Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Kemudian Datanglah Heraklitus

Sejarah filsafat Yunani itu kubaca lagi (kuliah yang kuikuti dalam bahasa Jerman di Berlin pada tahun 1960-an dahulu ternyata terlalu rumit). Jadi, bagaimana bermulanya segala itu, asalnya 'sejarah idea' itu?

Thales (ahli filsafat pertama) mengatakan, "Semua hidupan berasal daripada air."

Pendapat ini segera disanggah oleh Anaximander dengan mengatakan , "Bukan daripada air tetapi daripada 'yang-tak-terhingga'."

Kemudian datang Anaximenes yang mengatakan, "Sebenarnya, hidupan berasal daripada udara atau kabus, maka bumi dan air dan api, semua itu, berasal daripada udara."

Datang pula Parmenides, menyanggah ketiga-tiga pendapat dengan mengatakan, "Jangan percaya pada indera. Tidak ada suatu benda pun berubah menjadi benda lain, kecuali kembali pada sifat asalnya."

Dan kini, datanglah Heraklitus seolah-olah 'bapa filsafat' kepada 'penghulu Minang', dan 'pendeta Tao' (para pembawa konsep tantangan-paradoks-polariti) yang dengan tegas mengatakan, "Tidak ada yang tinggal statik sesaat pun jua. Segalanya mengalir dan semuanya berubah, bagai sungai yang mengalir - berubah. Pada saat kujejakkan kakiku ke dalam sungai buat kali keduanya, bukan saja sungai, malah aku sendiri turut berubah. Lihatlah, tidak ada yang tinggal sama (kekal), tidak ada yang abadi sebenarnya, kecuali 'perubahan'."

Maka ringkasnya, hakikat 'ketidaksamaan', inilah yang kekal sama, yang menyatukan seluruh manusia dan alam semesta!

-CATATAN, halaman 93.


Novel Pop - Novel Picisan, 1950-an

Garis pemisah antara karya popular dengan karya picisan itu terlalu halus. Dua unsur, iaitu laris dan seks disatukan. Tetapi jangan tanya sang pengarang, mengapa dia berbuat demikian? Alasannya banyak dan amat meyakinkan.

Antara alasan dan keterangannya termasuklah pertamanya, dia menulis mengikut selera dan kemahuan pembaca semata-mata untuk menghiburkan hati mereka (meskipun tidak sesuai dengan jiwanya sendiri.) Keduanya, kerana apa yang ditulis benar-benar berlaku (misalnya, Natrah Anak Angkat, Bilik 69, Anak Kiai). Alasan lainnya ialah sengaja menulis novel pop agar gagasan dan amanat kehidupan orang kita (dengan seribu satu masalah yang rumit) dapat difahami oleh para pembaca secara mudah! Misalnya Jalan ke Kota Bharu, Budak Beca, dan Judi Karan memang picisan. Tetapi, tidak menjadi halangan bagi mereka jika karya mereka itu dikategorikan sebagai roman picisan.

"Asalkan karya itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat; asalkan dapat difahami oleh pembaca tentang masalah sosial yang didedahkan." (Menurut Pak Sako)

(Menurut cerita Pak Keris tentang sambutan hangat ini, pernah berlaku sebuah novel kecil habis terjual 5 000 naskhah dalam tempoh hanya satu bulan, dan itu pun dengan sekali cetak saja!)

-CATATAN, halaman 34.


Puisi dan Budi Usman Awang

Puisi Usman menonjolkan pelbagai nilai, terutamanya nilai sejagat - kemanusiaan, keamanan, kesopanan, dan keadilan. Semua ini adalah nilai moral, harga diri seseorang insan walau di mana pun ia berada, tanpa mengira kedudukan atau warna kulitnya. Namun demikian, budi, kelembutan, rendah diri, sopan santun, dan kebijaksanaan orang timur tetap ketara sebagai landasan pemikirannya dan pegangan hidupnya. Bagi Usman, budi dan puisi tak dapat dipisahkan.

