Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.
Showing posts with label Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Peribadi. Show all posts

Catatan Kampung (2)

Ketakutan hari pertamanya di sekolah sudah berlalu, maklumlah sudah mempunyai kawan sepermainan sekarang. Tetapi, yang paling menakjubkannya ialah contengan kilat oleh Sang Guru di papan hitam yang kemudiannya diterangkan berkali-kali dengan sabar, satu per satu.

"Nah! Inilah yang dinamakan h-u-r-u-f. Huruf apa?"
"Alifff, Baaa, Taaa..."
"Bagus! Sekali lagi, huruf apa?"
"Huruf A, B, C..."

Sejak pengetahuan pertama itu - bahawa kita boleh dengan sewenang-wenang menarik bentuk tegak atau bengkok, dan bentuk itu pula mempunyai bunyi tertentu (vokal); bahawa bentuk itu mempunyai nama, iaitu HURUF - anak yang kuat berkhayal ini tidak lagi nyenyak tidur.

"Jadi kalau begitu, 'huruf' itu bukan benda mati, tetapi benda hidup! Ertinya, boleh bergerak dan bersuara apabila diusik/disentuh!"

Wah! Imaginasi/fantasinya semakin meliar, terutamanya tentang bentuk 'huruf' itu sendiri. Untuk mengingatinya, setiap huruf diberinya gambar tertentu - kaki, kepak, ekor. Dibayangkannya huruf-huruf itu dalam pelbagai rupa, keadaan, tingkah laku; sebentar lagi sebagai bentuk ranting kayu (bagi huruf Rumi); sebentar lagi sebagai rupa ulat/serangga atau buah-buahan (bagi huruf Jawi). Daripada setiap huruf yang digambarkan itu, akan disertai warnanya, masam manisnya, kelat maungnya, malah baunya. (Wah, sungguh hebat bentuk dan perangai 'huruf-huruf' ini!)

Dan 'bunyi huruf' itu sendiri, ada yang seperti bunyi/suara orang bersiul, ketawa, tersepit. Ada yang kedengaran seperti suara orang yang sedang bekerja dengan gaya dan geraknya masing-masing. Tentu saja ada beberapa huruf (huruf Jawi) yang menimbulkan masalah sebutan.

Pernah berlaku, ada dua tiga huruf, lantaran terlalu sukar menyebutnya, telah tertinggal hingga terpaksa diseru, ditarik, berulang kali supaya dapat disandingkan, diapitkan, dan disambung kembali agar akhirnya berupaya menjadi contoh 'sepatah kata' yang lengkap lagi sempurna!

- CATATAN, halaman 381.

Catatan Kampung (1)

(Lenggeng; Julai 1972)

Musim buah.... Aku tertidur sejenak di serambi, di desa, di kampung halaman sendiri. Hari rembang petang. Aku teringat pada waktu kecilku ketika zaman darurat di kampung dahulu. Tokoh/watak yang kita percayai tiba-tiba menghilangkan diri. Timbul tokoh/watak baru, entah dari mana datangnya, sewenang-wenang mengambil tempat dan peranan. Banyak sekali peristiwa yang aneh/ganjil berlaku.

Pada zaman cemas penuh kemelut, peristiwa menjadi cerita; cerita menjadi dongeng; banyak kisah daya-memperdaya, belot-membelot. Kisah darurat, hal yang mustahil, perkara yang tidak disangka-sangka boleh saja menjadi kenyataan. Walaupun kampungku terletak agak jauh dari pekan Broga, dari kawasan serang hendap, tetapi entah bagaimana, aku menjadi anak yang cepat gementar, gugup, dan senantiasa saja dalam ketakutan, dalam igauan.

Aku menjadi anak yang pendiam dan penyepi. Kata-kata amat sulit keluar atau kukeluarkan dari mulutku. Hanya mataku saja yang terbuka, merenung.... Sesuatu yang ngeri sudah berlaku. Mungkin aku telah menyaksikannya. Tetapi apa? Dan bagaimana? Wallahualam. (Sehingga kini, tiga puluh tahun kemudian, peristiwa itu masih merupakan suatu misteri padaku.)

- Catatan, hlm 328.

Kenduri Subuh

Kami adik-beradik berkumpul kembali. Tiba-tiba, masing-masing berbicara tentang waktu yang amat payah dan penuh dugaan, iaitu waktu Perang Dunia Kedua berakhir.

Mantin, 1945 - Ketika itu, bapa terkandas di Singapura. Ibu dan kami empat beradik sehelai sepinggang, terpaksa meredah hutan, jauh ke pedalaman, Ada yang sakit demam dan muntah-muntah. Ada yang menjadi pendiam dan bingung. Dan itu - berbagai-bagai jenis penyakit kulit tiba-tiba meradang, menambah seksaan dan tekanan.

Apabila disorot kembali, diajak bercerita kembali; aneh, masing-masing kini mempunyai versi, ingatan yang berlainan daripada pengalaman yang sama. Malah, ada dua orang yang adikku yang mengaku bahawa itulah saat yang paling menyeronokkan bagi mereka! Namun, setiap orang daripada kami sependapat tentang suatu saat ketika ibu menghidangkan kanji ubi pada subuh hari:

 "kenduri subuh
tidak akan kami lupakan
menyenduk saki-baki malam
dengan sudu tempurung
bintang berkerlipan
di dalam kuah
mangkuk lapar
telah kami telungkupkan
sedulang berempat
menghadapi kukusan mimpi
dengan lahapnya
embun panas
bagai sambal memercik ke mata ibu"

-CATATAN, halaman 330.



Waktu Bila Membaca Novel?

(Ketika melihat dua orang pengembara dari Eropah yang sedang asyik membaca buku di Perhentian Bas Kelang, teringat pula aku pada pengalamanku kira-kira sepuluh tahun lalu.)

Sebelum ke Kedutaan Thai untuk mengambil visa, aku sempat singgah di Pustaka Antara, membeli tiga buah buku: Tasauf Moderen Pak Hamka, Sandera Pak Arena, dan Sabai Nan Aluih (cerita kaba yang terkenal itu). Kononnya, ketiga-tiga buku ini akan kubaca semasa dalam perjalanan ke Bangkok dan seterusnya ke Vientianne dengan kereta api.

Memang lazim bagiku membaca novel sepanjang pengembaraan (meminjam tabiat teman-teman dari Eropah). Pernah tamat dua novel tebal kubaca semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Chiengmai. (Novel Die Blech Trommel oleh Grass dan Berlin Alexanderplatz oleh Döblin dalam bahasa Jerman itu telah ditinggalkan oleh pengembara lain di hotel murahan dan mungkin kemudiannya telah dipungut, dibaca, dan ditinggalkan pula di hotel murahan di kota-kota lain di Asia. Tetapi, kalau kutinggalkan Sabai Nan Aluih yang ditulis dalam bahasa Minang itu, siapa pula yang akan memungut dan membacanya?)

-CATATAN, halaman 346.

Sebarang komen dan pandangan? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.