Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Bentuk Vitalisme

Bentuk vitalisme diciptakan oleh penyair H Marsman (lahir di Belanda pada tahun 1890). Bentuk puisi moden ini timbul daripada aliran ekspresionisme Jerman (suatu aliran yang pernah mempengaruhi seluruh cabang seni di Jerman pada awal kurun ke-20 hinggalah ke tahun 30-an).

Bentuk vitalisme kemudiannya dibawa masuk ke dalam sastera Indonesia melalui puisi-puisi Chairul Anwar pada pertengahan tahun 40-an. Daripada sastera Indonesia, bentuk vitalisme dibawa masuk ke dalam sastera Melayu, terutama oleh Masuri SN dan Usman Awang, tetapi hanya untuk seketika (amat ketara dalam beberapa sajak mereka pada awal tahun 50-an), seolah-olah mahu meminjam gayanya saja. Lalu di tangan mereka, bentuk vitalisme-ekspresionisme tadi bertukar nama. Kini, bentuk itu lebih dikenal sebagai aliran humanisme atau universalisme.

-CATATAN, halaman 31.

Pesan Norman Mailer & John Steinbeck

"Khalayakmu hanyalah seorang pembaca, mungkin seseorang yang amat kaukenali atau seseorang yang kauciptakan sendiri. Kepadanyalah kautulis seluruh karyamu." - John Steinbeck

"Engkau harus menganggap bahawa kerja-kerja menulis ialah kerja yang lebih penting daripada segala-galanya. Kalaulah engkau bimbang tentang perasaan orang lain, maka engkau tidak akan ke mana-mana akhirnya." - Norman Mailer

-CATATAN, halaman 68 & 74.

Empat Langgam Bahasa

Tetamu malam itu (mamakku) datang lagi, bercerita lagi tentang lenggang-lenggok bahasa ibunda kita.

"Katakanlah kita berada di suatu majlis adat perasmian. Kita ingin berbicara, berbahasa kepada berbagai-bagai tingkatan orang, tetapi tidak mudah. Berbahasa itu ada caranya, ada langgamnya. Langgam bahasa namanya.

Kalau orang bawah mahu berbicara kepada orang atas, pakailah 'bahasa mendaki'. Sebaliknya, kalau orang atas mahu berbicara kepada orang bawah, pakailah 'bahasa menurun'. Kalau kita ingin berbual dengan teman sebaya (yang sedarjat), kita pakai 'bahasa mendatar'. Tetapi, kalau kita ingin mengatakan atau menanyakan sesuatu yang benar kepada kaum keluarga, namun kita berasa agak malu, segan maka kita pakai saja 'bahasa melereng' (bahasa tidak langsung, tetapi sopan)

Demikianlah kaedah 'langgam bahasa yang empat'."

(Sebenarnya 'bahasa melereng' inilah, mengikut hemat mamakku, yang melahirkan kata-kata kiasan dalam budaya lisan kita, dalam perkembangan sastera kita; yang melahirkan segala ungkapan dan peribahasa - pepatah pepitih, tamsil ibarat, dan gurindam seloka yang indah-indah itu.)

-CATATAN, halaman 102.

[Ulasan] Teater daripada Catatan Latiff Mohidin

Oleh: DINSMAN

Ada banyak perkara menarik mengenai buku Catatan Latiff Mohidin. Jenis dan bentuk tulisannya itu sendiri pun cukup menarik. Suatu genre yang menyegarkan untuk bacaan. Misalnya, ada banyak perkara mengenai Latiff Mohidin yang kita boleh temui dalam buku ini, khasnya mengenai seni. Buku ini merupakan bacaan yang menarik untuk diulangi pembacaannya. Walaubagaimanapun, saya akan menulis hanya satu perkara, iaitu mengenai catatan-catatannya sekitar teater. Yang lainnya biarlah dahulu. 

Latiff membahagikan catatannya kepada 11 perkara, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Saya akan soroti bahagian ke sembilan itu (hal. 227-262), dan cuba melihat kembali teater Malaysia (Melayu) melalui catatan Latiff. 

Catatannya pendek sahaja, dan kebanyakannya tidak ada tarikh. Yang ada tarikh (pun tidak disusunnya berurutan), secara kebetulan agaknya, banyak sekitar tahun 1970-an, iaitu tahun yang teater Melayu paling aktif, dan saya pun kebetulan berada di dalamnya. Kebetulan. (Atau ya-kah, kebetulan?). Maka sambil membaca itu ingatan pun menghidupkan kembali beberapa peristiwa, terutamanya aktiviti Kumpulan Anak Alam, yang juga sangat aktif ketika itu. 

Kita ambil catatan kedua: “Di Sudut Pentas” (Ogos 1974): “Ada tiga jalan untuk kegiatan drama dewasa ini. Jalan pertama, meluncur bersama drama rakyat seluruhnya, iaitu dengan tekad untuk mengangkat/menyambung tradisi. Jalan kedua, terjun saja ke dalam drama moden seluruhnya; tanpa sentiment, tanpa mempedulikan unsur warisan. Atau yang lebih menarik, jalan ketiga, iaitu mencampurbaurkan drama tradisi dengan drama moden.” 