Kadangkala, Usman bersenda gurau dalam rentak pantun, menyindir dalam bentuk pepatah. Dan sekali-sekala, ditunjukkan kemarahannya apabila nilai sejagat itu dipermain-mainkan, dihina nista. Maka timbullah sajak-sajak protes.

Dari Putih ke Hitam
Sajak Usman, "Merpati Putih" lahir daripada idealisme yang sejagat sifatnya (1958). Sebaliknya, "Kambing Hitam" lahir pada tahun 1971, daripada suatu realiti di tanah air, iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

-CATATAN, halaman 32.

Bentuk Vitalisme

Bentuk vitalisme diciptakan oleh penyair H Marsman (lahir di Belanda pada tahun 1890). Bentuk puisi moden ini timbul daripada aliran ekspresionisme Jerman (suatu aliran yang pernah mempengaruhi seluruh cabang seni di Jerman pada awal kurun ke-20 hinggalah ke tahun 30-an).

Bentuk vitalisme kemudiannya dibawa masuk ke dalam sastera Indonesia melalui puisi-puisi Chairul Anwar pada pertengahan tahun 40-an. Daripada sastera Indonesia, bentuk vitalisme dibawa masuk ke dalam sastera Melayu, terutama oleh Masuri SN dan Usman Awang, tetapi hanya untuk seketika (amat ketara dalam beberapa sajak mereka pada awal tahun 50-an), seolah-olah mahu meminjam gayanya saja. Lalu di tangan mereka, bentuk vitalisme-ekspresionisme tadi bertukar nama. Kini, bentuk itu lebih dikenal sebagai aliran humanisme atau universalisme.

-CATATAN, halaman 31.

Pesan Norman Mailer & John Steinbeck

"Khalayakmu hanyalah seorang pembaca, mungkin seseorang yang amat kaukenali atau seseorang yang kauciptakan sendiri. Kepadanyalah kautulis seluruh karyamu." - John Steinbeck

"Engkau harus menganggap bahawa kerja-kerja menulis ialah kerja yang lebih penting daripada segala-galanya. Kalaulah engkau bimbang tentang perasaan orang lain, maka engkau tidak akan ke mana-mana akhirnya." - Norman Mailer

-CATATAN, halaman 68 & 74.

Empat Langgam Bahasa

Tetamu malam itu (mamakku) datang lagi, bercerita lagi tentang lenggang-lenggok bahasa ibunda kita.

"Katakanlah kita berada di suatu majlis adat perasmian. Kita ingin berbicara, berbahasa kepada berbagai-bagai tingkatan orang, tetapi tidak mudah. Berbahasa itu ada caranya, ada langgamnya. Langgam bahasa namanya.

Kalau orang bawah mahu berbicara kepada orang atas, pakailah 'bahasa mendaki'. Sebaliknya, kalau orang atas mahu berbicara kepada orang bawah, pakailah 'bahasa menurun'. Kalau kita ingin berbual dengan teman sebaya (yang sedarjat), kita pakai 'bahasa mendatar'. Tetapi, kalau kita ingin mengatakan atau menanyakan sesuatu yang benar kepada kaum keluarga, namun kita berasa agak malu, segan maka kita pakai saja 'bahasa melereng' (bahasa tidak langsung, tetapi sopan)

Demikianlah kaedah 'langgam bahasa yang empat'."

(Sebenarnya 'bahasa melereng' inilah, mengikut hemat mamakku, yang melahirkan kata-kata kiasan dalam budaya lisan kita, dalam perkembangan sastera kita; yang melahirkan segala ungkapan dan peribahasa - pepatah pepitih, tamsil ibarat, dan gurindam seloka yang indah-indah itu.)

-CATATAN, halaman 102.

