Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Cerita tentang "CERITA"

Cerita tentang "cerita" ini, panjang ceritanya.... (Serpihan novel yang kubaca dalam Dewan Sastera tadi kuletakkan sebentar.)

"Amalan bercerita tidaklah datang begitu saja. Amat panjang sejarahnya. Jangka hayatnya sudah berabad-abad lamanya. Mungkin sekali amalan bercerita ini bermula dengan tujuan dan teknik yang amat mudah. Setiap kali si anak tidak mahu tidur, maka dikarang cerita lipur lalu didendangkan. Setiap kali si anak tidak berhenti menangis, diciptakan pula cerita seram (mantera). Daripada suasana begitulah agaknya, timbul amalan bercerita. Pada mulanya, hanya melalui lisan cerita diulang-ulang supaya senang diingat dan dituturceritakan kembali.

Setelah orang pandai membuat gambar melalui goresan/kalam, barulah cerita-cerita itu ditulis. Maka ditulis oranglah cerita binatang (fabel), cerita peri-peri (dongeng) dan dewa-dewa (mitos), cerita jenaka, dan sebagainya. Maka sejak itu, berkembanglah berbagai-bagai bentuk cerita, mungkin tidak lagi sebagai penglibur, tetapi sebagai nasihat, teladan, malah peringatan.

Cerita yang dikarang bertambah panjang jua. Setelah jemu dengan cerita tentang mahkluk di langit, orang pun beralih pada cerita tentang kisah raja-raja dan kerajaan mereka di bumi, iaitu dalam bentuk setengah dongeng, setengah sejarah. Maka terciptalah kaba dan hikayat. Apabila didapati unsur teladan melalui "dongeng-sejarah" dalam hikayat tidak memadai, maka dimasukkan pula unsur roman. Maka bersemaraklah pula cerita roman, daripada "roman asyik-mahsyuk" hinggalah kepada Bildungs Roman. Tak cukup dengan "cerita asuhan", maka dikarang pula "cerita suruhan" berunsur didaktif atau tenderz (yang berakhir hanya pada tahun 50-an pada zaman ASAS 50).

Ringkasnya, setelah melalui beratus-ratus cerita (yang amat) panjang - dari zaman Munshi hingga zaman Al-Hadi - barulah kita sampai ke cerita pendek atau cerpen yang dipelopori oleh Kajai, diikuti Ishak, Keris, sekarang oleh Shahnon dan A Samad Said."

(Serpihan novel A Samad Said berjudul Dengan Tanah tadi kucapai, kubaca kembali.)

-CATATAN, halaman 14-15.

Bahasa Itu "Rumah Ibunda" & Sebatang "Pohon Bahasa"

BAHASA ITU "RUMAH IBUNDA"
Bahasa ibunda ialah 'rumah ibunda'. Di bawah bumbungnya yang berat tetapi teduh, kami hidup tenteram. Sejak kecil, kami diajar berbicara tentang manusia dan alam dengan segala pengertian kekeluargaan, dengan penuh sopan santun.

Bahasa ibunda ialah 'rumah ibunda'. Kadangkala kami bergurau senda, ketawa riang di halamannya. Kadangkala pada malam hari di sudut ruangnya, kami bermimpi tentang keindahan perjalanan masa depan....

Bahasa ibunda ialah 'rumah ibunda'. Pada siang hari di ruang tengahnya, kami tekun belajar dan belajar; merenung, berfikir, serta berhujah. Lidah kami galir, otak kami cair. Apa jua bidang ilmu pengetahuan di dunia ini dapat kami fahami dan kami halusi dengan yakin.

SEBATANG "POHON BAHASA"

Di halaman rumah kami ada sebatang pohon, "pohon bahasa" namanya. Dahannya pepatah. Rantingnya pantun. Pada daun-daunnnya, beruntaian tamsil, ibarat, gurindam, dan seloka.

Berapa umurnya 'pohon bahasa' ini? Kami tidak tahu; hanya apabila kami lahir di dunia, pohon ini sudah wujud, merimbun ranum di sana, di halaman. Mudah-mudahan, dari seluruh pohonnya, tetap akan tumbuh bercambah sekian banyak lagi ungkapan yang baru dan indah, seperti ungkapan lama - penuh hikmah, nasihat, dan kasih sayang.

-CATATAN, halaman 97.

