Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

ULASAN KARYA

Ulasan 2: Dunia Buku: Kelana Minda Latiff Mohidin
Oleh Hafizah Iszahanid

Penulis Sungai Mekong rakam pengalaman dan perasaanABDUL Latiff Mohidin mungkin satu-satunya seniman yang memiliki sentuhan magis serba menjadi. Antara puisi dan catan, Latiff mengungguli kedua-duanya. Jika Syed Ahmad Jamal menzahirkan Sidang Roh, sedutan dari sajak Kassim Ahmad manakala Ibrahim Hussien menghasilkan Pak Utih, ilham lewat karya Sasterawan Negara (SN), Usman Awang, Latiff merungkai sendiri makna lewat puisi Sungai Mekong dalam Siri Pago-Pago dan Siri Langkawi.


Setiap apa yang terlintas di benaknya selama aktif dalam dunia seni, terakam dalam Catatan Latiff Mohidin keluaran Maya Press. Bagi penggemar Latiff, buku ini adalah kitab yang wajar dimiliki. Ia bukan buku fiksyen, jauh sekali esei atau merakam proses pengkaryaan puisi atau catan. Sebaliknya ia hanyalah catatan pendek yang merangkumi pelbagai topik tentang sastera, puisi, filem dan budaya. Tidak ketinggalan 84 halaman peribadi yang memperlihatkan sisi lain Latiff.


Seperti diketahui, Latiff adalah lulusan seni halus dari Akademi Seni Halus di Berlin, Jerman pada pertengahan 1960-an. Malah, Latiff juga pernah terdidik dalam lingkungan pengajian yang sama di Atelier La Courrier, Paris, pada 1969 dan di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat.


Justeru tidak hairan, pengaruh dan pengalaman di barat banyak sekali diterjemahkan dalam karya. Malah dalam beberapa catatannya, memperlihatkan kekaguman Latiff pada pemuisi Bohemian Austria, Rainer Maria Rilke. Kekaguman itu dapat difahami kerana Rilke adalah pemuisi Jerman terpenting. Selain Rilke, Latiff turut mencatat kekagumannya pada Johann Wolfgang von Goethe, penulis yang dianggap sebagai genius dalam kesusasteraan Jerman, selain Gunter Eich dan Bertolt Brecht.


Bagaimanapun, Latiff sedikit terkilan kerana kehebatannya dalam seni halus ada kalanya dijadikan cara termudah bagi pengkritik untuk mengetepikan puisi-puisinya. Jelas Latiff jika ada antara puisinya yang tidak difahami, ‘mereka terus saja lepas tangan. Ditolak dan disingkirkan sajak-sajakku ke daerah seni lukis. Ah, ini daerah surelisme, kata mereka. Dengan demikian tertutuplah kemungkinan segala ruang metamorfosisinya’ (halaman 165).


Begitupun, sejauh mana pun sajak-sajaknya tersingkir lewat ketidakfahaman itu, puisi-puisinya masih memiliki magis yang membolehkan Latiff dinobat sebagai penerima anugerah penulisan di peringkat Asia Tenggara (SEA Write) pada 1984.
Meskipun handal dalam kedua-dua bidang seni, buku ini menjelaskan sebenarnya Latiff tidak mempunyai masa yang khusus untuk berkarya. Sebaliknya Latiff menegaskan masa berkarya itu akan datang sendiri mengikut kesesuaian, keselesaan, kelapangan dan kebiasaan. Bagaimanapun menghasilkan karya kreatif dan catan bukanlah kerja mudah, ‘tidak mudah melompat dari petak lukisan ke rentak puisi, dari lapisan rona warna ke urutan kata-kata’ halaman 185....sambung bacaan anda di sini.




