Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Sajak Bebas 60-an Hingga 70-an

Yang dikatakan sajak bebas itu bagaimana? Seorang pelajar bertanya kepadaku, "Apakah ada bezanya daripada sajak-sajak ASAS 50?"

Wah, ini pertanyaan wajar tetapi berat, daripada pelajar yang pintar! Aku hanya bisa menjawab dengan baris ayat yang tersentak-sentak:

"Sajak-sajak ASAS 50 masih belum bebas sepenuhnya daripada pola/model pantun dan seloka, walaupun segelintir sudah dilanda gaya, teknik, unsur sajak Chairil pada awal tahun 50-an. Sajak-sajak mereka masih terikat pada ikatan adat bersyair/bersajak. Kalimat yang berirama dan ayat yang "sama seukur" itu belum terlepas jua daripada mata pena, masih terlalu banyak memakai kata perlambangan dan kata bandingan. Maklumlah pada zaman transisi, betapa susahnya meninggalkan lenggang-lenggok gaya bersajak itu.

Tetapi kini, Usman sendiri misalnya, telah merobah puisi tanah air dengan rangkaian puisi modennya sehingga kami, penyair pada awal tahun 60-an hingga 70-an berupaya pula sedikit banyak membebaskan diri daripada ikatan-ikatan ketat tersebut, sesuai dengan tanggapan dan segala pengertian baru - apa itu bahasa, imejan, struktur, diksi, intuisi, imaginasi, metafora, mimpi, memori, ambiguiti, dan lain-lain sebagainya. Kami lebih banyak juga mencungkil/menggali jauh ke dalam diri, ke dalam jiwa sendiri. Maka itulah kadangkala, terasa ada semacam simbol dalaman yang amat peribadi sifatnya."

Apakah pelajar tadi puas hati dengan jawapanku ini?

-CATATAN, halaman 131.


Antagonis dan Protagonis

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat itu tidak sama dengan watak wayang kulit Sri Rama dan Rawana. Watak epik Ramayana itu watak hitam - putih; watak yang lahir daripada dua nilai, dua sifat, dan dua dunia yang bertentangan sama sekali; watak yang sudah diterima oleh masyarakat sebagai watak baik dan watak buruk. Yang satu bersifat ganas, sementara yang satu lagi bersifat lembut.

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat ialah dua watak adik-beradik, watak kembar, watak pahlawan sehinggalah yang seorang difitnah, manakala yang seorang lagi bangun menuntut bela. Yang seorang amat patuh lagi setia, sementara yang seorang pula ingkar lalu menderhaka; watak yang bukan 100% hitam - putih, tetapi berwarna kelabu dengan ratio atau nisbah 40:60, bergantung pada fahaman simbol dan keadaan psikologi semasa. Sebentar, Hang Tuah itulah hero dan wira kita; sebentar lagi, Hang Jebat pula. Ahli sejarah dan ahli sains terus berbelah bagi. Begitu jugalah halnya dengan keadaan pemikiran/minda kita. (Mungkin inilah dua watak idaman seorang Shakespeare!)

-CATATAN, halaman 233.

Kenduri Subuh

Kami adik-beradik berkumpul kembali. Tiba-tiba, masing-masing berbicara tentang waktu yang amat payah dan penuh dugaan, iaitu waktu Perang Dunia Kedua berakhir.

Mantin, 1945 - Ketika itu, bapa terkandas di Singapura. Ibu dan kami empat beradik sehelai sepinggang, terpaksa meredah hutan, jauh ke pedalaman, Ada yang sakit demam dan muntah-muntah. Ada yang menjadi pendiam dan bingung. Dan itu - berbagai-bagai jenis penyakit kulit tiba-tiba meradang, menambah seksaan dan tekanan.

Apabila disorot kembali, diajak bercerita kembali; aneh, masing-masing kini mempunyai versi, ingatan yang berlainan daripada pengalaman yang sama. Malah, ada dua orang yang adikku yang mengaku bahawa itulah saat yang paling menyeronokkan bagi mereka! Namun, setiap orang daripada kami sependapat tentang suatu saat ketika ibu menghidangkan kanji ubi pada subuh hari:

 "kenduri subuh
tidak akan kami lupakan
menyenduk saki-baki malam
dengan sudu tempurung
bintang berkerlipan
di dalam kuah
mangkuk lapar
telah kami telungkupkan
sedulang berempat
menghadapi kukusan mimpi
dengan lahapnya
embun panas
bagai sambal memercik ke mata ibu"

-CATATAN, halaman 330.



