Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Mengenali Penyair Latiff Mohidin - Rahman Shaari

Oleh: RAHMAN SHAARI
14 Ogos 2011

Penyair Latiff Mohidin amat dikenali dan dikagumi dalam dekad  1960-an, 1970-an, 1980-an, dan 1990-an.  Namanya meningkat naik kerana puisinya berbeza daripada puisi  penyair lain yang sezaman dengannya.  Dalam dekad-dekad tersebut, beliau sering dirangkaikan dengan penyair Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain.  Mereka disebut penyair tiga serangkai. Namun, Latiff ada kelebihan lain yang tidak terdapat pada Muhammad dan Baha. Latiff  ialah penyair cum pelukis.

Puisi Latiff yang  mula mengharumkan namanya ialah “Sungai Mekong”.  Karya ini dihasilkan dalam dekad 1960-an, tetapi menjadi terkenal sepanjang masa, dari dekad ke dekad.   Dapat dikatakan bahawa “Sungai Mekong” ialah puisi rentas dekad, sama seperti sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang, atau “Di Bawah Bintang Mengerdip” karya A Samad Said.

Sajak “Sungai Mekong” adalah aneh bagi orang yang pertama membaca karya ini yang agak surealis.   Cubalah anda   baca rangkap pertama ini:
Sungai Mekong kupilih namamu
Kerana aku begitu sepi
Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu
Kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari
Kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu
Namaku ke muara/ Suaraku ke gunung.

Dalam pengajaran di kelas-kelas puisi, saya selalu bertanya kepada pelajar tentang makna bari-baris ini: Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu/ kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari. Pelajar kebanyakannya hairan, bagaimankah penyair dapat berbuat begitu, atau berimaginasi begitu. Dadanya dibenamkan ke dasar Sungai Mekong, manakala kakinya terkangkang, sebelah di bulan, sebelah lagi di matahari. Seseorang tentu tidak dapat melakukan perbuatan begitu. Jadi, apakah maknanya? 

Jika makna sajak di atas dilukiskan dengan menggunakan berus dan cat, keanehan perlakuan itu akan dianggap surealis. Dan himpunan imej-imej yang dipungut penyair, iaitu ‘sungai’, ‘matahari’, ‘bulan’, ‘muara’ dan ‘gunung’ menjadikan sajak ini imagis. Seterusnya, perlu ditegaskan bahawa sajak begini hanya dapat dihasilkan oleh penyair yang berbakat besar dalam seni puisi dan seni lukis. 

Pada masa makalah ini ditulis, Latiff Mohidin tidak aktif menghasilkan karya, baik puisi mahupun lukisan. Sekurang-kurangnya itu ialah tanggapan peminat-peminat beliau. Mungkin beliau  ada menghasilkan karya diam-diam, dan akan menerbitkannya secara tiba-tiba  hingga menjadi satu kejutan besar.

Setelah agak lama memikirkan kemungkinan Latiff masih menulis, atau sebaliknya, muncul sebuah buku yang bertajuk Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, 2010).  Pada mulanya saya menyangka ini ialah buku tentang proses kreatif beliau, atau autobiografi Latiff.  Ternyata tidak. Buku ini memuatkan pelbagai hal dalam kehidupan harian Latiff, dan disertai kata-kata pedoman  (aforisme) ciptaannya. 

Dalam bicara ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap aforisme Latiff.  Ini mungkin dapat menjadi petunjuk kepada sesiapa yang sesuai menerima dan menghadamnya.

Latiff mengatakan, tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang. Itu betul. Adakah itu bertaraf aforisme?  Apakah pengajaran yang kita peroleh?  Saya kira, pengajarannya ialah bahawa penulis hendaklah menghasilkan karya evergreen.  Apabila karyanya tahan lama, maka dia tidak akan menghadapi tragedi yang disebutkan Latiff. Nampaknya, kita akan mendapat manfaat setelah merenungi makna lapisan kedua, bukan lapisan pertama.

Perkara lain yang juga agak menarik ialah peristiwa Latiff ditanya tentang makna sajaknya. Sebenarnya, saya pernah mendengar kisah Latiff menjawab soalan kawannya tentang apa-apa yang ada  di sebalik lukisannya. Jawapan Latiff begini: Di sebalik lukisan ini ialah  dinding. Itu tentulah betul, kerana lukisan tergantung di dinding.

Dalam hal puisi, Latiff dikunjungi oleh kawannya (halaman 186-187). Anak kawannya  (yang turut bersama-sama) akan menduduki peperiksaan.  Latiff ditanya tentang makna baris-baris sajak “Sungai Mekong”.  Ketika itu (akhir dekad 1979-an) “Sungai Mekong” ialah salah sebuah puisi yang dikaji untuk peringkat SPM.

“Apakah makna sebenarnya baris-baris ini?”

Latiff tidak dapat menjawab soalan bapa yang mewakili anaknya  itu. Beliau mengelak daripada menjawabnya secara lurus. Kata Latiff, “...makna sesebuah sajak itu tidak begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya.”

Ternyata, Latiff tidak sesuai menjadi guru sastera.  Di sekolah, guru hendaklah memberikan tafsiran yang meyakinkan. Terdapat kaedah-kaedah pengajaran yang akhirnya menyebabkan pelajar yakin akan makna sajak.  Walau bagaimanapun, Latiff merasakan bahawa jawapannya diterima oleh bapa dan anak itu. Tetapi,  malang bagi Latiff, lelaki itu berkata: Tetapi sajak mesti ada makna!” (Halaman 187)

Latiff berjanji dengan si bapa untuk bertemu lagi. Beliau akan menolong anak itu.  Di samping itu, Latiff berfikir ligat tentang pertolongan yang akan diberikannya. Beliau teringatkan guru sastera.

Bahagian manakah dalam kisah di atas yang dapat kita anggap aforisme?   Perhatikan kata-kata Latiff: yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya. Latiff tidak memikirkan makna sebenar sesebuah sajak.  Apabila si bapa mengatakan bahawa setiap sajak mesti ada makna, Latiff masih tidak cenderung untuk memberikan jawapan yang mantap dan meyakinkan.

Memang betul. Pendidikan puisi di luar sistem peperiksaan  tidak menghasratkan sesiapa mengetahu makna baris, tema keseluruhan dan lain-lain. Yang penting ialah pengalaman membaca karya.  Namun, bagi pelajar sekolah, tiada gunanya membaca karya jika dia tidak dapat menyatakan maknanya, dan juga temanya. Makna dan tema itu pula mestilah menyamai makna dan tema yang ditentukan oleh Lembaga Peperiksan.

Bahagian di atas membawa maksud, peminat sastera yang tulen tidak membaca karya sastera untuk mendapatkan makna tetap.  Dia membaca karya secara kreatif, dan mendapatkan makna  ketika membacanya, bukan melalui pertanyaan kepada penulis karya itu.  Pelajar sekolah selalunya bergantung kepada makna yang diberikan oleh orang lain, termasuk guru sastera.


(Profesor Rahman Shaari kini bertugas di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Artikel ini diterbitkan dalam Sinar Harian (14/8/2011). Walau bagaimanapun artikel yang disiarkan dalam blog ini adalah versi asal penulis.) 


0 comments:

Post a Comment

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.