Sebarang komen dan pandangan? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Muncul dari Penyepian Menjelma dari Keresahan

Oleh: ZULKIFLI SALLEH 
JUMAAT, 22 April 2011

Apabila Khairul Aisyam Hidayat meminta saya mengulas buku terbaharu Latiff Mohidin, terus terbayang dalam fikiran saya apakah buku-buku beliau yang lain yang ada dalam koleksi saya. Saya yakin bahawa saya memiliki beberapa buku beliau, tetapi mungkin saya terpaksa mencarinya dalam rak-rak buku di rumah saya atau di kondominium anak saya – tempat saya menyimpan sebahagian buku saya. Pada masa yang sama, saya teringat karya beliau Garis: Dari Titik ke Titik yang pada mulanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian diterbitkan oleh Petronas. Saya memiliki naskhah terbitan Petronas itu atas pemberian Datuk Baha Zain.

Karim Raslan memuatkan ulasan Garis: Dari Titik ke Titik dalam bukunya, Menjajat Asia Tenggara: Ceritalah 2, yang antaranya mengatakan bahawa kerapian intelektual yang digunakan Latiff untuk menyemai seninya dengan ketegasan dan semangat tanpa kepekaan kurang menyenangkan ramai orang lain. Pada bahagian lain, Karim menulis: “Memandangkan kepelbagaian bahasa, adat, dan sokongan kerajaan Malaysia kepada hak istimewa kaum perilbumi Melayu, Latif adalah salah seorang artis Melayu daripada segelintir artis yang karyanya yang terlepas daripada pencemaran moral akibat penyesuaian politik. Dalam semangat jati ekspresionisme, dia tidak mengharapkan pertolongan kerajaan dan tetap berada antara kejamakan Malaysia, meskipun dia tidak sahaja merupakan pelukis penting Malaysia, tetapi juga sebagai penulis sajak dalam bahasa Melayu yang paling disanjung.” Dalam ulasan itu, Karim juga memetik Krishen Jit bahawa penarikan diri Latiff daripada kerenah birokrasi merupakan satu rahmat terselindung: “Pertolongan kerajaan boleh menjadi kucupan pemusnah (maut).”

Pada tahun 1994 jika tidak silap, seorang penulis memberitahu saya bahawa Latiff Mohidin lebih bersifat menyendiri, tidak banyak berhubung dengan kawan-kawannya. Semasa saya mengetuai Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka antara tahun 2000 – 2003, kemudian berpindah ke Bahagian Penerbitan Sastera, seterusnya ke Bahagian Ensiklopedia, dan akhir sekali sebagai Pengarah Penerbitan, seingat saya nama beliau tidak banyak muncul. Ketika membaca buku beliau, Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, Petaling Jaya, 397 hlm.), saya teringat projek Ensiklopedia Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, saya beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan pakar bidang yang diketuai Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pada tahun 2005 dan 2006. Meskipun saya yakin bahawa Latiff pasti ada dalam “entri,” tetapi saya mendapatkan pengesahan daripada Haliza Jamaludin dan Mohamad Ibrahim, daripada bahagian berkenaan. Dalam ensiklopedia yang akan diterbitkan itu, Latiff diletakkan bersama-sama dengan dua orang lain lagi sebagai “penyair-pelukis.” Mereka lebih dikenali sebagai penyair pelukis, yang menghasilkan karya seni tampak dan puisi. Dalam perkembangan seni di Malaysia, lahir beberapa orang seniman yang berkarya dalam beberapa genre seni seperti seni lukis, arca, sketsa, kaligrafi, di samping berkarya dalam genre sastera seperti puisi, cerpen, dan novel.

Ketika membaca Catatan Latiff Mohidin, saya melakukan kerja sambilan penyuntingan manuskrip yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Esei Penghargaan V.I. Braginsky: Mengharungi Laut Sastera Melayu, satu daripada 22 makalah itu ialah “Dari Warna Konkrit ke Cahaya Absrtak: Penggunaan Topoi ‘Warna’ dan ‘Cahaya’ dalam Puisi A. Latiff Mohidin” oleh Arndt Graf, seorang sarjana Jerman. Dalam pengenalan makalah itu, Graf menulis, “sejak tahun 1960-an, A. Latiff Mohidin tidak hanya menonjol sebagai penyair unggul yang telah banyak dikaji oleh pakar kesusasteraan Melayu, antaranya V.I. Braginsky, tetapi juga sebagai pelukis Malaysia yang utama.

