Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Catatan Kampung (2)

Ketakutan hari pertamanya di sekolah sudah berlalu, maklumlah sudah mempunyai kawan sepermainan sekarang. Tetapi, yang paling menakjubkannya ialah contengan kilat oleh Sang Guru di papan hitam yang kemudiannya diterangkan berkali-kali dengan sabar, satu per satu.

"Nah! Inilah yang dinamakan h-u-r-u-f. Huruf apa?"
"Alifff, Baaa, Taaa..."
"Bagus! Sekali lagi, huruf apa?"
"Huruf A, B, C..."

Sejak pengetahuan pertama itu - bahawa kita boleh dengan sewenang-wenang menarik bentuk tegak atau bengkok, dan bentuk itu pula mempunyai bunyi tertentu (vokal); bahawa bentuk itu mempunyai nama, iaitu HURUF - anak yang kuat berkhayal ini tidak lagi nyenyak tidur.

"Jadi kalau begitu, 'huruf' itu bukan benda mati, tetapi benda hidup! Ertinya, boleh bergerak dan bersuara apabila diusik/disentuh!"

Wah! Imaginasi/fantasinya semakin meliar, terutamanya tentang bentuk 'huruf' itu sendiri. Untuk mengingatinya, setiap huruf diberinya gambar tertentu - kaki, kepak, ekor. Dibayangkannya huruf-huruf itu dalam pelbagai rupa, keadaan, tingkah laku; sebentar lagi sebagai bentuk ranting kayu (bagi huruf Rumi); sebentar lagi sebagai rupa ulat/serangga atau buah-buahan (bagi huruf Jawi). Daripada setiap huruf yang digambarkan itu, akan disertai warnanya, masam manisnya, kelat maungnya, malah baunya. (Wah, sungguh hebat bentuk dan perangai 'huruf-huruf' ini!)

Dan 'bunyi huruf' itu sendiri, ada yang seperti bunyi/suara orang bersiul, ketawa, tersepit. Ada yang kedengaran seperti suara orang yang sedang bekerja dengan gaya dan geraknya masing-masing. Tentu saja ada beberapa huruf (huruf Jawi) yang menimbulkan masalah sebutan.

Pernah berlaku, ada dua tiga huruf, lantaran terlalu sukar menyebutnya, telah tertinggal hingga terpaksa diseru, ditarik, berulang kali supaya dapat disandingkan, diapitkan, dan disambung kembali agar akhirnya berupaya menjadi contoh 'sepatah kata' yang lengkap lagi sempurna!

- CATATAN, halaman 381.

0 comments:

Post a Comment

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.