Mengapa Kita Membaca Sesebuah Karya Berulang Kali?

Mengapa Berulang Kali?

Apakah yang menyebabkan kita membaca sesebuah karya sastera itu lebih daripada satu kali?

Padaku peribadi, buku kubaca berulang kali, pertama (dahulu di bangku sekolah) kerana terpaksa; kedua (sekarang di bangku terminal) kerana bosan menanti bas yang tak kunjung tiba. Tetapi, terlepas daripada persoalan itu, memang ternyata bahawa ada beberapa hal yang memukau.

Umpamanya, cara mana Sang Pengarang mengolah plotnya, membentuk wataknya, dengan gaya bahasanya yang senantiasa memancarkan suasana atau imej khas. Atau mungkin saja kita tertarik pada perenggan, ungkapan, malah pada kalimat atau dialog tertentu. Entah bagaimana, setelah berulang kali kita baca, buku itu masih lagi terasa aneh, mendebarkan.

CATATAN, halaman 25.

Waktu Paling Kreatif

Ada penyair yang mengatakan bahawa waktu paling baik, waktu kreatif ialah waktu selepas tengah malam, waktu dinihari, waktu embun pagi. Ada pula yang mengatakan bahawa waktunya ialah ketika kita bersendirian dengan ilham, khayalan; dengan ombak, taufan kita sendiri; tidak kira di mana; siang malam pagi petang.

Buatku peribadi, itu semua tidak begitu penting. Waktu saya cipta timbul? Itu mengikut keselesaan, kelapangan, dan kebiasaan masing-masing. Ada teman penyair yang bisa serius menulis hanya pada waktu pejabat. Ada pula yang terpaksa tidur, atau sembahyang, atau merenung, bermeditasi lama-lama dahulu. Yang penting ialah hasilnya - bagus, hebat, atau tidak.

CATATAN, halaman 171.


"CATATAN" Terpilih Antara 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2012



 Buku CATATAN  terpilih untuk disenaraikan dalam katalog 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2012 yang akan dipromosikan di Pesta Buku Frankfurt dari 10-14 Oktober 2012. Hal ini dimaklumkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia kepada pihak penerbit baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Pak Latiff atas penghargaan dan pengiktirafan yang diterimanya. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca yang membeli karya tersebut dan menyokong blog ini.

- Pentadbir Blog



Dilema Teater Malaysia, 1975 & Riwayat Teater Moden Kita

Dilema Teater Malaysia, 1975
Teater kita masih terlalu muda, masih baru; belum menampakkan bentuk yang jelas khas. Bangsawan boleh dikembangkan. Apakah makyung dan wayang kulit akan 'diperbarui'?

Kita tidak ada teater rakyat atau teater jalanan seperti yang dipentaskan di Indonesia. Kita takut pada teater absurd. (Juga segala bentuk pementasan yang datang dari Eropah?)

-CATATAN, halaman 243.

Riwayat Teater Moden Kita
...Masih terlalu muda, belum sampai 30 tahun; dipelopori oleh Cikgu Shaharom Husain pada akhir tahun 40-an (pada zaman Jepun) di Johor. Shaharom cuba meninggalkan bentuk komedi tanpa skrip ala bangsawan, lalu terus masuk ke sandiwara berbentuk purbakala atau sejarah (Si Bongkok Tanjung Puteri).

Pada akhir tahun 50-an di Singapura, muncul Kala Hamidy dengan bentuk drama baru, meninggalkan bentuk sandiwara (Anak Nazar Tujuh Keramat). Kemudian daripada itu, muncullah pada tahun 60-an, Kala Dewata (Atap Genting Atap Rumbia), Bidin Subari (Tinggi-tinggi Si Matahari), dan diikuti oleh Noordin Hassan (Bukan Lalang Ditiup Angin) serta Syed Alwi (Alang Rentak Seribu) pada awal 70-an. Dan kini sejarah teater moden kita terletak di tangan para dramatis muda seperti Dinsman (Bukan Bunuh Diri), Johan Jaafar (Angin Kering), Hatta Azad Khan (Stesyen)....

-CATATAN, halaman 255.

Tujuan Berteater

Teater yang kutonton tadi cukup menghiburkan. Aku bertanya, "Apakah hiburan itu satu-satunya tujuan berteater?" Bagiku, berteater ialah suatu cara untuk meneroka jiwa manusia, insan biasa, watak-watak yang kita temui dalam perjalanan hidup kita sehari-hari. Dengan itu pula, barangkali, kita akan dapat sedikit banyak mengenal diri kita sendiri.

-CATATAN, halaman 227.

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.