[Ulasan] Teater daripada Catatan Latiff Mohidin

Oleh: DINSMAN

Ada banyak perkara menarik mengenai buku Catatan Latiff Mohidin. Jenis dan bentuk tulisannya itu sendiri pun cukup menarik. Suatu genre yang menyegarkan untuk bacaan. Misalnya, ada banyak perkara mengenai Latiff Mohidin yang kita boleh temui dalam buku ini, khasnya mengenai seni. Buku ini merupakan bacaan yang menarik untuk diulangi pembacaannya. Walaubagaimanapun, saya akan menulis hanya satu perkara, iaitu mengenai catatan-catatannya sekitar teater. Yang lainnya biarlah dahulu. 

Latiff membahagikan catatannya kepada 11 perkara, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Saya akan soroti bahagian ke sembilan itu (hal. 227-262), dan cuba melihat kembali teater Malaysia (Melayu) melalui catatan Latiff. 

Catatannya pendek sahaja, dan kebanyakannya tidak ada tarikh. Yang ada tarikh (pun tidak disusunnya berurutan), secara kebetulan agaknya, banyak sekitar tahun 1970-an, iaitu tahun yang teater Melayu paling aktif, dan saya pun kebetulan berada di dalamnya. Kebetulan. (Atau ya-kah, kebetulan?). Maka sambil membaca itu ingatan pun menghidupkan kembali beberapa peristiwa, terutamanya aktiviti Kumpulan Anak Alam, yang juga sangat aktif ketika itu. 

Kita ambil catatan kedua: “Di Sudut Pentas” (Ogos 1974): “Ada tiga jalan untuk kegiatan drama dewasa ini. Jalan pertama, meluncur bersama drama rakyat seluruhnya, iaitu dengan tekad untuk mengangkat/menyambung tradisi. Jalan kedua, terjun saja ke dalam drama moden seluruhnya; tanpa sentiment, tanpa mempedulikan unsur warisan. Atau yang lebih menarik, jalan ketiga, iaitu mencampurbaurkan drama tradisi dengan drama moden.” 

Hal itu tanggapan Latiff terhadap aktiviti teater waktu itu. Dilihatnya ada tiga aliran. Kemudian, dalam catatan selang beberapa setelah itu, ada tajuk “Teater Absurd, 74”. “Hairan juga aku,” katanya, “Bagaimana dramatis tempatan tiba-tiba saja menolak teater absurd (sejenis teater baru dari Barat)? Tanpa kita perlu menganut falsafahnya, kulihat stail dan stuktur dramatiknya cukup menarik, iaitu sebagai suatu eksperimen…” 

Dramatis tempatan sekitar tahun 1974 menolak teater absurd? Catatan itu membuatkan saya berfikir semula kerana teater saya pun, waktu itu, dikatakan teater absurd. Ya, barangkali itu yang dilihat oleh Latiff. Dan, ternyata Latiff meminati teater absurd. Dicatatnya lagi selepas itu sebuah tajuk “Teater Absurd itu Absurd”. Katanya: “Teater absurd itu absurd-humornya pahit; teaternya hitam; ‘hening’ ditinggalkan di tengah-tengah pentas, begitu lama sekali, di bawah suluhan lampu hingga menjadi ‘h i n G a r’!” 

Kemudian, dia juga mencatatkan pengalamannya diminta berlakon dalam sebuah taridra Uda dan Dara, yang dipentaskan oleh MTG (Malaysian Theater Group). Dia menolak permintaan pengarah itu, dengan alas an: “Aku tidak bisa beraksi di atas pentas. Aku cepat gugup, malah biasa gagap. Suaraku rendah, orang di belakang sana akan kecewa. Aku mudah berpeluh…”. Beberapa halaman kemudian, ada lagi catatan mengenai Uda dan Dara ini, (pementasan Gemaseni, 1972) –“Nah, inilah taridra yang ku nanti-nantikan selama ini! Liriknya hebat. Lagu dan iramanya mengasyikkan. Romantis memang; kali ini mesej sosial Usman Awang benar-benar datang menerkam, ‘menikam’ dalam girang.” 