Hal itu tanggapan Latiff terhadap aktiviti teater waktu itu. Dilihatnya ada tiga aliran. Kemudian, dalam catatan selang beberapa setelah itu, ada tajuk “Teater Absurd, 74”. “Hairan juga aku,” katanya, “Bagaimana dramatis tempatan tiba-tiba saja menolak teater absurd (sejenis teater baru dari Barat)? Tanpa kita perlu menganut falsafahnya, kulihat stail dan stuktur dramatiknya cukup menarik, iaitu sebagai suatu eksperimen…” 

Dramatis tempatan sekitar tahun 1974 menolak teater absurd? Catatan itu membuatkan saya berfikir semula kerana teater saya pun, waktu itu, dikatakan teater absurd. Ya, barangkali itu yang dilihat oleh Latiff. Dan, ternyata Latiff meminati teater absurd. Dicatatnya lagi selepas itu sebuah tajuk “Teater Absurd itu Absurd”. Katanya: “Teater absurd itu absurd-humornya pahit; teaternya hitam; ‘hening’ ditinggalkan di tengah-tengah pentas, begitu lama sekali, di bawah suluhan lampu hingga menjadi ‘h i n G a r’!” 

Kemudian, dia juga mencatatkan pengalamannya diminta berlakon dalam sebuah taridra Uda dan Dara, yang dipentaskan oleh MTG (Malaysian Theater Group). Dia menolak permintaan pengarah itu, dengan alas an: “Aku tidak bisa beraksi di atas pentas. Aku cepat gugup, malah biasa gagap. Suaraku rendah, orang di belakang sana akan kecewa. Aku mudah berpeluh…”. Beberapa halaman kemudian, ada lagi catatan mengenai Uda dan Dara ini, (pementasan Gemaseni, 1972) –“Nah, inilah taridra yang ku nanti-nantikan selama ini! Liriknya hebat. Lagu dan iramanya mengasyikkan. Romantis memang; kali ini mesej sosial Usman Awang benar-benar datang menerkam, ‘menikam’ dalam girang.” 

Apakah yang dimaksudkannya itu muzika Uda dan Dara arahan Rahim Razali? Rasa-rasanya begitu, tapi saya tidak pasti.

Pengalamannya yang lain, terlibat dengan teater , dicatatkan di bawah tajuk “Pementasan Hamlet” (di Universiti Sains Malaysia, Januari 1979). “Aku diberi tugas oleh sutradara dari Australia itu untuk menasihati mereka (semasa latihan) tentang penggunaan bahasa dan pengertiannya, tentang pengucapan bahasa Melayu yang lazimnya diucapkan setiap hari. Naskah terjemahan Trisno Sumarjo itu ternyata terlalu puitis.” (Dia tidak menyebut nama Helen ven der Poorten, pengarah dan pensyarah teater dari Australia itu). 

Satu lagi cerita penglibatan Latiff dalam teater dicatatkannya di bawah tajuk “Set buat Hang Jebat?”. Tulisnya: “Usman Awang menunjuk aku sebagai tukang pereka set untuk dramanya Matinya Seorang Pahlawan. Ini membuatkan aku berpeluh, ‘Bagaimana membayangkan watak dan dunia seorang yang bernama Hang Jebat?’” 

Ceritanya lagi, “Pelbagai alat dan perabot telah kurancang, tetapi semuanya tidak sesuai; kononnya mahu yang luar biasa sedikit; kalau boleh, sesuatu yang lebih dramatik dengan elemen cahaya lampu sport-light yang keras. Ke hulu ke hilir sampai jam tiga pagi, barulah aku tahu bahawa membuat set drama rupa-rupanya bukanlah mudah. Pertama-tama, kita perlu meyakinkan Sang Pengarah…” Dan akhirnya, kata Latiff, “Kupakai beberapa helai tikar saja yang digantung-gantungkan dan sebuah ranjang yang berkilat keperak-perakan.” 

Saya tidak tahu pementasan mana yang dimaksudkan (tidak disebut tahun bila), dan saya pun tidak pernah menonton Matinya Seorang Pahlawan yang setnya daripada beberapa helai tikar yang digantung-gantung itu. Dan sebuah catatan lagi, Latiff menceritakan keresahannya sewaktu mengikuti latihan teater (tidak dijelaskan teater apa atau siapa). Dicatatkannya begini: “Amat kusedari akan kerumitan yang dihadapi oleh sutradara yang ghairah ini. Yang mana dialog dan yang mana monolog? Yang mana ucapan dan yang mana khutbah? (Tidak mungkinkah skripnya diubah, ditulis kembali?). 

Antara penglibatan Latiff yang paling bermakna dalam teater ialah terjemahan. Dia menterjemahkan beberapa skrip pendek dari Jepun (karya Yukio Mishima) dan sebuah buku lagi terjemahan drama-drama pendek German (Woyzek-?). Drama “Puan Aoi” (kalau tidak silap saya), pernah dipentaskan oleh Meor Hashim Manap dan dilakonkan oleh Izzaidah Khairan. Sesuatu yang bagus pada waktu itu. Dalam buku catatan ini Latiff menulis: “Drama Noh, karya Yukio Mishima yang kuterjemahkan itu akhirnya disetujui oleh pihak DBP untuk ‘dimasukkan dalam senarai penerbitannya’. Buku tersebut kuberi judul Bantal Impian. Tolong jangan bertanya kepadaku, tarikh sebenarnya buku itu akan dicetak/diterbitkan.” 

