkan pelbagai hal dalam kehidupan harian Latiff, dan disertai kata-kata pedoman  (aforisme) ciptaannya. 

Dalam bicara ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap aforisme Latiff.  Ini mungkin dapat menjadi petunjuk kepada sesiapa yang sesuai menerima dan menghadamnya.

Latiff mengatakan, tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang. Itu betul. Adakah itu bertaraf aforisme?  Apakah pengajaran yang kita peroleh?  Saya kira, pengajarannya ialah bahawa penulis hendaklah menghasilkan karya evergreen.  Apabila karyanya tahan lama, maka dia tidak akan menghadapi tragedi yang disebutkan Latiff. Nampaknya, kita akan mendapat manfaat setelah merenungi makna lapisan kedua, bukan lapisan pertama.

Perkara lain yang juga agak menarik ialah peristiwa Latiff ditanya tentang makna sajaknya. Sebenarnya, saya pernah mendengar kisah Latiff menjawab soalan kawannya tentang apa-apa yang ada  di sebalik lukisannya. Jawapan Latiff begini: Di sebalik lukisan ini ialah  dinding. Itu tentulah betul, kerana lukisan tergantung di dinding.

Dalam hal puisi, Latiff dikunjungi oleh kawannya (halaman 186-187). Anak kawannya  (yang turut bersama-sama) akan menduduki peperiksaan.  Latiff ditanya tentang makna baris-baris sajak “Sungai Mekong”.  Ketika itu (akhir dekad 1979-an) “Sungai Mekong” ialah salah sebuah puisi yang dikaji untuk peringkat SPM.

“Apakah makna sebenarnya baris-baris ini?”

Latiff tidak dapat menjawab soalan bapa yang mewakili anaknya  itu. Beliau mengelak daripada menjawabnya secara lurus. Kata Latiff, “...makna sesebuah sajak itu tidak begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya.”

Ternyata, Latiff tidak sesuai menjadi guru sastera.  Di sekolah, guru hendaklah memberikan tafsiran yang meyakinkan. Terdapat kaedah-kaedah pengajaran yang akhirnya menyebabkan pelajar yakin akan makna sajak.  Walau bagaimanapun, Latiff merasakan bahawa jawapannya diterima oleh bapa dan anak itu. Tetapi,  malang bagi Latiff, lelaki itu berkata: Tetapi sajak mesti ada makna!” (Halaman 187)

Latiff berjanji dengan si bapa untuk bertemu lagi. Beliau akan menolong anak itu.  Di samping itu, Latiff berfikir ligat tentang pertolongan yang akan diberikannya. Beliau teringatkan guru sastera.

Bahagian manakah dalam kisah di atas yang dapat kita anggap aforisme?   Perhatikan kata-kata Latiff: yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya. Latiff tidak memikirkan makna sebenar sesebuah sajak.  Apabila si bapa mengatakan bahawa setiap sajak mesti ada makna, Latiff masih tidak cenderung untuk memberikan jawapan yang mantap dan meyakinkan.

Memang betul. Pendidikan puisi di luar sistem peperiksaan  tidak menghasratkan sesiapa mengetahu makna baris, tema keseluruhan dan lain-lain. Yang penting ialah pengalaman membaca karya.  Namun, bagi pelajar sekolah, tiada gunanya membaca karya jika dia tidak dapat menyatakan maknanya, dan juga temanya. Makna dan tema itu pula mestilah menyamai makna dan tema yang ditentukan oleh Lembaga Peperiksan.

Bahagian di atas membawa maksud, peminat sastera yang tulen tidak membaca karya sastera untuk mendapatkan makna tetap.  Dia membaca karya secara kreatif, dan mendapatkan makna  ketika membacanya, bukan melalui pertanyaan kepada penulis karya itu.  Pelajar sekolah selalunya bergantung kepada makna yang diberikan oleh orang lain, termasuk guru sastera.


(Profesor Rahman Shaari kini bertugas di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Artikel ini diterbitkan dalam Sinar Harian (14/8/2011). Walau bagaimanapun artikel yang disiarkan dalam blog ini adalah versi asal penulis.) 