Apakah yang dimaksudkannya itu muzika Uda dan Dara arahan Rahim Razali? Rasa-rasanya begitu, tapi saya tidak pasti.

Pengalamannya yang lain, terlibat dengan teater , dicatatkan di bawah tajuk “Pementasan Hamlet” (di Universiti Sains Malaysia, Januari 1979). “Aku diberi tugas oleh sutradara dari Australia itu untuk menasihati mereka (semasa latihan) tentang penggunaan bahasa dan pengertiannya, tentang pengucapan bahasa Melayu yang lazimnya diucapkan setiap hari. Naskah terjemahan Trisno Sumarjo itu ternyata terlalu puitis.” (Dia tidak menyebut nama Helen ven der Poorten, pengarah dan pensyarah teater dari Australia itu). 

Satu lagi cerita penglibatan Latiff dalam teater dicatatkannya di bawah tajuk “Set buat Hang Jebat?”. Tulisnya: “Usman Awang menunjuk aku sebagai tukang pereka set untuk dramanya Matinya Seorang Pahlawan. Ini membuatkan aku berpeluh, ‘Bagaimana membayangkan watak dan dunia seorang yang bernama Hang Jebat?’” 

Ceritanya lagi, “Pelbagai alat dan perabot telah kurancang, tetapi semuanya tidak sesuai; kononnya mahu yang luar biasa sedikit; kalau boleh, sesuatu yang lebih dramatik dengan elemen cahaya lampu sport-light yang keras. Ke hulu ke hilir sampai jam tiga pagi, barulah aku tahu bahawa membuat set drama rupa-rupanya bukanlah mudah. Pertama-tama, kita perlu meyakinkan Sang Pengarah…” Dan akhirnya, kata Latiff, “Kupakai beberapa helai tikar saja yang digantung-gantungkan dan sebuah ranjang yang berkilat keperak-perakan.” 

Saya tidak tahu pementasan mana yang dimaksudkan (tidak disebut tahun bila), dan saya pun tidak pernah menonton Matinya Seorang Pahlawan yang setnya daripada beberapa helai tikar yang digantung-gantung itu. Dan sebuah catatan lagi, Latiff menceritakan keresahannya sewaktu mengikuti latihan teater (tidak dijelaskan teater apa atau siapa). Dicatatkannya begini: “Amat kusedari akan kerumitan yang dihadapi oleh sutradara yang ghairah ini. Yang mana dialog dan yang mana monolog? Yang mana ucapan dan yang mana khutbah? (Tidak mungkinkah skripnya diubah, ditulis kembali?). 

Antara penglibatan Latiff yang paling bermakna dalam teater ialah terjemahan. Dia menterjemahkan beberapa skrip pendek dari Jepun (karya Yukio Mishima) dan sebuah buku lagi terjemahan drama-drama pendek German (Woyzek-?). Drama “Puan Aoi” (kalau tidak silap saya), pernah dipentaskan oleh Meor Hashim Manap dan dilakonkan oleh Izzaidah Khairan. Sesuatu yang bagus pada waktu itu. Dalam buku catatan ini Latiff menulis: “Drama Noh, karya Yukio Mishima yang kuterjemahkan itu akhirnya disetujui oleh pihak DBP untuk ‘dimasukkan dalam senarai penerbitannya’. Buku tersebut kuberi judul Bantal Impian. Tolong jangan bertanya kepadaku, tarikh sebenarnya buku itu akan dicetak/diterbitkan.” 

Kemudian tentang kumpulan Anak Alam, yang Latiff sendiri merupakan orang penting yang menubuhkan kumpulan itu. Catatan pertamanya mengenai aktiviti mereka pada tahun 1976: “Ada tiga kegiatan yang disemarakkan oleh Kumpulan Anak Alam. Pertama, tentunya seni lukis. Kedua, teater dan ketiga, baca sajak.” 

