Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Apabila Kupilih Kata

Apabila kupilih kata, kuambil yang inti, yang sari saja. Yang hampas dan yang manisan kubuang segera. (Ah, betapa ringannya kalimat tanpa hampas dan manisan!)

Apabila kupilih kata, kuambil yang pokok atau dahan-dahan yang besar saja. Kubuang yang merimbun. Kupangkas lidah-lidah kerawang alun-beralun yang sering meluncur masuk dengan sewenang-wenang...menyesakkan!

-CATATAN, halaman 164.

Belajar daripada Seni Lukis?

Mereka, para cerpenis/novelis, mempelajari sastera daripada seni lukis? (Kulihat Hemingway (Earnst Hemingway) mundar-mandir di hadapan sekeping Cezanne (Paul Cezanne, pelukis Perancis)). Maksudku, bukan mempelajari cara/teknik melukis. Tetapi, cara bagaimana seseorang pelukis 'melihat-membaca-menciptakan' ruang, sama ada jarak ruang mahupun pembahagian ruang (dalaman dan luaran) serta elemen ruang (positif dan negatif); kemudian teknik 'melapis-menindih-mengalihkan' ruang; 'menahan-menarik' serta 'menggentingkan' ruang.

Dan soal ruang itu sendiri, mungkin ruang dasar atau ruang permukaan yang penuh tekstur dan dimensi. Banyak gerak sapuan - ke depan  ke belakang, maju mundur yang berlaku dalam menciptakan pelbagai sudut pandangan (perspektif) atau komposisi supaya teksturnya lebih kukuh.

Daripada kaca mata seorang novelis, segala ini memang penting bagi penciptaan gerak tension dalam pembentukan dimensi watak serta 'lipat-lapis' pembangunan/pembinaan plotnya.

-CATATAN, halaman 75.

Tukang-tukang Kata

Bayangkan pada zaman dahulu, orang tua-tua kita dan tukang-tukang kata berkarya tanpa nama, tanpa sanjungan. Bayangkan, apakah yang akan dilakukan oleh mereka apabila hati terasa gundah, apabila fikiran terganggu oleh sesuatu hal yang benar dan indah?

Suatu cara untuk meringankan perasaan dan fikiran yang berat itu, kemungkinannya ialah mengubah ungkapan daripada bentuk peribahasa, tamsil, dan ibarat sampailah ke bentuk pantun dan pepatah; cukup dengan hanya menyusun/mengatur dua, empat, atau lapan patah kata; tetapi bukan semudah itu sebenarnya.

Ungkapan yang digubah harus cukup syarat yang ketat dari segi bentuk; harus dekat pada hakikat kebenaran hidup dari segi isi. Pantun dan pepatah harus mengandungi daya budi bahasa yang tinggi; harus berupaya mengutarakan kehalusan seni budaya dan kebijaksanaan hidup bersama.

Sesudah ungkapan diciptakan dengan sebaik-baik kata dan kaedahnya, maka datanglah saat-saat genting, iaitu ungkapan itu harus dihidangkan kepada orang ramai untuk dikecap, dirasa; didengar, dinilai. Kalaulah si juwita yang mendengar tiba-tiba tersenyum, tunduk tersipu-sipu, atau kalaulah seluruh sidang penghulu terdiam, kemudian menggeleng-geleng dengan riang, itu tandanya gubahan ungkapan tadi dapat diterima. Maka, Sang Pengolah pantun atau pepatah itu bolehlah menarik nafas lega. Karyanya sudah dapat diterima oleh masyarakat dan kini menjadi milik umum; suatu sumbangan besar, suatu nikmat sejati!

-CATATAN, halaman 111.

Sajak Bebas 60-an Hingga 70-an

Yang dikatakan sajak bebas itu bagaimana? Seorang pelajar bertanya kepadaku, "Apakah ada bezanya daripada sajak-sajak ASAS 50?"

Wah, ini pertanyaan wajar tetapi berat, daripada pelajar yang pintar! Aku hanya bisa menjawab dengan baris ayat yang tersentak-sentak:

"Sajak-sajak ASAS 50 masih belum bebas sepenuhnya daripada pola/model pantun dan seloka, walaupun segelintir sudah dilanda gaya, teknik, unsur sajak Chairil pada awal tahun 50-an. Sajak-sajak mereka masih terikat pada ikatan adat bersyair/bersajak. Kalimat yang berirama dan ayat yang "sama seukur" itu belum terlepas jua daripada mata pena, masih terlalu banyak memakai kata perlambangan dan kata bandingan. Maklumlah pada zaman transisi, betapa susahnya meninggalkan lenggang-lenggok gaya bersajak itu.

