Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.
Showing posts with label Sastera Umum. Show all posts
Showing posts with label Sastera Umum. Show all posts

Penjahit dan Penjual Ubat?

Suatu hal yang amat menarik buatku ialah:

Bagaimana seorang penjahit baju bandung dan seorang penjual ubat panau boleh berminat untuk mencetak-menerbit-menjual-mengedar buku-buku sastera pada tahun-tahun 40-an, 50-an dahulu?

(Aku sebenarnya teringat kepada Pak Abbas Bandung di Jalan Laksamana, Melaka setelah bertemu dengan Pak Sabirin, pemilik The Annies Printing Works di toko bukunya, di pasar minggu Kampung Baru petang tadi bagi menyampaikan salam bapaku di Singapura. Mereka bertiga "sakonco", ertinya bersahabat karib.)

- CATATAN, hlm 20.

Novel Idaman Tahun 70-an

Novel idaman kita masih bercorak "roman pendidikan" atau yang disebut Bildungs Roman pada tahun 30-an. Masih ingat pada novel Siti Nurbaya atau Salah Asuhan?

Kini novel kita kurang romantik memang, tetapi terasa/teraba jua tujuan asal penulisnya: tidak jauh daripada "keinginan untuk memberikan pengajaran/contoh/teladan/nilai moral" (secara kiasan melalui simbolik dan bandingan).

- CATATAN, hlm 6.

Pengaruh Sastera

Yang pertama masuk ke daerah kita ialah sastera Hindu (dari Gujarat dan Tamil), dibawa masuk oleh pendeta yang dikirim atau yang merantau lalu bermastautin. Seterusnya, diikuti dengan sastera Islam (dari Arab dan Parsi) yang dibawa masuk oleh tokoh agama serta cerdik pandai kita, mereka yang pulang sesudah pengajian di Timur Tengah. Merekalah yang telah mengembangkan  sastera Nusantara kita (di peringkat awal).

Jadi, sama saja kesannya, sama ada sumber sastera itu diimport dari luar oleh yang menjajah atau kita sendiri yang mengimportnya, pengaruhnya tetap besar. Persoalannya bagi kita ialah: Apakah dengan itu sastera kita akan lebih hebat dewasa ini?

Pengaruh Islam/Arab

Ombak besar pertama masuk ke Nusantara ialah 'ombak tasawuf' dalam bentuk syair (kurun ke-17 Masihi). Tokoh pengarangnya ramai. Yang paling menonjol ialah Sheikh Hamzah Fansuri dengan karyanya Syair Perahu dan Sheikh Nuruddin al Raniri dengan Bustan-al-Salatin. Demikianlah mengikut sejarah.

Ombak besar kedua (tahun 20-an) dibawa oleh Syed Sheikh Al-Hadi (digelar 'Bapa Novelis' Melayu di Semenanjung) yang dipengaruhi aliran Arab moden dari Mesir. Antara novelnya yang terkenal termasuklah Hikayat Faridah Hanom atau Setia Asyek Kepada Ma'aksyoknya (novel kacukan-saduran).

Tidak ada ombak besar yang ketiga, kecuali simbahan 'ombak kecil yang beralun-alun sendirian di pantai zaman', namun cukup berkesan untuk membawa perubahan segar dalam kepenyairan pesisir Nusantara (dan sekali gus menyambung nafas Hamzah Fansuri). Yang kumaksudkan ialah sajak-sajak liris, untaian permata zamrud daripada Amir Hamzah itu.

- CATATAN, halaman 18-19)


Mengapa Kita Membaca Sesebuah Karya Berulang Kali?

Mengapa Berulang Kali?

Apakah yang menyebabkan kita membaca sesebuah karya sastera itu lebih daripada satu kali?

Padaku peribadi, buku kubaca berulang kali, pertama (dahulu di bangku sekolah) kerana terpaksa; kedua (sekarang di bangku terminal) kerana bosan menanti bas yang tak kunjung tiba. Tetapi, terlepas daripada persoalan itu, memang ternyata bahawa ada beberapa hal yang memukau.

Umpamanya, cara mana Sang Pengarang mengolah plotnya, membentuk wataknya, dengan gaya bahasanya yang senantiasa memancarkan suasana atau imej khas. Atau mungkin saja kita tertarik pada perenggan, ungkapan, malah pada kalimat atau dialog tertentu. Entah bagaimana, setelah berulang kali kita baca, buku itu masih lagi terasa aneh, mendebarkan.

CATATAN, halaman 25.

Sasterawan Upahan?

"Jangan mengambil upah, suatu hari nanti engkau akan terupah."

Hari ini, aku lebih mengerti akan maksud 'mamangan' yang diungkapkan oleh mamakku tempoh hari. Bisa juga maksudnya begini:

"Hati-hati, jangan sesekali kita menjadi penulis, jurnalis, sasterawan, seniman upahan kerana akibatnya tidak terbatas, selain memakan diri (gara-gara sekali terlanjur)."

-CATATAN, halaman 10.

Sebarang pendapat atau pandangan? Sila kemukakannya di ruang komen.

Apa yang Mengganggu Pengarang?

Yang mengganggu pengarang itu banyak. Umpamanya, pada Pak Arenawati: bau belacan bakar di dapur. Pada Pak Asraf: alunan lagu keroncong di rumah jiran. Pada Pak Sako: rentak joget moden di radio. Dan pada Usman Awang: bunyi loceng penjual aiskrim di depan rumah. Namun, karangan mesti disiapkan juga.

-CATATAN, halaman 10.

Sebarang pendapat atau komen? Sila lontarkannya di ruangan komen.