Kemudian tentang kumpulan Anak Alam, yang Latiff sendiri merupakan orang penting yang menubuhkan kumpulan itu. Catatan pertamanya mengenai aktiviti mereka pada tahun 1976: “Ada tiga kegiatan yang disemarakkan oleh Kumpulan Anak Alam. Pertama, tentunya seni lukis. Kedua, teater dan ketiga, baca sajak.” 

“Yang paling menonjol ialah teater-segar, meriah dengan bentuk eksperimen yang lebih mudah dilaksanakan (kemudiannya dikenal sebagai experimental theater), daripada skrip ‘mini kata’nya (atau tanpa skrip), penataan latarnya (atau tanpa latar) hinggalah kepada pemilihan tempat letak kereta, di kawasan setinggan, di pasar raya, di kompleks…” 

Satu lagi catatan mengenai Anak Alam, di bawah tajuk “Hari Alam di Kuala Lumpur, 1974”. Latiff menulis semula pamflet yang mereka sediakan untuk aktiviti Hari Alam itu:”…pelukis dan penulis Taman Budaya, besama-sama dengan seniman tempatan serta bantuan abadi daripada alam wajar (cahaya, tanah, air, angin, tumbuhan) akan mengadakan ‘Hari Alam’ selama dua hari dua malam, mulai subuh hari Sabtu, 13 Julai 1974 di sekitar Taman Budaya beralamat di 905, Persiaran Tun Ismail, Kuala Lumpur; …kegiatan secara spontan dan kreatif daripada para pengunjung sekeluarga ; acara siang malam, antaranya arca-enviro, drama, pantomin, playreading, dan mini-kata; baca puisi; persembahan muzik mainan cahaya, alunan genta, ketuk-ketuk, gamelan buluh; dan lain-lain seumpamanya.” 

Rumah beralamat 905 itu, itulah Rumah Anak Alam. Perhatikanlah aktiviti yang disenaraikan itu yang pelbagai. Memang, Kumpulan Anak Alam waktu itu sangat menjanjikan untuk perkembangan yang menarik bagi teater Malaysia. Saya selalu melihat mereka bereksperimen dengan gerak lakon tanpa dialog, muzik yang lain daripada kebiasaan, dan malahan saya pernah berimaginasi sebuah gerak teater yang unik ketika sering melihat Latiff menyiapkan lukisan-arca dinding dalam siri “Langkawi”nya, terutama karya yang diberikan warna biru pekat itu. Tetapi sayang, imaginasi saya itu tidak berkembang ke alam realiti. Samalah juga dengan eksperimen yang dilakukan oleh Mustapha Hj. Ibrahim (muzik) dan Yusuf Osman (gerak) yang tidak berkembang dan kemudiannya hilang. 

Seperti saya sebut pada awal tulisan, ada banyak perkara menarik sebenarnya dalam Catatan Latiff Mohidin. Bahkan dalam bab teater sahaja pun. (Kapai-kapai di padang letak kereta Stadium Negara itu ada cerita peribadi di sebalik penganjuran pementasan itu). Saya ingin menulis panjang. Tetapi kita selalu tertakluk pada batasan, pelbagai batasan. Insya-Allah pada kesempatan lain. 

Sementara itu, catatan berikut menunjukkan seorang penggemar teater dan selalu mengikut gerak dan perkembangannya. “Sutradara dari Jakarta itu bercerita panjang lebar tentang perkembangan hebat dunia teater di Indonesia….Aku yang tidak mahu mengalah dengan spontan menyebut beberapa nama teater, termasuk nama-nama ini: teater ‘Ruang Tamu’, Bidin Subari; teater ‘Atap’, Kala Dewata; teater ‘Alang’, Syed Alwi; teater ‘Pintu’ dan teater ‘Tiang’, Noordin Hassan; teater ‘Tali’, Dinsman; teater ‘Kerusi’, Hatta Azad Khan; teater ‘Agin’, Johan Jaafar; teater ‘Alam’ oleh Kumpulan Anak Alam, dan banyak lagi…”

 - Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.



[Ulasan] "Catatan" dan "Catatan Dua Baris" Latiff Mohidin

Oleh: ANWAR RIDHWAN

“But I know life is simple, however complex the organism may be; and everything goes to pieces when the living truth of the central simplicity is lost.” Rabindranath Tagore, Letters to a Friend.

I
Sarjana Perancis, Francois Rene-Daillie yang juga pengkaji pantun Melayu, dalam bukunya Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) memberikan tanggapan tentang hubungan pengalaman dengan pengkaryaan. Ujarnya:

“I have always conceived literature as an adventure that is, something that happened to you, that you have to go through, a series of events in which you get more or less deeply involved, happenings which have an impact on your intellect, your spirit, or even better, on your whole being, body, heart and brains. The adventure can be as brief as the explosion of surprise of the haiku, as long and complicated in its development and gradual in its action upon you as the novel as its best.”