Dunia Buku: Kelana Minda Latiff Mohidin

Oleh HAFIZAH ISZAHANID

INFO
Tajuk buku :
Catatan Latiff Mohidin
Keluaran : Maya Press Sdn Bhd
Halaman : 397
Bintang : ****
Harga: RM36.00

Penulis Sungai Mekong rakam pengalaman dan perasaan
ABDUL Latiff Mohidin mungkin satu-satunya seniman yang memiliki sentuhan magis serba menjadi. Antara puisi dan catan, Latiff mengungguli kedua-duanya. Jika Syed Ahmad Jamal menzahirkan Sidang Roh, sedutan dari sajak Kassim Ahmad manakala Ibrahim Hussien menghasilkan Pak Utih, ilham lewat karya Sasterawan Negara (SN), Usman Awang, Latiff merungkai sendiri makna lewat puisi Sungai Mekong dalam Siri Pago-Pago dan Siri Langkawi.

Setiap apa yang terlintas di benaknya selama aktif dalam dunia seni, terakam dalam Catatan Latiff Mohidin keluaran Maya Press. Bagi penggemar Latiff, buku ini adalah kitab yang wajar dimiliki. Ia bukan buku fiksyen, jauh sekali esei atau merakam proses pengkaryaan puisi atau catan. Sebaliknya ia hanyalah catatan pendek yang merangkumi pelbagai topik tentang sastera, puisi, filem dan budaya. Tidak ketinggalan 84 halaman peribadi yang memperlihatkan sisi lain Latiff.

Seperti diketahui, Latiff adalah lulusan seni halus dari Akademi Seni Halus di Berlin, Jerman pada pertengahan 1960-an. Malah, Latiff juga pernah terdidik dalam lingkungan pengajian yang sama di Atelier La Courrier, Paris, pada 1969 dan di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat.

Justeru tidak hairan, pengaruh dan pengalaman di barat banyak sekali diterjemahkan dalam karya. Malah dalam beberapa catatannya, memperlihatkan kekaguman Latiff pada pemuisi Bohemian Austria, Rainer Maria Rilke. Kekaguman itu dapat difahami kerana Rilke adalah pemuisi Jerman terpenting. Selain Rilke, Latiff turut mencatat kekagumannya pada Johann Wolfgang von Goethe, penulis yang dianggap sebagai genius dalam kesusasteraan Jerman, selain Gunter Eich dan Bertolt Brecht.

Bagaimanapun, Latiff sedikit terkilan kerana kehebatannya dalam seni halus ada kalanya dijadikan cara termudah bagi pengkritik untuk mengetepikan puisi-puisinya. Jelas Latiff jika ada antara puisinya yang tidak difahami, ‘mereka terus saja lepas tangan. Ditolak dan disingkirkan sajak-sajakku ke daerah seni lukis. Ah, ini daerah surelisme, kata mereka. Dengan demikian tertutuplah kemungkinan segala ruang metamorfosisinya’ (halaman 165).

Begitupun, sejauh mana pun sajak-sajaknya tersingkir lewat ketidakfahaman itu, puisi-puisinya masih memiliki magis yang membolehkan Latiff dinobat sebagai penerima anugerah penulisan di peringkat Asia Tenggara (SEA Write) pada 1984.

Meskipun handal dalam kedua-dua bidang seni, buku ini menjelaskan sebenarnya Latiff tidak mempunyai masa yang khusus untuk berkarya. Sebaliknya Latiff menegaskan masa berkarya itu akan datang sendiri mengikut kesesuaian, keselesaan, kelapangan dan kebiasaan. Bagaimanapun menghasilkan karya kreatif dan catan bukanlah kerja mudah, ‘tidak mudah melompat dari petak lukisan ke rentak puisi, dari lapisan rona warna ke urutan kata-kata’ halaman 185.

Di dalam buku ini juga, Latiff ada mencatatkan mengenai gaya penulis muda zaman itu (sekitar 1970-an) yang terlalu gemar bermain dengan kata-kata dalam karya walaupun sesetengahnya tidak ada makna.