Hadiah Sastera dan Kembara

Fikir-fikir, pasti ada cara lain yang lebih imaginatif dan penuh rangsangan daripada memberikan wang yang cepat habis kepada penyair-penyair muda yang memenangi hadiah sastera, terutamanya kepada orang seperti aku ini yang paling suka keluar mengembara. Alangkah baiknya kalau bisa diatur; aku dikirim ke Bhutan, ke Fiji atau ke Iceland, atau kalau bisa terus saja ke Brazil bertemu dengan kaum kerabat Neruda, Paz, Borges, dan penyair-penyair Latin yang lain. Mana tahu, aku bisa pulang daripada "pelayaran puisi" itu nanti dengan satu dua antologi puisi yang penuh "duende"?

-CATATAN, halaman 24.

Sebarang pendapat? Sila kemukakannya di ruangan komen.

Cerita tentang "CERITA"

Cerita tentang "cerita" ini, panjang ceritanya.... (Serpihan novel yang kubaca dalam Dewan Sastera tadi kuletakkan sebentar.)

"Amalan bercerita tidaklah datang begitu saja. Amat panjang sejarahnya. Jangka hayatnya sudah berabad-abad lamanya. Mungkin sekali amalan bercerita ini bermula dengan tujuan dan teknik yang amat mudah. Setiap kali si anak tidak mahu tidur, maka dikarang cerita lipur lalu didendangkan. Setiap kali si anak tidak berhenti menangis, diciptakan pula cerita seram (mantera). Daripada suasana begitulah agaknya, timbul amalan bercerita. Pada mulanya, hanya melalui lisan cerita diulang-ulang supaya senang diingat dan dituturceritakan kembali.

Setelah orang pandai membuat gambar melalui goresan/kalam, barulah cerita-cerita itu ditulis. Maka ditulis oranglah cerita binatang (fabel), cerita peri-peri (dongeng) dan dewa-dewa (mitos), cerita jenaka, dan sebagainya. Maka sejak itu, berkembanglah berbagai-bagai bentuk cerita, mungkin tidak lagi sebagai penglibur, tetapi sebagai nasihat, teladan, malah peringatan.

Cerita yang dikarang bertambah panjang jua. Setelah jemu dengan cerita tentang mahkluk di langit, orang pun beralih pada cerita tentang kisah raja-raja dan kerajaan mereka di bumi, iaitu dalam bentuk setengah dongeng, setengah sejarah. Maka terciptalah kaba dan hikayat. Apabila didapati unsur teladan melalui "dongeng-sejarah" dalam hikayat tidak memadai, maka dimasukkan pula unsur roman. Maka bersemaraklah pula cerita roman, daripada "roman asyik-mahsyuk" hinggalah kepada Bildungs Roman. Tak cukup dengan "cerita asuhan", maka dikarang pula "cerita suruhan" berunsur didaktif atau tenderz (yang berakhir hanya pada tahun 50-an pada zaman ASAS 50).

Ringkasnya, setelah melalui beratus-ratus cerita (yang amat) panjang - dari zaman Munshi hingga zaman Al-Hadi - barulah kita sampai ke cerita pendek atau cerpen yang dipelopori oleh Kajai, diikuti Ishak, Keris, sekarang oleh Shahnon dan A Samad Said."

(Serpihan novel A Samad Said berjudul Dengan Tanah tadi kucapai, kubaca kembali.)

-CATATAN, halaman 14-15.

Perbezaan antara Nama Pena dengan Nama Samaran

Latiff Mohidin membangkitkan suatu persoalan yang menarik: adakah "nama pena" dan "nama samaran" itu suatu yang sama? Banyak orang yang beranggapan bahawa nama pena dan nama samaran itu sama.

Namun, Latiff mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan dengan hal ini. Pada halaman 11 buku CATATAN, beliau menulis:
Nama pena dan nama samaran itu tidak sama. Nama pena mungkin tercipta daripada nama rekaan atau daripada singkatan nama asal pengarang (misalnya Zaaba, Hamka). Alasannya profesional, iaitu supaya mudah dikenal dan dapat dibezakan daripada nama-nama pengarang lain. Dan nama pena ini tidak akan diubah/terubah sehingga akhir hayat mereka (begitu terkenal hingga orang lupa pada nama asalnya).

Alasan dipakai nama samaran pula supaya tidak dikenal- siapakah pengarang itu sebenarnya. Maka tumbuhlah nama samaran di ruang-ruang pojok surat khabar harian, merebak ke seluruh Nusantara, terutama ketika zaman darurat dalam perjuangan menentang penjajah.

Sebarang pendapat? Kemukakanlah di ruang "komen".

Hutang Sastera

Latiff Mohidin dalam catatannya ada menyentuh soal "hutang sastera". Apakah yang dimaksudkan dengan frasa "hutang sastera"?

Menurut Latiff:
Generasi 70-an dan 60-an terhutang pekembangan sastera pada generasi 50-an (sebagaimana mereka terhutang pada generasi 40-an dan 30-an sebelumnya). Bagaimana kita dapat membayarnya?
Apa jawapan Latiff?
Kufikir, cara paling baik bagi melunaskan hutang ini ialah meneruskan penulisan sastera tanah air seimaginatif/sekreatif mungkin dalam bahasa yang lebih segar/menarik, walau apa pun bentuknya/isinya dan betapa pun peribadi sifatnya. - Catatan Latiff Mohidin (hlmn 5)

Itulah jawapan Latiff. Apa pula pandangan anda?

-CATATAN, halaman 5.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.