Dalam makalah itu, Graf mengkaji tiga koleksi sajak A. Latiff Mohidin, iaitu Sungai Mekong, Pesisir Waktu, dan Rawa-Rawa yang secara keseluruhan beliau simpulkan, “terdapat satu tendensi yang jelas dari fasa yang konkrit dan sedikit gelap pada tahun 1960-an, melalui fasa ceria dan senang warna hijau daripada tumbuhan, ke suatu fasa yang semakin memfokuskan corak cahaya abstrak. Benda dan warna individualnya semakin tidak lagi penting.

Meskipun Latiff Mohidin dikatakan menyendiri, namun daripada beberapa contoh di atas jelas bahawa beliau tidak terlepas daripada “radar penulisan dan kritikan.” Dan, dengan terbitnya Catatan, beliau muncul dari penyepian. Memetik haluan kata beliau dalam buku ini, “sebatang pena, sebuah buku Catatan; selebihnya keresahan hidup seharian,” boleh ditafsirkan bahawa melalui buku terbaharu ini, beliau juga menjelma dari keresahan.

Membaca Catatan Latiff Mohidin, yang segera terbayang dalam fikiran saya ialah Latiff sebagai penyair dan pelukis, dan Latiff sebagai pengembara. Antara Latiff sebagai penyair dan pelukis dengan Latiff sebagai pengembara, pastinya pengembaraan beliau menjadi tumpuan saya. Jika di peringkat antarabangsa, penulis Amerika masa kini, iaitu Robert D. Kaplan yang ulasan bukunya saya masukkan dalam blog saya, terkenal sebagai penulis kembara, Latiff meletakkan dirinya sebagai seniman kembara lebih awal lagi.

Meskipun saya boleh menelitinya dalam Garis: Dari Titik ke Titik, namun pada peringkat awal pembacaan, saya asyik mencari bab atau mana-mana bahagian yang berkemungkinan menceritakan kisah pengembaraan beliau di banyak negara dan merentas benua. Meskipun dalam Catatan itu beliau ada kalanya menyatakan di manakah beliau berada, tetapi yang menarik perhatian saya ialah “Bab 11: Peribadi.” Di bawah topik “kereta api meraung,” antaranya beliau menulis: Kemudian, sewaktu mengembara pada tahun 60-an dahulu dari Noongkhai; dari Frankfurt ke Milan (Inter Continental); dari New Delhi ke Amritsar; dari Jakarta ke Surabaya; dari London ke Manchester; dari Berlin ke Alsfeld; dari Gemas ke Pasir Mas; dari Amsterdam ke Paris; dari Tanjung Pagar dan seterusnya ke Bangkok.

Buku ini mengandungi 11 bab, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Kebanyakan catatan yang dinyatakan dalam Catatan ini berkisar pada tahun 1960-an dan 1970-an. Nyata bahawa topik yang dirangkumi agak luas: sastera, bahasa, budaya, dan seni yang merentas sempadan negara dan benua. Kaya dengan pengalaman pengarangnya, Latiff Mohidin, dan sarat dengan peringatan serta tunjuk ajar: “jangan mengambil upah, suatu hari nanti engkau akan terupah” peringatan beliau kepada sasterawan upahan. Kepada yang ingin menjadi penyair, beliau memberikan bimbingan, seperti yang dapat dirujuk dalam bab Puisi Umum, Puisi, dan Puisi LM.

Meskipun saya sedari bahawa saya tidak layak mengulas puisi, apatah lagi puisi Latiff Mohidin, namun membaca puisi beliau, “Di Sayong... Di Sayong” (hlm. 223) amat membangkitkan keterujaan pada diri saya kerana bahasanya sungguh segar dan retak katanya sungguh bertenaga, menepati penjelasan beliau untuk meleraikan rasa kecewa: “asalku tanah/ bentuklah aku/ tanpa banir/ tanpa sepuh/ dari dalam aku diurut/ dari dalam aku disurih/ mulut birai/ perutku lesung/ asalku tanah/ bentuklah aku/ sehingga leherku jinjang/ sehingga pinggangku ramping/ di sela-sela jari wanita/ aku dilahirkan/ di Sayong/ di Sayong...”