Penulis muda zaman itu katanya (dan masih wujud juga pada zaman ini) gemarkan pemilihan kata berkerawang, berbunga-bunga. Sedangkan diksi dalam puisi haruslah tepat untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Catatan itu dibuat lebih dari dua kali yang menjelaskan betapa Latiff terganggu membaca karya sebegitu. Pada Latiff, biarlah sajak miskin kata-kata asalkan kaya raya tafsirannya.

“Akhirnya yang akan dikenang oleh pembaca ialah kesan daripada isi sesuatu karya; bukan gaya, bukan teknik. Akhirnya yang akan sampai ke hati ialah getaran kata daripada benda yang biasa, (tetapi terasa aneh, terasa luar biasa) halaman 342.

Latiff juga mencatatkan maksud penulisan yang konsisten itu adalah mutu karya juga berganda hebat bukan mengulang yang itu-itu juga, kalau demikian lebih baik berhenti menyair.

Catatan Latiff turut memperlihatkan keakrabannya dengan Usman Awang, Lat dan Datuk Baharuddin Zainal (disebut sebagai Baha di dalam buku ini). Turut dicatatkan adalah keluh kesahnya membuat kerja terjemahan yang sukar. Satu catatan yang menarik adalah kisah dia bersengkang mata bersama-sama Usman Awang di Art Print, Jalan Riong bagi menyambut kelahiran sulung Dewan Sastera pada 13 Januari 1971. Detik itu disifatkan sebagai menanti anak sulung yang mana, Usman Awang adalah bidannya dan dia pembantu bidan.

Latiff, sejak kecil diketahui sebagai ‘budak ajaib’, namun tiada catatan mengenai kisah remajanya dalam buku ini cuma sesekali Latiff menulis segala pesanan ibu dan bapanya. Bagaimanapun, ada baris yang mencatatkan mengenai perantauannya yang disifatkan oleh Latiff (yang lahir dalam keluarga Minang) sebagai cara untuk memerdekakan diri.


*******

Bakat pelukis, penyair dan penterjemah

ABDUL Latiff Mohidin adalah fenomena dunia seni di Malaysia. Lahir pada 20 Ogos 1941 di Seremban, Negeri Sembilan, Latiff mula berpuisi pada 1963 dan mendapat pendidikan formal dalam seni halus di barat. Justeru, karya Latiff sama ada catan atau puisi sisi romantisme artis barat dapat dikesan dalam karyanya.

Mungkin, puisi Latiff yang paling terkenal adalah Sungai Mekong yang kemudian dijadikan tajuk antologi puisi pada 1972 dan mungkin juga catannya yang paling diingini oleh pengumpul adalah Pago-Pago, namun kebanyakan karya Latiff memiliki keunikan tersendiri. Jika dilihat lebih terperinci, Latiff sebenarnya lebih gemar berkarya mengenai isu masyarakat dan alam setempat, sedaya upaya mengelak untuk berbicara soal politik.

Dalam pengembaraannya, antara 1962 dan 1983, Latiff berkesempatan mengadakan pameran catan di sekitar Jerman; Berlin, Frankfurt, Hamburg selain Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London.

Dalam dunia sastera, Latiff pernah memenangi banyak anugerah sastera dan antaranya Hadiah Karya Sastera/Hadiah Sastera Malaysia, Anugerah Puisi Putera 1 anjuran Bank Bumiputera serta GAPENA selain Anugerah Penulisan SEA.

Selain melukis dan menulis, Latiff juga membuat kerja penterjemahan karya Tagore, Rumi, Omar Khayyam, Loa Tzu dalam bahasa Melayu

(Resensi ini diterbitkan di ruangan Sastera, Berita Harian, 6hb Mei 2011.)