“Yang paling menonjol ialah teater-segar, meriah dengan bentuk eksperimen yang lebih mudah dilaksanakan (kemudiannya dikenal sebagai experimental theater), daripada skrip ‘mini kata’nya (atau tanpa skrip), penataan latarnya (atau tanpa latar) hinggalah kepada pemilihan tempat letak kereta, di kawasan setinggan, di pasar raya, di kompleks…” 

Satu lagi catatan mengenai Anak Alam, di bawah tajuk “Hari Alam di Kuala Lumpur, 1974”. Latiff menulis semula pamflet yang mereka sediakan untuk aktiviti Hari Alam itu:”…pelukis dan penulis Taman Budaya, besama-sama dengan seniman tempatan serta bantuan abadi daripada alam wajar (cahaya, tanah, air, angin, tumbuhan) akan mengadakan ‘Hari Alam’ selama dua hari dua malam, mulai subuh hari Sabtu, 13 Julai 1974 di sekitar Taman Budaya beralamat di 905, Persiaran Tun Ismail, Kuala Lumpur; …kegiatan secara spontan dan kreatif daripada para pengunjung sekeluarga ; acara siang malam, antaranya arca-enviro, drama, pantomin, playreading, dan mini-kata; baca puisi; persembahan muzik mainan cahaya, alunan genta, ketuk-ketuk, gamelan buluh; dan lain-lain seumpamanya.” 

Rumah beralamat 905 itu, itulah Rumah Anak Alam. Perhatikanlah aktiviti yang disenaraikan itu yang pelbagai. Memang, Kumpulan Anak Alam waktu itu sangat menjanjikan untuk perkembangan yang menarik bagi teater Malaysia. Saya selalu melihat mereka bereksperimen dengan gerak lakon tanpa dialog, muzik yang lain daripada kebiasaan, dan malahan saya pernah berimaginasi sebuah gerak teater yang unik ketika sering melihat Latiff menyiapkan lukisan-arca dinding dalam siri “Langkawi”nya, terutama karya yang diberikan warna biru pekat itu. Tetapi sayang, imaginasi saya itu tidak berkembang ke alam realiti. Samalah juga dengan eksperimen yang dilakukan oleh Mustapha Hj. Ibrahim (muzik) dan Yusuf Osman (gerak) yang tidak berkembang dan kemudiannya hilang. 

Seperti saya sebut pada awal tulisan, ada banyak perkara menarik sebenarnya dalam Catatan Latiff Mohidin. Bahkan dalam bab teater sahaja pun. (Kapai-kapai di padang letak kereta Stadium Negara itu ada cerita peribadi di sebalik penganjuran pementasan itu). Saya ingin menulis panjang. Tetapi kita selalu tertakluk pada batasan, pelbagai batasan. Insya-Allah pada kesempatan lain. 

Sementara itu, catatan berikut menunjukkan seorang penggemar teater dan selalu mengikut gerak dan perkembangannya. “Sutradara dari Jakarta itu bercerita panjang lebar tentang perkembangan hebat dunia teater di Indonesia….Aku yang tidak mahu mengalah dengan spontan menyebut beberapa nama teater, termasuk nama-nama ini: teater ‘Ruang Tamu’, Bidin Subari; teater ‘Atap’, Kala Dewata; teater ‘Alang’, Syed Alwi; teater ‘Pintu’ dan teater ‘Tiang’, Noordin Hassan; teater ‘Tali’, Dinsman; teater ‘Kerusi’, Hatta Azad Khan; teater ‘Agin’, Johan Jaafar; teater ‘Alam’ oleh Kumpulan Anak Alam, dan banyak lagi…”

 - Ulasan ini diterbitkan oleh Dewan Budaya, Januari 2013.



Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.