Tetapi kini, Usman sendiri misalnya, telah merobah puisi tanah air dengan rangkaian puisi modennya sehingga kami, penyair pada awal tahun 60-an hingga 70-an berupaya pula sedikit banyak membebaskan diri daripada ikatan-ikatan ketat tersebut, sesuai dengan tanggapan dan segala pengertian baru - apa itu bahasa, imejan, struktur, diksi, intuisi, imaginasi, metafora, mimpi, memori, ambiguiti, dan lain-lain sebagainya. Kami lebih banyak juga mencungkil/menggali jauh ke dalam diri, ke dalam jiwa sendiri. Maka itulah kadangkala, terasa ada semacam simbol dalaman yang amat peribadi sifatnya."

Apakah pelajar tadi puas hati dengan jawapanku ini?

-CATATAN, halaman 131.


Antagonis dan Protagonis

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat itu tidak sama dengan watak wayang kulit Sri Rama dan Rawana. Watak epik Ramayana itu watak hitam - putih; watak yang lahir daripada dua nilai, dua sifat, dan dua dunia yang bertentangan sama sekali; watak yang sudah diterima oleh masyarakat sebagai watak baik dan watak buruk. Yang satu bersifat ganas, sementara yang satu lagi bersifat lembut.

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat ialah dua watak adik-beradik, watak kembar, watak pahlawan sehinggalah yang seorang difitnah, manakala yang seorang lagi bangun menuntut bela. Yang seorang amat patuh lagi setia, sementara yang seorang pula ingkar lalu menderhaka; watak yang bukan 100% hitam - putih, tetapi berwarna kelabu dengan ratio atau nisbah 40:60, bergantung pada fahaman simbol dan keadaan psikologi semasa. Sebentar, Hang Tuah itulah hero dan wira kita; sebentar lagi, Hang Jebat pula. Ahli sejarah dan ahli sains terus berbelah bagi. Begitu jugalah halnya dengan keadaan pemikiran/minda kita. (Mungkin inilah dua watak idaman seorang Shakespeare!)

-CATATAN, halaman 233.

Kenduri Subuh

Kami adik-beradik berkumpul kembali. Tiba-tiba, masing-masing berbicara tentang waktu yang amat payah dan penuh dugaan, iaitu waktu Perang Dunia Kedua berakhir.

Mantin, 1945 - Ketika itu, bapa terkandas di Singapura. Ibu dan kami empat beradik sehelai sepinggang, terpaksa meredah hutan, jauh ke pedalaman, Ada yang sakit demam dan muntah-muntah. Ada yang menjadi pendiam dan bingung. Dan itu - berbagai-bagai jenis penyakit kulit tiba-tiba meradang, menambah seksaan dan tekanan.

Apabila disorot kembali, diajak bercerita kembali; aneh, masing-masing kini mempunyai versi, ingatan yang berlainan daripada pengalaman yang sama. Malah, ada dua orang yang adikku yang mengaku bahawa itulah saat yang paling menyeronokkan bagi mereka! Namun, setiap orang daripada kami sependapat tentang suatu saat ketika ibu menghidangkan kanji ubi pada subuh hari:

 "kenduri subuh
tidak akan kami lupakan
menyenduk saki-baki malam
dengan sudu tempurung
bintang berkerlipan
di dalam kuah
mangkuk lapar
telah kami telungkupkan
sedulang berempat
menghadapi kukusan mimpi
dengan lahapnya
embun panas
bagai sambal memercik ke mata ibu"

-CATATAN, halaman 330.



Mengapa Kita Membaca Sesebuah Karya Berulang Kali?

Mengapa Berulang Kali?

Apakah yang menyebabkan kita membaca sesebuah karya sastera itu lebih daripada satu kali?

Padaku peribadi, buku kubaca berulang kali, pertama (dahulu di bangku sekolah) kerana terpaksa; kedua (sekarang di bangku terminal) kerana bosan menanti bas yang tak kunjung tiba. Tetapi, terlepas daripada persoalan itu, memang ternyata bahawa ada beberapa hal yang memukau.

Umpamanya, cara mana Sang Pengarang mengolah plotnya, membentuk wataknya, dengan gaya bahasanya yang senantiasa memancarkan suasana atau imej khas. Atau mungkin saja kita tertarik pada perenggan, ungkapan, malah pada kalimat atau dialog tertentu. Entah bagaimana, setelah berulang kali kita baca, buku itu masih lagi terasa aneh, mendebarkan.

CATATAN, halaman 25.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.