Muncul dari Penyepian Menjelma dari Keresahan

Oleh: ZULKIFLI SALLEH 
JUMAAT, 22 April 2011

Apabila Khairul Aisyam Hidayat meminta saya mengulas buku terbaharu Latiff Mohidin, terus terbayang dalam fikiran saya apakah buku-buku beliau yang lain yang ada dalam koleksi saya. Saya yakin bahawa saya memiliki beberapa buku beliau, tetapi mungkin saya terpaksa mencarinya dalam rak-rak buku di rumah saya atau di kondominium anak saya – tempat saya menyimpan sebahagian buku saya. Pada masa yang sama, saya teringat karya beliau Garis: Dari Titik ke Titik yang pada mulanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian diterbitkan oleh Petronas. Saya memiliki naskhah terbitan Petronas itu atas pemberian Datuk Baha Zain.

Karim Raslan memuatkan ulasan Garis: Dari Titik ke Titik dalam bukunya, Menjajat Asia Tenggara: Ceritalah 2, yang antaranya mengatakan bahawa kerapian intelektual yang digunakan Latiff untuk menyemai seninya dengan ketegasan dan semangat tanpa kepekaan kurang menyenangkan ramai orang lain. Pada bahagian lain, Karim menulis: “Memandangkan kepelbagaian bahasa, adat, dan sokongan kerajaan Malaysia kepada hak istimewa kaum perilbumi Melayu, Latif adalah salah seorang artis Melayu daripada segelintir artis yang karyanya yang terlepas daripada pencemaran moral akibat penyesuaian politik. Dalam semangat jati ekspresionisme, dia tidak mengharapkan pertolongan kerajaan dan tetap berada antara kejamakan Malaysia, meskipun dia tidak sahaja merupakan pelukis penting Malaysia, tetapi juga sebagai penulis sajak dalam bahasa Melayu yang paling disanjung.” Dalam ulasan itu, Karim juga memetik Krishen Jit bahawa penarikan diri Latiff daripada kerenah birokrasi merupakan satu rahmat terselindung: “Pertolongan kerajaan boleh menjadi kucupan pemusnah (maut).”

Pada tahun 1994 jika tidak silap, seorang penulis memberitahu saya bahawa Latiff Mohidin lebih bersifat menyendiri, tidak banyak berhubung dengan kawan-kawannya. Semasa saya mengetuai Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka antara tahun 2000 – 2003, kemudian berpindah ke Bahagian Penerbitan Sastera, seterusnya ke Bahagian Ensiklopedia, dan akhir sekali sebagai Pengarah Penerbitan, seingat saya nama beliau tidak banyak muncul. Ketika membaca buku beliau, Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, Petaling Jaya, 397 hlm.), saya teringat projek Ensiklopedia Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, saya beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan pakar bidang yang diketuai Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pada tahun 2005 dan 2006. Meskipun saya yakin bahawa Latiff pasti ada dalam “entri,” tetapi saya mendapatkan pengesahan daripada Haliza Jamaludin dan Mohamad Ibrahim, daripada bahagian berkenaan. Dalam ensiklopedia yang akan diterbitkan itu, Latiff diletakkan bersama-sama dengan dua orang lain lagi sebagai “penyair-pelukis.” Mereka lebih dikenali sebagai penyair pelukis, yang menghasilkan karya seni tampak dan puisi. Dalam perkembangan seni di Malaysia, lahir beberapa orang seniman yang berkarya dalam beberapa genre seni seperti seni lukis, arca, sketsa, kaligrafi, di samping berkarya dalam genre sastera seperti puisi, cerpen, dan novel.

Ketika membaca Catatan Latiff Mohidin, saya melakukan kerja sambilan penyuntingan manuskrip yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Esei Penghargaan V.I. Braginsky: Mengharungi Laut Sastera Melayu, satu daripada 22 makalah itu ialah “Dari Warna Konkrit ke Cahaya Absrtak: Penggunaan Topoi ‘Warna’ dan ‘Cahaya’ dalam Puisi A. Latiff Mohidin” oleh Arndt Graf, seorang sarjana Jerman. Dalam pengenalan makalah itu, Graf menulis, “sejak tahun 1960-an, A. Latiff Mohidin tidak hanya menonjol sebagai penyair unggul yang telah banyak dikaji oleh pakar kesusasteraan Melayu, antaranya V.I. Braginsky, tetapi juga sebagai pelukis Malaysia yang utama.

