Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Pengaruh Sastera

Yang pertama masuk ke daerah kita ialah sastera Hindu (dari Gujarat dan Tamil), dibawa masuk oleh pendeta yang dikirim atau yang merantau lalu bermastautin. Seterusnya, diikuti dengan sastera Islam (dari Arab dan Parsi) yang dibawa masuk oleh tokoh agama serta cerdik pandai kita, mereka yang pulang sesudah pengajian di Timur Tengah. Merekalah yang telah mengembangkan  sastera Nusantara kita (di peringkat awal).

Jadi, sama saja kesannya, sama ada sumber sastera itu diimport dari luar oleh yang menjajah atau kita sendiri yang mengimportnya, pengaruhnya tetap besar. Persoalannya bagi kita ialah: Apakah dengan itu sastera kita akan lebih hebat dewasa ini?

Pengaruh Islam/Arab

Ombak besar pertama masuk ke Nusantara ialah 'ombak tasawuf' dalam bentuk syair (kurun ke-17 Masihi). Tokoh pengarangnya ramai. Yang paling menonjol ialah Sheikh Hamzah Fansuri dengan karyanya Syair Perahu dan Sheikh Nuruddin al Raniri dengan Bustan-al-Salatin. Demikianlah mengikut sejarah.

Ombak besar kedua (tahun 20-an) dibawa oleh Syed Sheikh Al-Hadi (digelar 'Bapa Novelis' Melayu di Semenanjung) yang dipengaruhi aliran Arab moden dari Mesir. Antara novelnya yang terkenal termasuklah Hikayat Faridah Hanom atau Setia Asyek Kepada Ma'aksyoknya (novel kacukan-saduran).

Tidak ada ombak besar yang ketiga, kecuali simbahan 'ombak kecil yang beralun-alun sendirian di pantai zaman', namun cukup berkesan untuk membawa perubahan segar dalam kepenyairan pesisir Nusantara (dan sekali gus menyambung nafas Hamzah Fansuri). Yang kumaksudkan ialah sajak-sajak liris, untaian permata zamrud daripada Amir Hamzah itu.

- CATATAN, halaman 18-19)


Apa Gunanya Puisi?

"Apa gunanya puisi?" Ini bukan pertama kali aku disergah oleh pertanyaan sedemikian, dan aku percaya, bukan pula ke akhir kali.

Kufikir-fikir, dari segi dagang, puisi memang tidak ada gunanya. Dari segi sosial, puisi pernah dan masih digunakan sebagai alat untuk meniupkan semangat juang. Tetapi bagiku peribadi, satu daripada kegunaan puisi adalah untuk mendekati...mendekati gerak hati/gerak jiwa kita.

Dari Mana Datangnya?

Jangan bertanya kepadaku dari mana datangnya penyair. Aku tidak tahu. Apakah dia datang dari universiti, dari kebun getah, atau dari pasar malam, bagiku sama saja; asalkan puisinya itu bagus buatannya, indah, serta dalam pula maknanya.

- CATATAN, halaman 154.

Tak Pernah Tahu

"Dari mana datangnya puisi?" Teman yang menghantarku pulang ke Kampung Pandan tiba-tiba bertanya. Dia doktor bedah. Tadi kami sama-sama mendengar ceramah sastera di Sudut Penulis, DBP.

"Dari mana datangnya puisi?"

(Dari mana ya? Mungkin dari perasaan. Mungkin dari fikiran, dari ingatan, atau dari pengalaman. Tetapi, pengalaman yang bagaimana? Ah, mungkin tidak...bukan! Ah! Bagaimana menjawab soalan yang berat, tetapi wajar ini di tengah-tengah larut malam begini?

Lampu merah di persimpangan jalan itu (Jalan Cheras) terasa lama sekali nyalanya.

(Ah, mungkin esok...ya esok akan kujawab dengan sebaik-baik jawapan untuk pertanyaan yang satu ini! Atau biarkan saja dan katakan, "Tak pernah tahu dari mana datangnya" kerana itulah yang pasti kepadaku ketika ini.)

- CATATAN, halaman 152.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.