Tanggapan tersebut boleh kita terapkan untuk menghubungkan pengalaman Latiff Mohidin dengan pengkaryaan seni visual, seni puisi, serta dua buah buku terbaharunya. Alam dan kehidupan adalah dua unsur yang sangat erat dengan pengkaryaan Latiff kerana alam dan kehidupan memberikan ruang kepada perkembangan pengalaman serta pengetahuan.
Pengalaman biasanya akan menambah pengetahuan dan “rasa” yang dikutip secara formal (umpamanya melalui pendidikan), ataupun secara tidak formal (umpamanya melalui pengembaraan, pembacaan dan tontonan). Dalam konteks seni visual, pengalaman Latiff dan kembaranya membentuk rasa, rupa dan jiwa tiga cabang seni visual yang dikuasainya, iaitu cat minyak, ukiran arca, dan goresan cetak, seperti karya-karyanya dalam siri “Pago-Pago”, “Mindscape”, dan “Langkawi”. Namun begitu, tulisan ini tidak akan menyentuh lebih lanjut sumbangan Latiff dalam seni visual kerana akan lebih memberikan fokus kepada dua buah buku terbaharunya, iaitu Catatan dan Catatan Dua Baris.
Latiff dilahirkan pada tahun 1941. Hal ini beerti beliau menempuh zaman remaja dalam era sebelum kemerdekaan. Namun, bakat tidak mengenal era. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika sejak sekitar tahun 1952, beliau mendapat gelaran “Boy Wonder” kerana bakatnya dalam bidang seni lukis. Bakat itu, disamping motivasi yang tinggi serta dokongan kewangan telah menghantarnya ke Hochschule fur Bildende Kunste di Jerman, seterusnya ke Atelier La Courriere di Perancis, dan Pratt Graphic Centre di Amerika Syarikat.
Negara tersebut terutamanya Jerman dan Perancis, memiliki tradisi seni, sastera, dan falsafah yang panjang, kukuh, serta mempengaruhi perkembangan estetik dan pemikiran Eropah moden, yang kemudian mengalir pula ke tanah-tanah jajahan mereka, serta negara lain. Puisi Eropah, khususnya karya penyair-penyair Perancis, seperti Charles Baudelaire, Arthur Rimbaud dan Stephane Mallarme, sedikit sebanyak telah mempengaruhi kepenyairan Latiff.
Pedidikan seni di Jerman dan Perancis cenderung ke arah pendekatan yang holistik. Warna pengajian sejarah seni dicampurkan dengan rona sejarah falsafah, psikologi, sastera, dan dilakar bersama-sama cabang ilmu elektif yang mendorong penjanaan visual yang kaya teknik dan kaya lapisan makna. Latiff, sehubungan itu bukan sahaja menguasai bahasa Jerman dan nuansanya, malahan bidang seni visual, serta dunia sastera khususnya dalam genre puisi. Sebagai seniman visual gerak, dan rentaknya terpancar dalam puisi-puisinya.
            Puisi-puisinya turut menjadi dewasa kerana hasil kembara seninya ke dalam bait-bait puisi mempesona yang turut diterjemahkannya: Gitanjali (Tagore), Rubaiyyat (Omar Khayam) di samping puisi-puisi klasik Tao Te Ching karya Lao Tzu. Kemudian, mempengaruhi Latiff untuk mencipta ungkapan ringkas dan padat yang berkecenderungan pemikiran atau falsafah, sebagaimana mereka, seperti yang terpancar dalam dua buah buku terbaharunya.
            Puisi-puisi Melayu tahun 1950-an dan 1960-an, yakni dekad-dekad yang belum merakamkan kemasukan Latiff dalam genre ini, pada umumnya sarat dengan mesej atau amanat. Tema nasionalisme dalam pelbagai cabang kehidupan, juga tema pengisian kemerdekaan, mendominasi kebanyakan puisi. Tema ini padat kata-kata, dan kadang kala penuh retorik, hingga yang lebih diutamakan ialah aspek pemikiran yang abstrak. Tiada salahnya puisi-puisi seperti ini, selagi dicipta bedasarkan strategi puisi yang menekankan keringkasan, kepadatan, keindahan serta kejayaan amanat yang mengetuk emosi serta pemikiran pembaca.
            Namun begitu, melalui puisi-puisinya Latiff berusaha menawarkan lebih daripada itu. Melalui kata-kata, beliau berusaha untuk memvisualkan imejan di samping menawarkan pemikirannya. Hal ini turut terlihat dalam dua buah buku terbaharunya, Catatan dan Catatan Dua Baris. Karya-karya ini memperlihatkan keterikatannya pada akar budaya, konsep ”sedikit itu mewah” serta kecenderungan yang berinti falsafah kehidupan.

