Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Merunut Jejak Pak Sako

Kelmarin, aku ajak Jojo pergi mengembara di tanah air sendiri; pergi merunut jejak beberapa orang pengarang tahun-tahun 40-an hingga 50-an kita, Pak Sako dan Keris Mas misalnya, bukan jejak perjuangan mereka, tetapi jejak liku-liku perjalanan mereka, ke rumah pencetak dan penerbit buku yang terletak jauh di ceruk tanah air. Misalnya, Percetakan Muhammad Abd. Rahman di Marang, Terengganu; The Sentosa Store dan Pustaka Hang Tuah di Kuala Pilah (bandar kecil ini pernah menjadi saksi penerbitan 40 novel pada tahun 50-an); Jamilah Press dan Muhammadiah Press di Muar; serta Pustaka Remaja di Province Wellesley.

Apakah rumah-rumah percetakan dan penerbitan  itu masih wujud? Dan jangan bertanya kepadaku, mengapa mesin cetak itu berada/wujud di ceruk tanah air, bukan di kota besar atau di kota raya? Maksudku cuma ingin melihat dengan mata sendiri, di mana sebenarnya letaknya rumah-rumah penerbitan tersebut. Sekurang-kurangnya, untuk membayangkan bagaimana novelis-novelis dahulu bergerak. Betapa mereka terpaksa pergi ke tempat-tempat tersebut pada zaman darurat dengan tujuan semata-mata untuk meneliti buku-buku mereka (takut-takut salah eja, salah cetak, dan sebagainya.)

- CATATAN, hlm 44. 

Cerpen Tahun 70-an

Cerpen kita hari ini seakan-akan tidak beranjak/tidak bergerak daripada roman pendidikan; amat jelas kalau kita perhatikan isi dan jalan cerita, serta teknik ceritanya. Kebanyakan hasil cerpen tahun-tahun 50-an, 60-an, dan 70-an sama saja.

Si Minah yang murni dari desa permai terjebak di kota raya, diperdaya Si Meon, sang buaya darat. Cara Sang Gigolo/Romeo memikat "gadis suci" itu pun sama saja - dengan kereta sport (modelnya mengikut zaman/tahun apa cerpen itu ditulis); pada tahun 50-an, kereta Austin; tahun 60-an, MG; dan tahun 70-an, Alfa Romeo.

- CATATAN, hlm 41.

Empat Macam Sasterawan

Di negara kita ini, ada empat macam sasterawan:

(a) sasterawan - guru
(b) sasterawan - wartawan
(c) sasterawan - politikus, dan
(d) sasterawan - sasterawan.

Yang mana pilihan anda?

- CATATAN, hlm 39.

Penjahit dan Penjual Ubat?

Suatu hal yang amat menarik buatku ialah:

Bagaimana seorang penjahit baju bandung dan seorang penjual ubat panau boleh berminat untuk mencetak-menerbit-menjual-mengedar buku-buku sastera pada tahun-tahun 40-an, 50-an dahulu?

(Aku sebenarnya teringat kepada Pak Abbas Bandung di Jalan Laksamana, Melaka setelah bertemu dengan Pak Sabirin, pemilik The Annies Printing Works di toko bukunya, di pasar minggu Kampung Baru petang tadi bagi menyampaikan salam bapaku di Singapura. Mereka bertiga "sakonco", ertinya bersahabat karib.)

- CATATAN, hlm 20.

Novel Idaman Tahun 70-an

Novel idaman kita masih bercorak "roman pendidikan" atau yang disebut Bildungs Roman pada tahun 30-an. Masih ingat pada novel Siti Nurbaya atau Salah Asuhan?

Kini novel kita kurang romantik memang, tetapi terasa/teraba jua tujuan asal penulisnya: tidak jauh daripada "keinginan untuk memberikan pengajaran/contoh/teladan/nilai moral" (secara kiasan melalui simbolik dan bandingan).

- CATATAN, hlm 6.

Catatan Kampung (2)

Ketakutan hari pertamanya di sekolah sudah berlalu, maklumlah sudah mempunyai kawan sepermainan sekarang. Tetapi, yang paling menakjubkannya ialah contengan kilat oleh Sang Guru di papan hitam yang kemudiannya diterangkan berkali-kali dengan sabar, satu per satu.

"Nah! Inilah yang dinamakan h-u-r-u-f. Huruf apa?"
"Alifff, Baaa, Taaa..."
"Bagus! Sekali lagi, huruf apa?"
"Huruf A, B, C..."

Sejak pengetahuan pertama itu - bahawa kita boleh dengan sewenang-wenang menarik bentuk tegak atau bengkok, dan bentuk itu pula mempunyai bunyi tertentu (vokal); bahawa bentuk itu mempunyai nama, iaitu HURUF - anak yang kuat berkhayal ini tidak lagi nyenyak tidur.

"Jadi kalau begitu, 'huruf' itu bukan benda mati, tetapi benda hidup! Ertinya, boleh bergerak dan bersuara apabila diusik/disentuh!"

Wah! Imaginasi/fantasinya semakin meliar, terutamanya tentang bentuk 'huruf' itu sendiri. Untuk mengingatinya, setiap huruf diberinya gambar tertentu - kaki, kepak, ekor. Dibayangkannya huruf-huruf itu dalam pelbagai rupa, keadaan, tingkah laku; sebentar lagi sebagai bentuk ranting kayu (bagi huruf Rumi); sebentar lagi sebagai rupa ulat/serangga atau buah-buahan (bagi huruf Jawi). Daripada setiap huruf yang digambarkan itu, akan disertai warnanya, masam manisnya, kelat maungnya, malah baunya. (Wah, sungguh hebat bentuk dan perangai 'huruf-huruf' ini!)

Dan 'bunyi huruf' itu sendiri, ada yang seperti bunyi/suara orang bersiul, ketawa, tersepit. Ada yang kedengaran seperti suara orang yang sedang bekerja dengan gaya dan geraknya masing-masing. Tentu saja ada beberapa huruf (huruf Jawi) yang menimbulkan masalah sebutan.

Pernah berlaku, ada dua tiga huruf, lantaran terlalu sukar menyebutnya, telah tertinggal hingga terpaksa diseru, ditarik, berulang kali supaya dapat disandingkan, diapitkan, dan disambung kembali agar akhirnya berupaya menjadi contoh 'sepatah kata' yang lengkap lagi sempurna!

- CATATAN, halaman 381.

Pantun = Alam + Manusia

Orang tua-tua kita zaman dahulu sering menyarankan bahawa hubungan antara alam dengan manusia haruslah senantiasa dikekalkan. Barangkali, inilah satu daripada sebab-sebabnya peribahasa diciptakan. Kita diingatkan bahawa ikatan pergaulan hidup bermasyarakat, antara manusia semasa manusia itu harus kekal utuh supaya tata adat berseni, berbudaya dan juga getaran, gambaran alam sekeliling terbawa serta terasa sama dalam proses pengucapan dan penulisan serangkap pantun.

- CATATAN, halaman 112.

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.