Membaca buku ini, bagi saya terasa seakan-akan membaca memoir anak kelahiran Negeri Sembilan yang pernah tinggal di Singapura, negara kota yang ayahnya memiliki rumah tumpangan, dan pernah melanjutkan pengajian di Berlin. Terlalu banyak tempat yang dilawatinya, dalam dan luar negara, dan terlalu banyak orang yang ditemui dan disabahatinya daripada pelukis kepada penyair kepada penulis kepada seniman; daripada Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan kepada Sasterawan Negara; daripada pejuang nasionalis kepada sosialis. Tidak kurang manusia biasa daripada bermacam-macam latar belakang dan yang mengharungi pelbagai ragam kehidupan. Sekali-sekala muncul nama tokoh korporat yang pernah merantau bersama-sama beliau. Daripada bangsawan kepada teater; daripada bengkel kepada seminar; daripada melukis di jalanan kepada pameran bertaraf dunia. Juga perlu dinyatakan di sini, dari Balai Budaya, ke Sudut Penulis ke kantin DBP.

Walaupun banyak catatan yang menarik, namun yang menarik perhatian saya ialah usaha Latiff Mohidin untuk menyatukan sains dengan seni, seperti yang beliau nyatakan dalam “seni dan sains di Universiti Sains Malaysia” (hlm. 293). Membaca idea beliau untuk mewujudkan “karyasama” yang akhirnya menemui jalan buntu, mengingatkan saya tentang “dua budaya” C.P. Snow yang saya bincangkan dan bahaskan dalam “Dua Budaya” yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya bulan ini.

Pada 7 Mei 1959, novelis, ahli sains, dan ahli politik tersebut menyampaikan syarahan “Rede Lecture” di Senate House, Cambridge. Syarahan beliau itu adalah tentang intelektual yang terputus antara sains dengan ilmu kemanusiaan. Beliau meratapi apakah yang beliau istilahkan “dua budaya” dalam masyarakat moden, iaitu sastera dan sains. Dalam syarahan yang terkenal dan bersifat ingin tahu itu, "The Two Cultures and the Scientific Revolution", Snow mendedahkan bahaya jurang yang luas antara ahlis sains dengan “intelektual sastera.” Dalam syarahan yang kemudiannnya dipetik secara meluas itu, beliau membezakan antara budaya ilmu kemanusiaan dengan sains semula jadi, dan beliau mengutamakan sains semula jadi. Pada tahun 1959, Snow melihat jurang perbezaan antara saintifik dengan elit intelektual, sebagai satu penghalang.

Dalam bukunya, The Uncertainties of Knowledge, Immanuel Wallerstein, turut mengupas dan membahaskan dua budaya, tetapi dengan kewujudan sains sosial. “Kita memasuki abad ke-21,” tulis beliau, “dengan ketidakpastian yang cukup besar tentang kesahihan sempadan disiplin dalam lingkungan sains sosial, dan persoalan sebenar untuk kali pertama dalam dua abad, kesahan epistemologi yang memisahkan ‘dua budaya’ dan oleh itu, de facto tiga kali ganda penyekatan ilmu ke dalam supercategories sains semula jadi, ilmu kemanusiaan, dan antara kedua-duanya, sains sosial.”

Dalam buku itu juga Wallerstein cuba menarik perhatian tentang keterhakisan keagungan sains yang kini dituduh bersifat ideologi, subjektif, dan tidak boleh dipercayai. Sains kini diserang. Isytihar Wallerstein. “Tidak lagi mempunyai rasa hormat tanpa dipersoalkan yang dinikmati sejak dua dekad lalu sebagai bentuk kebenaran paling pasti – bagi kebanyakan orang, hanya bentuk pasti kebenaran.” Tentang kebenaran yang diagung-agungkan oleh sains itu, Latiff Mohidin juga mengetengahkannya di bawah topik “mencari kebenaran”: “Dikatakan bahawa para saintis mencari kebenaran. Namun, seniman pun mencari kebenaran. Jadi, mereka sama-sama mencari kebenaran” (hlm. 297). Lebih 30 tahun lalu, Latiff mempersoalkan “kebenaran yang bagaimana?” yang jelas hingga kini tidak dapat diberikan jawapannya kerana memetik Wallerstein bahawa “dari segi kebenaran, sains kini mengalami nasib seperti teologi, falsafah, dan kebijakan rakyat (folk wisdom).”