Dalam makalah itu, Graf mengkaji tiga koleksi sajak A. Latiff Mohidin, iaitu Sungai Mekong, Pesisir Waktu, dan Rawa-Rawa yang secara keseluruhan beliau simpulkan, “terdapat satu tendensi yang jelas dari fasa yang konkrit dan sedikit gelap pada tahun 1960-an, melalui fasa ceria dan senang warna hijau daripada tumbuhan, ke suatu fasa yang semakin memfokuskan corak cahaya abstrak. Benda dan warna individualnya semakin tidak lagi penting.

Meskipun Latiff Mohidin dikatakan menyendiri, namun daripada beberapa contoh di atas jelas bahawa beliau tidak terlepas daripada “radar penulisan dan kritikan.” Dan, dengan terbitnya Catatan, beliau muncul dari penyepian. Memetik haluan kata beliau dalam buku ini, “sebatang pena, sebuah buku Catatan; selebihnya keresahan hidup seharian,” boleh ditafsirkan bahawa melalui buku terbaharu ini, beliau juga menjelma dari keresahan.

Membaca Catatan Latiff Mohidin, yang segera terbayang dalam fikiran saya ialah Latiff sebagai penyair dan pelukis, dan Latiff sebagai pengembara. Antara Latiff sebagai penyair dan pelukis dengan Latiff sebagai pengembara, pastinya pengembaraan beliau menjadi tumpuan saya. Jika di peringkat antarabangsa, penulis Amerika masa kini, iaitu Robert D. Kaplan yang ulasan bukunya saya masukkan dalam blog saya, terkenal sebagai penulis kembara, Latiff meletakkan dirinya sebagai seniman kembara lebih awal lagi.

Meskipun saya boleh menelitinya dalam Garis: Dari Titik ke Titik, namun pada peringkat awal pembacaan, saya asyik mencari bab atau mana-mana bahagian yang berkemungkinan menceritakan kisah pengembaraan beliau di banyak negara dan merentas benua. Meskipun dalam Catatan itu beliau ada kalanya menyatakan di manakah beliau berada, tetapi yang menarik perhatian saya ialah “Bab 11: Peribadi.” Di bawah topik “kereta api meraung,” antaranya beliau menulis: Kemudian, sewaktu mengembara pada tahun 60-an dahulu dari Noongkhai; dari Frankfurt ke Milan (Inter Continental); dari New Delhi ke Amritsar; dari Jakarta ke Surabaya; dari London ke Manchester; dari Berlin ke Alsfeld; dari Gemas ke Pasir Mas; dari Amsterdam ke Paris; dari Tanjung Pagar dan seterusnya ke Bangkok.

Buku ini mengandungi 11 bab, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Kebanyakan catatan yang dinyatakan dalam Catatan ini berkisar pada tahun 1960-an dan 1970-an. Nyata bahawa topik yang dirangkumi agak luas: sastera, bahasa, budaya, dan seni yang merentas sempadan negara dan benua. Kaya dengan pengalaman pengarangnya, Latiff Mohidin, dan sarat dengan peringatan serta tunjuk ajar: “jangan mengambil upah, suatu hari nanti engkau akan terupah” peringatan beliau kepada sasterawan upahan. Kepada yang ingin menjadi penyair, beliau memberikan bimbingan, seperti yang dapat dirujuk dalam bab Puisi Umum, Puisi, dan Puisi LM.

Meskipun saya sedari bahawa saya tidak layak mengulas puisi, apatah lagi puisi Latiff Mohidin, namun membaca puisi beliau, “Di Sayong... Di Sayong” (hlm. 223) amat membangkitkan keterujaan pada diri saya kerana bahasanya sungguh segar dan retak katanya sungguh bertenaga, menepati penjelasan beliau untuk meleraikan rasa kecewa: “asalku tanah/ bentuklah aku/ tanpa banir/ tanpa sepuh/ dari dalam aku diurut/ dari dalam aku disurih/ mulut birai/ perutku lesung/ asalku tanah/ bentuklah aku/ sehingga leherku jinjang/ sehingga pinggangku ramping/ di sela-sela jari wanita/ aku dilahirkan/ di Sayong/ di Sayong...”