II
Buku Catatan (Petaling Jaya: Maya Press, 2010) didedikasikan demikian, Latiff secara sedar meletakkan dua kategori penulis, iaitu penulis muda dan golongan penulis yang tidak lagi muda (termasuk dirinya). Dedikasi dan kategori sedemikian meletakkannya pada kedudukan yang mewajarkannya untuk (berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang ditempuhnya) menyampaikan sesuatu kepada penulis muda. Dalam konteks kandungan buku ini, sesuatu itu berupa catatan-catatan pendek yang seringkas satu baris, atau lebih sedikit sahaja. Ungkapan mutiara katanya, disampaikan dengan gaya seorang guru yang ingin bersikap informal, merendah diri, dan hemat kata-kata. Atau dalam ayat Latiff sendiri dalam “Haluan Kata” atau penghantar buku ini: “Catatanku - semua ini – seperti bercakap kepada diri sendiri…”
            Kandungan Catatan dibahagikan ke dalam 11 bahagian, iaitu “Sastera Umum”, “Sastera Lokal”, “Sastera Luar”, “Bahasa”, “Pantun dan Pepatah”, “Puisi Umum”, “Puisi Khas”, “Puisi LM”, “Teater dan Filem”, “Seni dan Budaya”, dan “Peribadi”.
            Dalam bahagian “Sastera Umum” terdapat 55 catatan. Bahagian ini menurunkan catatan tentang sastera secara umum. Contohnya, catatan pendek yang berjudul “Tragedi Penulis: Tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang.” Atau yang lebih panjang: “Setiap 20 Hingga 25 Tahun: Sekurang-kurangnya setiap 20 hingga 25 tahun, bentuk seni (terutamanya seni sastera) menjadi beku lalu nazak. Maka perlu ada suntikan ajaib atau mujarab pada bentuk dan isinya – suatu perubahan besar oleh sesuatu angkatan baru ataupun individu. Jika tidak, sastera, dan genre lainnya akan kehilangan ruang untuk para peminat tulen.”
            Dalam “Sastera Lokal”, Latiff menurunkan 72 catatan. Bahagian ini tidaklah menurunkan catatan tentang sastera tempatan atau lokal sahaja. Takrifannya meluas kepada sastera Indonesia kerana Latiff turut membuat catan tentang Hamka, Chairil Anwar, dan sebagainya. Malahan beliau mencatatkan tentang penyair Rusia, Yevtusheko, yang pernah dating mendeklamasikan puisinya di sini, di “dewan yang setengah kosong atau setengah penuh.”
            Bagi penulis lokal yang mula mencipta nama dalam tahun 1970-an, maaflah kerana tiada catatan tentang anda. Latiff lebih terpesona hanya kepada beberapa nama, termasuklah Jymy Asmara (…”tidak dapat kita bayangkan wujudnya ASAS 50 tanpa kebaikan dan kegigihan penulis bernama Jaafar bin Haji Muhammad atau yang lebih dikenali sebagai Jymy Asmara”), Usman Awang (“Sebagaimana seorang ayah mengimpikan kelahiran seorang anak, begitu pulalah tokoh generasi ini mengimpikan kelahiran generasi akan datang dengan penuh harapan dan cemas. Tadi Usman Awang Tanya lagi, ‘Bagaimana agaknya bentuk sastera penulisan kita kemudian nanti?) juga Rahim Kajai (“Buat para cerpenis, surat khabar ialah wadah, ruang yang paling lumayan sejak zaman Kajai”).
            Sasterawan lokal lain yang mendapat perhatian Latiff ialah Pak Sako (“Padaku, unsur yang paling menarik dalam novel Pak Sako Anak Mat Lela Gila (1941) ialah unsur grafik; jelas kelihatan tidak saja pada sosok watak bernama Bulat, tetapi juga pada apa jua yang berbentuk bulat di sekeliling kampungnya…”), A. Samad Said, dan Ahmad Rashid Talu (“Benarkah Salina tak merukun tetangga, maka itu dapat nombor dua? Iakah Salmah? Pakai baju Bandung, naik beca tak bertudung?”), Keris Mas (“Menyambut dan mengisi kemerdekaan yang kami perjuangkan pastilah lebih mudah …Nah, jagalah, isilah ia…itu tugas generasi kalian”) , Arena Wati (“Dia berbicara tentang nada atau irama, tentang sudut, tentang ruang… Dia adalah seorang pelaut.”) dan Baha Zain dengan memetik sebahagian kandungan suratnya kepada Latiff yang ditulis dari Jakarta.
            Kandungan “Sastera Luar” memuatkan 69 catatan. Menepati judulnya, catatan tersebut berbicara tentang ruang lingkup sastera yang merentas zaman, sejak terciptanya Tao Te Ching karya Lao Tzu (“Bunyinya seperti pepatah Minang. Umpamanya: yang nyata dan yang ghaib datang beriringan / susah dan senang saling melengkapi / panjang dan pendek saling membentuk / tinggi dan rendah saling mengisi / suara dan bunyi saling melaras / depan dan belakang saling menyusuri”) hinggalah kepada karya yang lebih moden, seperti Mr. Biswas oleh V.S.Naipaul (“…walaupun kehidupan dan kisah Mr. Biswas berlaku di Trinidad, jauh dari benua Asia, acap kali kubayangkan bahawa ‘rumahnya’ itu seolah-olah berada di belakang rumahku, di suatu kawasan orang India.”)
            Dalam bahagian ini banyak sekali renungan yang mendalam, sama ada oleh Latiff sendiri (cetusan daripada pendapat atau karya sasterawan dunia. Beliau juga mengungkapkan pemikiran tentang aliran dalam sastera, proses mengarang, keperibadian pengarang, karya-karya besar dunia, karya sufisme, masalah penterjemahan karya sastera, dan sebagainya.
            Bahagian “Bahasa” memuatkan 29 catatan pemikiran seputar isu bahasa Melayu: tokoh-tokohnya, keajaiban nuansanya, hinggalah, kepada cabaran-cabaran semasa yang boleh menggugat bahasa Melayu dan jati diri penutur aslinya. Umpamanya:

PEPATAH BARU
“Pepatah batu yang kita ciptakan termasuklah segala ragam dan jenis slogan / semboyan / congan kata; walaupun terasa kasar, masih mempunyai pesan tertentu sebagai cermin kehidupan kita hari ini.”