Sebagaimana Wallerstein yang menganggap sains ditawan oleh ideologi, demikian juga Latiff: “Tetapi, hidup kita ini sudah pun berabad-abad lamanya berbelah bagi (dibahagi dua oleh berbagai-bagai ideologi/fahaman politik, ekonomi, budaya...” (hlm. 298). Namun, beliau menambah tentang dunia yang dipolarisasikan – sistem-dunia kapitalis: “Maka sebagai akibatnya, timbullah pembahagian ‘dunia yang berat sebelah’ kepada pemikiran Timur-Barat, pemikiran kampung-kota, pemikiran golongan kaya-golongan miskin, pemikiran sains-seni; pemikiran yang asyik bercanggahan atau dicanggahkan.”

Berbicara tentang seni yang diketengahkan oleh Latiff bahawa “seni juga mencerminkan khalayak/penontonnya, bukan hanya kehidupan seniman/penciptanya” yang sekan-akan membangkitkan keresahan pada dirinya, elok juga dipetik Salman Rushdie yang menulis “Dangerous Art” dalam The New York Times baru-baru ini yang membahaskan seni boleh jadi berbahaya. Terlalu kerap kemasyhuran seni terbukti lebih bahaya kepada seniman itu sendiri. “Kita mungkin boleh meletakkan pertaruhan kita terhadap seni untuk menewaskan penzalim,” tulis Salman.

Dunia dan zaman tidak terlepas daripada Latiff Mohidin yang melihatnya dari segi falsafah bahawa “Kuno dan moden: kita hidup dalam dua dunia, dalam dua waktu; setiap hari, setiap saat membaur, menganyam yang dulu dengan yang kini… Apabila yang kuno kelihatan moden, yang moden kelihatan kuno sekali” (hlm. 397).

Setelah muncul dari penyepian, menjelma dari keresahan, Latiff Mohiddin memberikan jaminan bahawa beliau “senantiasa ingin melukis dan menulis mengikut nafas dan larasku sendiri...” Nyata bahawa beliau belum lagi ditimpa penyakit “lumpuh karya,” iaitu tenaga kreatif sasterawan terasa menurun. Kepada penulis dan sasterawan yang mula tumpul segala-galanya, tumpul minda, tumpul pena, tumpul kreativiti, tumpul tenaga, Latiff bagaikan ingin menyuntik semangat agar mereka terus berkarya. Kepada penulis muda yang buku ini dedikasikan, Latiff memberikan pedoman dan bimbingan agar mereka menjelajah dunia tanpa sempadan dan mengharungi samudera terbentang luas kerana di situlah mengalir sumber ilham yang tidak pernah kering tentang manusia, tentang alam, tentang kehidupan.

Kepada teman di DBP yang mungkin resah dan gelisah bukan sahaja memikirkan masa depan fungsi teras utama, bahkan organisasi itu sendiri yang kini menjadi sasaran persendaan, ini pesan Latiff, “sastera tetap dibaca supaya kita kenal apa itu insan/manusia."

(Zulkifli Salleh pernah menjadi ketua di Bahagian Majalah, Bahagian Penerbitan Sastera, dan Bahagian Ensiklopedia, sebelum mengakhiri perkhidmatannya di DBP sebagai Pengarah Penerbitan. Laman blog beliau, Sistem Dunia boleh dilawati di sini.)

Waktu Bila Membaca Novel?

(Ketika melihat dua orang pengembara dari Eropah yang sedang asyik membaca buku di Perhentian Bas Kelang, teringat pula aku pada pengalamanku kira-kira sepuluh tahun lalu.)

Sebelum ke Kedutaan Thai untuk mengambil visa, aku sempat singgah di Pustaka Antara, membeli tiga buah buku: Tasauf Moderen Pak Hamka, Sandera Pak Arena, dan Sabai Nan Aluih (cerita kaba yang terkenal itu). Kononnya, ketiga-tiga buku ini akan kubaca semasa dalam perjalanan ke Bangkok dan seterusnya ke Vientianne dengan kereta api.