Ulasan 1: Muncul dari Penyepian Menjelma dari Keresahan
Oleh: Zulkifli Salleh
 
Apabila Khairul Aisyam Hidayat meminta saya mengulas buku terbaharu Latiff Mohidin, terus terbayang dalam fikiran saya apakah buku-buku beliau yang lain yang ada dalam koleksi saya. Saya yakin bahawa saya memiliki beberapa buku beliau, tetapi mungkin saya terpaksa mencarinya dalam rak-rak buku di rumah saya atau di kondominium anak saya – tempat saya menyimpan sebahagian buku saya. Pada masa yang sama, saya teringat karya beliau Garis: Dari Titik ke Titik yang pada mulanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian diterbitkan oleh Petronas. Saya memiliki naskhah terbitan Petronas itu atas pemberian Datuk Baha Zain.

Karim Raslan memuatkan ulasan Garis: Dari Titik ke Titik dalam bukunya, Menjajat Asia Tenggara: Ceritalah 2, yang antaranya mengatakan bahawa kerapian intelektual yang digunakan Latiff untuk menyemai seninya dengan ketegasan dan semangat tanpa kepekaan kurang menyenangkan ramai orang lain. Pada bahagian lain, Karim menulis: “Memandangkan kepelbagaian bahasa, adat, dan sokongan kerajaan Malaysia kepada hak istimewa kaum perilbumi Melayu, Latif adalah salah seorang artis Melayu daripada segelintir artis yang karyanya yang terlepas daripada pencemaran moral akibat penyesuaian politik. Dalam semangat jati ekspresionisme, dia tidak mengharapkan pertolongan kerajaan dan tetap berada antara kejamakan Malaysia, meskipun dia tidak sahaja merupakan pelukis penting Malaysia, tetapi juga sebagai penulis sajak dalam bahasa Melayu yang paling disanjung.” Dalam ulasan itu, Karim juga memetik Krishen Jit bahawa penarikan diri Latiff daripada kerenah birokrasi merupakan satu rahmat terselindung: “Pertolongan kerajaan boleh menjadi kucupan pemusnah (maut).”

Pada tahun 1994 jika tidak silap, seorang penulis memberitahu saya bahawa Latiff Mohidin lebih bersifat menyendiri, tidak banyak berhubung dengan kawan-kawannya. Semasa saya mengetuai Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka antara tahun 2000 – 2003, kemudian berpindah ke Bahagian Penerbitan Sastera, seterusnya ke Bahagian Ensiklopedia, dan akhir sekali sebagai Pengarah Penerbitan, seingat saya nama beliau tidak banyak muncul. Ketika membaca buku beliau, Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, Petaling Jaya, 397 hlm.), saya teringat projek Ensiklopedia Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, saya beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan pakar bidang yang diketuai Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pada tahun 2005 dan 2006. Meskipun saya yakin bahawa Latiff pasti ada dalam “entri,” tetapi saya mendapatkan pengesahan daripada Haliza Jamaludin dan Mohamad Ibrahim, daripada bahagian berkenaan. Dalam ensiklopedia yang akan diterbitkan itu, Latiff diletakkan bersama-sama dengan dua orang lain lagi sebagai “penyair-pelukis.” Mereka lebih dikenali sebagai penyair pelukis, yang menghasilkan karya seni tampak dan puisi. Dalam perkembangan seni di Malaysia, lahir beberapa orang seniman yang berkarya dalam beberapa genre seni seperti seni lukis, arca, sketsa, kaligrafi, di samping berkarya dalam genre sastera seperti puisi, cerpen, dan novel.

Ketika membaca Catatan Latiff Mohidin, saya melakukan kerja sambilan penyuntingan manuskrip yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Esei Penghargaan V.I. Braginsky: Mengharungi Laut Sastera Melayu, satu daripada 22 makalah itu ialah “Dari Warna Konkrit ke Cahaya Absrtak: Penggunaan Topoi ‘Warna’ dan ‘Cahaya’ dalam Puisi A. Latiff Mohidin” oleh Arndt Graf, seorang sarjana Jerman. Dalam pengenalan makalah itu, Graf menulis, “sejak tahun 1960-an, A. Latiff Mohidin tidak hanya menonjol sebagai penyair unggul yang telah banyak dikaji oleh pakar kesusasteraan Melayu, antaranya V.I. Braginsky, tetapi juga sebagai pelukis Malaysia yang utama....sambung bacaan anda
di sini

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.