SEBATANG “POHON BAHASA”
“Di halaman rumah kami ada sebatang pohon, ‘pohon bahasa’ namanya. Dahannya pepatah. Rantingnya pantun. Pada daun-daunnya beruntaian tamsil, ibarat, gurindam, dan seloka …”

Turut mendapat perhatian Latiff ialah “Pantun & Pepatah” yang memuatkan 26 catatannya. Beliau amat menghargai warisan seni puisi tradisional ini, yang telah dicipta sejak kewujudan bangsa Melayu, yang menggunakan atau menzahirkan kebijakan serta tunjuk ajar, melalui ungkapan yang puitis lagi padat.
            Antaranya yang menarik termasuklah “Daripada Dua Pusaka”. Melalui catatan ini, Latiff memperlihatkan semacam adanya persamaan ungkapan daripada dua bangsa dan dua budaya:

Kata pusaka Minang:
Tukang tak membuang kayu
Gemuk tak membuang lemak
Besar jangan melenduh
Panjang jangan melindis.

Kata Pusaka Tao-China:
Tukang tak membazirkan banir
Yang lempung diikat erat-erat
Yang nipis disususn lapis-berlapis.
           
            Latiff juga menurunkan takrifan serta contoh pameo (yang menurut Latiff: Sejenis peribahasa yang seakan-akan tumbuh seiring dengan perumpamaan. Tetapi sifatnya lebih dekat dengan sifat pepatah berlawanan. Kadangkala kedengaran seperti kalimat yang berbentuk sindiran, tetapi sebenarnya mempunyai isi yang berbentuk songsang. Kalimatnya menyarankan hal-hal yang tidak mungkin terjadi):

PAMEO PAK MURI
Berjalan seorang, hendak dahulu
Berjalan berdua, hendak di tengah.

            Catatannya juga sensitif terhadap kehilangan kosa kata dalam peribahasa, akibat peredaran zaman. Beliau mengutip peringatan mamaknya terhadap gejala ini: “Apabila sesuatu rangkap daripada kalimat peribahasa kita itu hilang, maka dengan serta merta suaranya, rentaknya, ruangnya dan malah lambangnya turut juga hilang.”
            Pengamatannya terhadap pantun dan pepatah pula membuat Latiff sampai kepada kesimpulan yang mendalam ini: “Pantun ialah ekspresinisme kita, pepatah ialah realism kita.” Mengapakah Latiff sampai kepada kesimpulan sebaliknya? Hanya beliau yang tahu akar hujahannya.
            Bahagian 6, iaitu:Puisi Umum memuatkan 83 catatan. Beliau berbicara tentang puisi daripada pelbagai aspek: penciptaannya, penyairnya, takrifannya, hayatnya, pendeklamasiannya, hingga kepada peranan dan nasib puisi. Dalam “Catatan Subuh” Latiff percaya bahawa “puisi akan tetap ditulis, meskipun khalayak pembacanya berkurang.”
            Masih berlegar sekitar puisi, “Puisi Khas” dengan 96 catatan tidak kurang menarik dan mendalam renungannya, malahan ada yang menzahirkan pengakuan Latiff sendiri (seperti, “Sebenarnya puisiku lebih dekat dengan Carl Jung daripada Sigmund Freud”, atau pengakuan berikut: “Aku sendiri sebenarnya masih belum bisa terlepas seratus peratus daripada nada, rentak, gaya, pengucapan lama”).
            Latiff juga lebih cenderung membiarkan puisinya difahami dan dihayati oleh khalayak, bukan melalui penjelasan maksud puisi “Sungai Mekong”. Ujar Latiff dalam “Makna Puisiku”: “Maknanya sudahpun termaktub, tertulis, terpasak, terpahat sama dalam puisiku. Tidak ada gunanya mencari-cari, meraba-raba di luar ayat-kalimat-gatra yang ada.”
            Satu lagi mutiara kata Latiff dalam bahagian ini: “Puisi LM memuatkan dua catatan “Antologi Sajak-Tak-Siap?” (“Jika kucari-cari kembali, kukumpul-kumpulkan kembali, sajak-sajakku yang tak siap sejak tahun 1963 hingga tahun ini-1973-banyak juga jumlahnya, kira-kira cukup untuk sebuah antologi’), dan:

CERITA SEBATANG POHON
(Kuingat kembaraku ke Luang Prabang, Laos, Februari 1966).
“Di tanah gersang, luas, dan lengang berdebu, tidak ada yang menarik selain kehadiran sebatang pohon yang tinggi dan rending. Pada pohon yang sebatang itu sajalah kutumpukan seluruh perhatianku sepanjang pagi, demi serangkai lakaran dan sebaris puisi. Perdu pohon itu memang aneh, seolah-olah seluruh daya kehidupan di desa Vanveing bermula dari situ…”