Memang lazim bagiku membaca novel sepanjang pengembaraan (meminjam tabiat teman-teman dari Eropah). Pernah tamat dua novel tebal kubaca semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Chiengmai. (Novel Die Blech Trommel oleh Grass dan Berlin Alexanderplatz oleh Döblin dalam bahasa Jerman itu telah ditinggalkan oleh pengembara lain di hotel murahan dan mungkin kemudiannya telah dipungut, dibaca, dan ditinggalkan pula di hotel murahan di kota-kota lain di Asia. Tetapi, kalau kutinggalkan Sabai Nan Aluih yang ditulis dalam bahasa Minang itu, siapa pula yang akan memungut dan membacanya?)

-CATATAN, halaman 346.

Sebarang komen dan pandangan? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Gatra Paling Unggul (1942-1960)

Bagiku peribadi, sesungguhnya ada beberapa kalimat/gatra dalam seluruh himpunan Puisi Baharu Melayu yang benar-benar unik, hebat, dan unggul; yang bikin sejarah dalam perkembangan puisi moden tanah air setakat ini (1942-1960). Baris-baris gatra yang kumaksudkan itu ialah:

Yang pertama:
"Punya satu isteri mau dakap sampai mati
lima orang anak mau makan setiap hari"

("Pak Utih" oleh Usman Awang)

Yang kedua:
"Sekali ini aku tiada peduli
Di atas dasar yang satu aku berdiri"

("Tiada Peduli" oleh Masuri S.N.)

Yang ketiga:
"Jangan malu untuk menggila
panggilah gadis
ciumlah dia"

("Dua Catatan" oleh Kassim Ahmad)

Yang keempat:
"Di laut. Ada cermin
di muka air berwarna
usia berlalu di bawah neraca. Tua"
("Senja" oleh Noor S.I.)


Itulah sebahagian gatra atau kalimat yang pada hemat Latiff Mohidin unik, hebat, dan unggul antara tahun 1942-1960 seperti yang tercatat dalam CATATAN, halaman 128.

Beliau ada mengulas lanjut "Tiada Peduli" karya Masuri S.N. pada halaman 129, CATATAN. Dapatkan buku CATATAN untuk mengetahui pandangan lanjut beliau tentang hal itu.

Apa Itu "Pameo"? Apa Itu "Mamangan"?

Menurut Latiff Mohidin pada halaman 120, CATATAN:
Ada sejenis peribahasa yang seakan-akan tumbuh seiring dengan perumpamaan. Tetapi, sifatnya lebih dekat pada sifat pepatah berlawanan. Kadangkala kedengarannya seperti kalimat yang berbentuk sindiran, tetapi sebenarnya mempunyai isi yang berbentuk sindiran, tetapi sebenarnya mempunyai isi yang berbentuk songsang. Kalimatnya menyarankan hal-hal yang tidak mungkin terjadi. Umpamanya:
     Terhimpit di atas, terkurung di luar.
     Angguk tidak, geleng ia.
   
Peribahasa di atas diberi nama pameo oleh orang Minang, dengan ciri khasnya: mengatakan sesuatu dengan kalimat songsang. (Dengan itu, pada hematku, pameo adalah suatu sumbangan unsur paradoks pada sastera Nusantara.)
Manakala pada halaman 119, CATATAN, Latiff Mohidin menjelaskan definisi "mamangan" dan "pameo" dan perbezaan antara kedua-duannya:
Dalam sastera Minang, kata pameo dan mamangan sering kali disebut selari. Kalau pameo bererti pepatah, canggahan, mamangan pula ialah pepatah pegangan - pegangan hidup, anjuran, atau pun suruhan. Ada juga bentuk ini yang mengandungi larangan. Mamangan sebenarnya lebih dekat kepada bentuk gurindam daripada bentuk pameo. Umpamanya: 'awal diingat, akhir tidak; alamat badan akan rosak'.

Sebarang pandangan? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Seni & Kehidupan, Sastera & Lukisan

Dalam bab 10, CATATAN, iaitu "Seni dan Budaya" (hlm 269, 270), Latiff Mohidin, antaranya menulis:
Seni dan Kehidupan
Tidak seperti politik, seni itu pada asasnya berada di landasan lain, tidak mempunyai kuasa untuk memperbaiki keperluan, keadaan, dan hal ehwal kehidupan manusia. Tetapi, seni berupaya memberikan gambaran atau pengertian yang lain terhadap dunia ini.