Membaca buku ini, bagi saya terasa seakan-akan membaca memoir anak kelahiran Negeri Sembilan yang pernah tinggal di Singapura, negara kota yang ayahnya memiliki rumah tumpangan, dan pernah melanjutkan pengajian di Berlin. Terlalu banyak tempat yang dilawatinya, dalam dan luar negara, dan terlalu banyak orang yang ditemui dan disabahatinya daripada pelukis kepada penyair kepada penulis kepada seniman; daripada Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan kepada Sasterawan Negara; daripada pejuang nasionalis kepada sosialis. Tidak kurang manusia biasa daripada bermacam-macam latar belakang dan yang mengharungi pelbagai ragam kehidupan. Sekali-sekala muncul nama tokoh korporat yang pernah merantau bersama-sama beliau. Daripada bangsawan kepada teater; daripada bengkel kepada seminar; daripada melukis di jalanan kepada pameran bertaraf dunia. Juga perlu dinyatakan di sini, dari Balai Budaya, ke Sudut Penulis ke kantin DBP.

Walaupun banyak catatan yang menarik, namun yang menarik perhatian saya ialah usaha Latiff Mohidin untuk menyatukan sains dengan seni, seperti yang beliau nyatakan dalam “seni dan sains di Universiti Sains Malaysia” (hlm. 293). Membaca idea beliau untuk mewujudkan “karyasama” yang akhirnya menemui jalan buntu, mengingatkan saya tentang “dua budaya” C.P. Snow yang saya bincangkan dan bahaskan dalam “Dua Budaya” yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya bulan ini.

Pada 7 Mei 1959, novelis, ahli sains, dan ahli politik tersebut menyampaikan syarahan “Rede Lecture” di Senate House, Cambridge. Syarahan beliau itu adalah tentang intelektual yang terputus antara sains dengan ilmu kemanusiaan. Beliau meratapi apakah yang beliau istilahkan “dua budaya” dalam masyarakat moden, iaitu sastera dan sains. Dalam syarahan yang terkenal dan bersifat ingin tahu itu, "The Two Cultures and the Scientific Revolution", Snow mendedahkan bahaya jurang yang luas antara ahlis sains dengan “intelektual sastera.” Dalam syarahan yang kemudiannnya dipetik secara meluas itu, beliau membezakan antara budaya ilmu kemanusiaan dengan sains semula jadi, dan beliau mengutamakan sains semula jadi. Pada tahun 1959, Snow melihat jurang perbezaan antara saintifik dengan elit intelektual, sebagai satu penghalang.

Dalam bukunya, The Uncertainties of Knowledge, Immanuel Wallerstein, turut mengupas dan membahaskan dua budaya, tetapi dengan kewujudan sains sosial. “Kita memasuki abad ke-21,” tulis beliau, “dengan ketidakpastian yang cukup besar tentang kesahihan sempadan disiplin dalam lingkungan sains sosial, dan persoalan sebenar untuk kali pertama dalam dua abad, kesahan epistemologi yang memisahkan ‘dua budaya’ dan oleh itu, de facto tiga kali ganda penyekatan ilmu ke dalam supercategories sains semula jadi, ilmu kemanusiaan, dan antara kedua-duanya, sains sosial.”