            Selebihnya ialah 40 buah puisi Latiff. Yang menariknya tentang puisi-puisi ini adalah kerana kebanyakannya disertai dengan keterangan tempat sajak itu dicipta. Contohnya, pada bahagian akhir sajak “Kelam” disertai catatan (“Demikian bunyi sajak yang kutulis di Kelang, bulan Jun 1972, namun tak jadi kukirim ke Dewan Sastera. Kurasakan bahawa ada sesuatu yang kurang, yang perlu kutambahkann pada sajak ini”).
            Latiff menyelinap juga ke dunia teater dan filem dengan sejumlah 70 catatannya. Beliau mengungkapkan secara padat kolaj-kolaj sejarah drama, teater Melayu tradisional, seperti bangsawan, juga teater Melayu moden dengan menyebut sejumlah nama penggiatnya. Beliau membawa kita ke pentas teater dari Indonesia, Jepun, dan Eropah.
            Berhubung dengan teater, Latiff memberikan pendapatnya tentang tujuan genre tersebut:
           
            “Teater yang kutonton tadi cukup menghiburkan. Aku bertanya, ‘Apakah hiburan itu satu-satunya tujuan berteater?’ Bagiku, teater ialah suatu cara untuk meneroka jiwa manusia, insan biasa, watak-watak yang kita temui dalam perjalanan hidup kita sehari-hari. Dengan itu pula, barangkali, kita akan dapat sedikit banyak mengenal diri kita sendiri.”

            Tidak banyak isu filem yang dicatat Latiff. Beliau lebih banyak memberikan tumpuan kepada seni persembahan tradisi, seperti wayang kulit, teater Melayu tradisional, seperti dikir barat, drama klasik dari timur dan barat, serta drama kotemporari dari barat dan timur. Sebuah catatannya tentang filem ialah “Bahasa Filem” (Bagaimana cahaya “dipahat” ke dalam gerak kilat seorang dua watak, terutama di sudut-sudut wajah mereka).
             “Seni & Budaya” turut mendapat perhatian Latiff. Beliau mencatatakan hal-hal seni visual, kumpulan Anak Alam, peranan teknologi dalam seni dan budaya, sketsa, seni bina, erti keindahan, dan sebagainya dalam jumlah 124 catatan.
            Latiff berpendapat, “Seni (yang indah) itu lebih dekat pada agama daripada sains.” Hal ini merupakan ungkapan ringkas yang sebenarnya memerlukan tafsiran yang panjang. Begitu juga apabila beliau mencatatkan: “Indah kita kerana budaya, mulia kita kerana agama.”
            Latiff juga memberikan pendapatnya tentang “Seni Tulen” (“Seni tulen tidak memerlukan bendera. Seni tulen ‘berkibar terus’; tanpa dijulang, ditiup-tiup.”). Tentang hubungan seni dan kehidupan pula, Latiff berpendapat: “Tidak seperti politik, seni itu pada asasnya berada pada landasan lain, tidak mempunyai kuasa untuk memperbaiki keperluan, keadaan, dan hal ehwal kehidupan manusia. Tetapi, seni berupaya memberikan gambaran atau pengertian yang lain terhadap dunia ini.”
            Sesuai dengan sikapnya yang merendah diri, Latiff meletakkan bahagian “Peribadi” pada bahagian akhir kandungan buku ini, dengan sejumlah 183 catatan pendek. Bahagian ini mencatatkan sakitnya, mimpinya, igaunya, pernyataan-pernyataan resahnya, tokoh atau karya yang mempengaruhi hidup serta pengkaryaannya, dan sebagainya lagi.
            Dalam bahagian ini, Latiff turut mencatat tentang “Teman Merantau” nya [“Antara temanku yang paling akrab ketika aku merantau / menjelajah-selain peta atlas dunia-termasuklah buku Peribahasa Melayu (ketika rindu) dan dongeng Mulla Nasharuddin (ketika murung)”]. Perantauan/pengalaman dalam bidang seni menyebabkan Latiff pernah ditawarkan sesuatu, tetapi inilah “Pengakuannya” (“Beberapa kali sudah aku diminta menjadi guru. Tetapi maaf, aku tak bisa. Sebenarnya, aku lebih selesa menjadi pelajar saja kalau boleh pelajar sepanjang hayat.”).
            Sungguhpun bahagian akhir ini mencatatkan hal-hal peribadi Latiff dan pengakuan-pengakuannya, kita sebenarnya masih belum mendapat gambaran yang menyeluruh serta lengkap tentang dirinya.

III
Kecenderungan Latiff untuk membuat “catatan dua baris” yang ditemui di sana sini dalam Catatan, diteruskan dalam kumpulan khas yang diberi judul Catatan Dua Baris (Kuala Lumpur: LM Studio Sdn Bhd., 2012). Buku ini diterbitkan dalam edisi mewah berbanding dengan Catatan yang diterbitkan dalam bentuk biasa berkulit lembut. Terdapat 79 catatan dua barisnya dalam buku ini, dengan Catatan yang lebih awal.
            Catatan-catatan dua baris dalam buku ini bersifat renungan, peringatan, peringatan, tunjuk ajar, sebab dan akibat, serta falsafah. Contohnya:

Setiap orang dalam hidupnya
Punya rancangan yang hebat

Yang ikhlas dan yang sejati
Tak perlukan perlumbaan

Mengingati nama-nama benda
Itulah yang kita pikul setiap hari

Di Negara kemewahan melimpah
Ramai orang merasa resah

Kita diuji dengan kekurangan
Kita diuji dengan kelebihan

Kebimbangan dunia seni kurun ini
Banyaknya karya tak tahan usia

Orang berbakat sering tidak berani
Orang berani sering tidak berbakat

Yang tembus di fikiran ialah prosa
Yang tembus di khayalan ialah puisi

Kelmarin: redup pohonan
Hari ini: hingar batu-bata

Jika puisi dianggap sebagai pengucapan seni indah, bermakna, dan padat, Latiff kelihatan berusaha mencari wadah yang boleh lebih memadatkan ungkapan dan fikiran – yang ditemui melalui catatan dua barisnya.

