Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Drama Noh Mishima

Aku mengambil masa begitu lama untuk menterjemahkan enam drama Noh moden karya Yukio Mishima dari bahasa Jerman ke bahasa Melayu. Itu pun belum selesai sepenuhnya. Banyak lagi perkara yang harus kuselesaikan (kalau kumpulan skrip drama ini mahu juga diterbitkan oleh DBP nanti) - memberikan tajuk buku, menterjemahkan bahagian Pengenalan, dan kemudian yang penting sekali, membaca prufnya.

Mengapa aku menterjemah sedangkan aku sedar bahawa kerja-kerja terjemahan memang rumit, bagai menuang air dari satu baldi ke baldi yang lain. Air masih tak jernih lagi, sedangkan sudah banyak yang tumpah. Dan kebetulan, karya Mishima ini, "airnya" sudah disalin dua kali. Pertamanya, daripada bahasa asalnya, Jepun (berjudul Kindai Nogaku Shu) ke bahasa Inggeris; kemudian daripada bahasa Inggeris ke bahasa Jerman (berjudul Sechs Moderne No-Spiele). Kini aku mencuba pula menuangkan-menyaling-mengalihkannya ke bahasa Melayu! Mudah-mudahan saja, tidak ada sesiapa yang akan mahu menterjemahkannya kembali ke bahasa Jepun! Tidak dapat kubayangkan lucunya atau tragisnya nanti apabila dibuat perbandingan tentang makna sesuatu kata ataupun ayat tertentu.

Jangan bermimpi, kita berupaya menyambut "saranan-parodi" Jorge Luis Borges yang terkenal tentang kerja-kerja terjemahan. (Katanya, "Aku tidak peduli bagaimana karyaku diterjemahkan, asalkan terjemahan itu lebih baik daripada karya asal.")

Ah, segala itu pasti tidak akan mungkin, malah mustahil berlaku pada terjemahanku ini!

- CATATAN, halaman 64-65.

0 comments:

Post a Comment

Powered By Blogger

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Powered by Blogger.