Dalam buku itu juga Wallerstein cuba menarik perhatian tentang keterhakisan keagungan sains yang kini dituduh bersifat ideologi, subjektif, dan tidak boleh dipercayai. Sains kini diserang. Isytihar Wallerstein. “Tidak lagi mempunyai rasa hormat tanpa dipersoalkan yang dinikmati sejak dua dekad lalu sebagai bentuk kebenaran paling pasti – bagi kebanyakan orang, hanya bentuk pasti kebenaran.” Tentang kebenaran yang diagung-agungkan oleh sains itu, Latiff Mohidin juga mengetengahkannya di bawah topik “mencari kebenaran”: “Dikatakan bahawa para saintis mencari kebenaran. Namun, seniman pun mencari kebenaran. Jadi, mereka sama-sama mencari kebenaran” (hlm. 297). Lebih 30 tahun lalu, Latiff mempersoalkan “kebenaran yang bagaimana?” yang jelas hingga kini tidak dapat diberikan jawapannya kerana memetik Wallerstein bahawa “dari segi kebenaran, sains kini mengalami nasib seperti teologi, falsafah, dan kebijakan rakyat (folk wisdom).”

Sebagaimana Wallerstein yang menganggap sains ditawan oleh ideologi, demikian juga Latiff: “Tetapi, hidup kita ini sudah pun berabad-abad lamanya berbelah bagi (dibahagi dua oleh berbagai-bagai ideologi/fahaman politik, ekonomi, budaya...” (hlm. 298). Namun, beliau menambah tentang dunia yang dipolarisasikan – sistem-dunia kapitalis: “Maka sebagai akibatnya, timbullah pembahagian ‘dunia yang berat sebelah’ kepada pemikiran Timur-Barat, pemikiran kampung-kota, pemikiran golongan kaya-golongan miskin, pemikiran sains-seni; pemikiran yang asyik bercanggahan atau dicanggahkan.”

Berbicara tentang seni yang diketengahkan oleh Latiff bahawa “seni juga mencerminkan khalayak/penontonnya, bukan hanya kehidupan seniman/penciptanya” yang sekan-akan membangkitkan keresahan pada dirinya, elok juga dipetik Salman Rushdie yang menulis “Dangerous Art” dalam The New York Times baru-baru ini yang membahaskan seni boleh jadi berbahaya. Terlalu kerap kemasyhuran seni terbukti lebih bahaya kepada seniman itu sendiri. “Kita mungkin boleh meletakkan pertaruhan kita terhadap seni untuk menewaskan penzalim,” tulis Salman.

Dunia dan zaman tidak terlepas daripada Latiff Mohidin yang melihatnya dari segi falsafah bahawa “Kuno dan moden: kita hidup dalam dua dunia, dalam dua waktu; setiap hari, setiap saat membaur, menganyam yang dulu dengan yang kini… Apabila yang kuno kelihatan moden, yang moden kelihatan kuno sekali” (hlm. 397).

Setelah muncul dari penyepian, menjelma dari keresahan, Latiff Mohiddin memberikan jaminan bahawa beliau “senantiasa ingin melukis dan menulis mengikut nafas dan larasku sendiri...” Nyata bahawa beliau belum lagi ditimpa penyakit “lumpuh karya,” iaitu tenaga kreatif sasterawan terasa menurun. Kepada penulis dan sasterawan yang mula tumpul segala-galanya, tumpul minda, tumpul pena, tumpul kreativiti, tumpul tenaga, Latiff bagaikan ingin menyuntik semangat agar mereka terus berkarya. Kepada penulis muda yang buku ini dedikasikan, Latiff memberikan pedoman dan bimbingan agar mereka menjelajah dunia tanpa sempadan dan mengharungi samudera terbentang luas kerana di situlah mengalir sumber ilham yang tidak pernah kering tentang manusia, tentang alam, tentang kehidupan.

Kepada teman di DBP yang mungkin resah dan gelisah bukan sahaja memikirkan masa depan fungsi teras utama, bahkan organisasi itu sendiri yang kini menjadi sasaran persendaan, ini pesan Latiff, “sastera tetap dibaca supaya kita kenal apa itu insan/manusia."

(Zulkifli Salleh pernah menjadi ketua di Bahagian Majalah, Bahagian Penerbitan Sastera, dan Bahagian Ensiklopedia, sebelum mengakhiri perkhidmatannya di DBP sebagai Pengarah Penerbitan. Laman blog beliau, Sistem Dunia boleh dilawati di sini.)

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.