Antara Sastera dengan Lukisan
Dalam sastera, kita berangkat  dari kata ke kata, dari kalimat ke kalimat. Dan, seterusnya kita bergerak dari para ke para.
     Dalam lukisan pula, sesuatu komposisi misalnya, sudah cukup jelas kehadirannya dengan secalit dua sapuan. Dan kita tidak membacanya dalam baris, dari sisi atau dari samping ke samping, tetapi dari keseluruhan ruang secara serempak.
     Proses sastera "berurutan-berangkaian", sedangkan proses lukisan "berlapisan-bertindihan".

Sebarang pendapat? Sila kemukakannya di ruangan "komen".

"Catatan Latiff Mohidin" Kini Berada di Pasaran



Bagi sesiapa yang ingin memiliki Catatan Latiff Mohidin yang menghimpunkan catatan ringkas beliau tentang sastera, bahasa, budaya, dan seni bolehlah membelinya di kedai-kedai buku utama di seluruh negara.

Harga senaskhah ialah RM36 di Semenanjung Malaysia dan RM39 di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, catatan ini boleh juga dipesan/ditempah secara atas talian. Sila berhubung dengan:

Inaz (03-61451031) atau Lina (03-61451030)

* Pembelian secara atas talian tidak dikenakan wang pos.



Petua Ringkas Menulis Cerpen

Latiff Mohidin pada halaman 45 CATATAN ada menyentuh tentang petua menulis cerpen. Catatannya ringkas, namun bagi mereka yang memahaminya, petua yang ringkas ini amat berguna.

Menurut Latiff:
Menulis cerpen tidak mudah seperti yang disangka. Cerpen bukan sketsa, bukan pula potret; bukan drama dan bukan juga novel; jauh sekali daripada puisi. Namun begitu, cerpen sering menarik minatku, lantaran persoalannya tentang hidup seharian seorang dua individu dalam keadaan yang unik. Kita menjadi sedar, betapa berharganya kewujudan kita ini.

Mengikut petua yang ahli, untuk menemukan dan merasakan segala itu, sang penulis harus pula mempunyai pengetahuan serta pengalaman di sekitar latar yang diciptakannya; lorong-lorong kehidupan harian yang lumrah; bukan saja hingar ruang, tetapi juga bau dan cahayanya.

Sebarang komen? Sila kemukakannya di ruang "komen".

Perbezaan antara Nama Pena dengan Nama Samaran

Latiff Mohidin membangkitkan suatu persoalan yang menarik: adakah "nama pena" dan "nama samaran" itu suatu yang sama? Banyak orang yang beranggapan bahawa nama pena dan nama samaran itu sama.

Namun, Latiff mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan dengan hal ini. Pada halaman 11 buku CATATAN, beliau menulis:
Nama pena dan nama samaran itu tidak sama. Nama pena mungkin tercipta daripada nama rekaan atau daripada singkatan nama asal pengarang (misalnya Zaaba, Hamka). Alasannya profesional, iaitu supaya mudah dikenal dan dapat dibezakan daripada nama-nama pengarang lain. Dan nama pena ini tidak akan diubah/terubah sehingga akhir hayat mereka (begitu terkenal hingga orang lupa pada nama asalnya).

Alasan dipakai nama samaran pula supaya tidak dikenal- siapakah pengarang itu sebenarnya. Maka tumbuhlah nama samaran di ruang-ruang pojok surat khabar harian, merebak ke seluruh Nusantara, terutama ketika zaman darurat dalam perjuangan menentang penjajah.

Sebarang pendapat? Kemukakanlah di ruang "komen".

Hutang Sastera

Latiff Mohidin dalam catatannya ada menyentuh soal "hutang sastera". Apakah yang dimaksudkan dengan frasa "hutang sastera"?

Menurut Latiff:
Generasi 70-an dan 60-an terhutang pekembangan sastera pada generasi 50-an (sebagaimana mereka terhutang pada generasi 40-an dan 30-an sebelumnya). Bagaimana kita dapat membayarnya?
Apa jawapan Latiff?
Kufikir, cara paling baik bagi melunaskan hutang ini ialah meneruskan penulisan sastera tanah air seimaginatif/sekreatif mungkin dalam bahasa yang lebih segar/menarik, walau apa pun bentuknya/isinya dan betapa pun peribadi sifatnya. - Catatan Latiff Mohidin (hlmn 5)

Itulah jawapan Latiff. Apa pula pandangan anda?

-CATATAN, halaman 5.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.