IV
Membaca Catatan dan Catatan Dua Baris akan menyampaikan kita kepada beberapa kesimpulan, antaranya.
            Insan bernama Latiff ini luas sekali pengembaraan fizikal atau luaran yang membawanya ke beberapa benua, negara dan ceruk, tetapi yang lebih penting ialah kembaranya ke dunia ilmu pengetahuan yang pelbagai.
            Beliau menguasai ilmu yang berhubung langsung dengan bakatnya, terutama bidang seni visual, dan seni bahasa sastera (dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Jerman) yang dimanfaatkan untuk puisi, catatan, dan terjemahan karya sastera. Beliau juga meluaskan pembacaannya yang mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain, termasuk agama, sosiologi, budaya, dan falsafah.
            Latiff berkenalan dengan pelbagai genre seni di barat dan timur, yang datang bersama-sama pelbagai aliran, mewakili pelbagai kepercayaan, serta teori puitikanya. Beliau menghayatinya. Beliau selalau berusaha menyelongkar khazanah seni tradisional bangsanya, untuk menemukan kebijakan atau kearifan tempatan di dalamnya, membandingkannya dengan sastera dunia, dan sampai kepada kesimpulan betapa luar biasanya warisan sastera sendiri.
            Dalam dirinya teradun ilmu yang diperoleh secara formal dan tidak formal, dibaurkan dengan pelbagai disiplin ilmu yang lain, dan dituangkan semula ke dalam genre atau aktiviti yang difikirkannya sesuai.
            Apa-apa yang dituang dalam Catatan atau Catatan Dua Baris ada yang kedengaran seperti biasa sahaja, atau pernah kita dengar di tempat lain. Atau kita bertanya kenapa Latiff tidak kelihatan cenderung kepada sesuatu yang pada fikiran kita lebih baik jika beliau mengambil langkah itu. Tetapi tidak kurang ada yang begitu mendalam, kompleks dan berciri kefalsafahan, sehingga menggugah fikiran kita untuk bertanya, bagaimana Latiff dapat membentuk ungkapan-ungkapan padat dan luar biasa itu?; dan kita memerlukan rujukan lain, atau huraian yang lebih panjang, untuk benar-benar dapat memahami inti pemikirannya.
            Sebagai seniman visual, Latiff berminat untuk melihat apa-apa sahaja-yang harfiah dan lebih-lebih lagi yang abstrak-sebagai sesuatu yang mempunyai bentuk, warna, nafas, gerak, dan segala macam yang boleh dipersonifikasikan. Segala-galanya hadir di depan kita dengan nyata, tetapi Latiff tidak memberikan seluruh dimensi, kerana seperti warisan pantun, pepatah, dan peribahasa, bayangan yang kuat merupakan strategi terbaik untuk menyampaikan idea yang jitu dan padat.
            Sungguhpun Latiff pernah menolak tawaran tugas guru, tetapi sejumlah catatannya dalam dua buah buku terbaharunya ini ada yang menunjukkan kecenderungannya untuk menggurui. Namun, beliau bukanlah guru yang tampil nyata di hadapan murid-muridnya (penulis muda), sebaliknya beliau duduk di bawah bayang pohonan, dengan kata-kata yang lembut, berpakaian sederhana, yang mengaburkan wujud dirinya, sementara di sekelilingnya segala flora, fauna dan segala yang abstrak termasuk idea tersihir untuk mempunyai bentuk, warna, nafas, dan gerak kinetik di mandala kenyataan visual dan di atas kertas yang tercipta daripada bauran imaginasi dan realiti.


 -Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.
                 
                 




Melontarkan Kata-kata

Melontarkan imej melalui kata-kata pada dada kertas tidak mudah bagiku. Segalanya harus kupertimbangkan terlebih dahulu - jarak, corak, warna, nada. Dan setiap gerak yang kuimbangkan serta kularaskan itu bukanlah gerak yang untung-untungan. Dan lontaran kata-kata yang sudah kusaring, kupilih, itu sama sekali tidak menjanjikan sebuah sajak yang bagus, apalagi karya yang unggul.

Lalu bagaimana? Tidak ada jalan lain bagiku. Sekali lagi harus kucuba dengan jarak, corak, warna, dan nada kata-kata yang lain, dengan anyaman yang lain.

-CATATAN, halaman 194.

Apabila Kupilih Kata

Apabila kupilih kata, kuambil yang inti, yang sari saja. Yang hampas dan yang manisan kubuang segera. (Ah, betapa ringannya kalimat tanpa hampas dan manisan!)

Apabila kupilih kata, kuambil yang pokok atau dahan-dahan yang besar saja. Kubuang yang merimbun. Kupangkas lidah-lidah kerawang alun-beralun yang sering meluncur masuk dengan sewenang-wenang...menyesakkan!

-CATATAN, halaman 164.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.