Klik Gambar untuk PESAN & TEMPAH.

Muncul dari Penyepian Menjelma dari Keresahan

Oleh: ZULKIFLI SALLEH 
JUMAAT, 22 April 2011

Apabila Khairul Aisyam Hidayat meminta saya mengulas buku terbaharu Latiff Mohidin, terus terbayang dalam fikiran saya apakah buku-buku beliau yang lain yang ada dalam koleksi saya. Saya yakin bahawa saya memiliki beberapa buku beliau, tetapi mungkin saya terpaksa mencarinya dalam rak-rak buku di rumah saya atau di kondominium anak saya – tempat saya menyimpan sebahagian buku saya. Pada masa yang sama, saya teringat karya beliau Garis: Dari Titik ke Titik yang pada mulanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian diterbitkan oleh Petronas. Saya memiliki naskhah terbitan Petronas itu atas pemberian Datuk Baha Zain.

Karim Raslan memuatkan ulasan Garis: Dari Titik ke Titik dalam bukunya, Menjajat Asia Tenggara: Ceritalah 2, yang antaranya mengatakan bahawa kerapian intelektual yang digunakan Latiff untuk menyemai seninya dengan ketegasan dan semangat tanpa kepekaan kurang menyenangkan ramai orang lain. Pada bahagian lain, Karim menulis: “Memandangkan kepelbagaian bahasa, adat, dan sokongan kerajaan Malaysia kepada hak istimewa kaum perilbumi Melayu, Latif adalah salah seorang artis Melayu daripada segelintir artis yang karyanya yang terlepas daripada pencemaran moral akibat penyesuaian politik. Dalam semangat jati ekspresionisme, dia tidak mengharapkan pertolongan kerajaan dan tetap berada antara kejamakan Malaysia, meskipun dia tidak sahaja merupakan pelukis penting Malaysia, tetapi juga sebagai penulis sajak dalam bahasa Melayu yang paling disanjung.” Dalam ulasan itu, Karim juga memetik Krishen Jit bahawa penarikan diri Latiff daripada kerenah birokrasi merupakan satu rahmat terselindung: “Pertolongan kerajaan boleh menjadi kucupan pemusnah (maut).”

Pada tahun 1994 jika tidak silap, seorang penulis memberitahu saya bahawa Latiff Mohidin lebih bersifat menyendiri, tidak banyak berhubung dengan kawan-kawannya. Semasa saya mengetuai Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka antara tahun 2000 – 2003, kemudian berpindah ke Bahagian Penerbitan Sastera, seterusnya ke Bahagian Ensiklopedia, dan akhir sekali sebagai Pengarah Penerbitan, seingat saya nama beliau tidak banyak muncul. Ketika membaca buku beliau, Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, Petaling Jaya, 397 hlm.), saya teringat projek Ensiklopedia Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, saya beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan pakar bidang yang diketuai Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pada tahun 2005 dan 2006. Meskipun saya yakin bahawa Latiff pasti ada dalam “entri,” tetapi saya mendapatkan pengesahan daripada Haliza Jamaludin dan Mohamad Ibrahim, daripada bahagian berkenaan. Dalam ensiklopedia yang akan diterbitkan itu, Latiff diletakkan bersama-sama dengan dua orang lain lagi sebagai “penyair-pelukis.” Mereka lebih dikenali sebagai penyair pelukis, yang menghasilkan karya seni tampak dan puisi. Dalam perkembangan seni di Malaysia, lahir beberapa orang seniman yang berkarya dalam beberapa genre seni seperti seni lukis, arca, sketsa, kaligrafi, di samping berkarya dalam genre sastera seperti puisi, cerpen, dan novel.

Ketika membaca Catatan Latiff Mohidin, saya melakukan kerja sambilan penyuntingan manuskrip yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Esei Penghargaan V.I. Braginsky: Mengharungi Laut Sastera Melayu, satu daripada 22 makalah itu ialah “Dari Warna Konkrit ke Cahaya Absrtak: Penggunaan Topoi ‘Warna’ dan ‘Cahaya’ dalam Puisi A. Latiff Mohidin” oleh Arndt Graf, seorang sarjana Jerman. Dalam pengenalan makalah itu, Graf menulis, “sejak tahun 1960-an, A. Latiff Mohidin tidak hanya menonjol sebagai penyair unggul yang telah banyak dikaji oleh pakar kesusasteraan Melayu, antaranya V.I. Braginsky, tetapi juga sebagai pelukis Malaysia yang utama.

Dalam makalah itu, Graf mengkaji tiga koleksi sajak A. Latiff Mohidin, iaitu Sungai Mekong, Pesisir Waktu, dan Rawa-Rawa yang secara keseluruhan beliau simpulkan, “terdapat satu tendensi yang jelas dari fasa yang konkrit dan sedikit gelap pada tahun 1960-an, melalui fasa ceria dan senang warna hijau daripada tumbuhan, ke suatu fasa yang semakin memfokuskan corak cahaya abstrak. Benda dan warna individualnya semakin tidak lagi penting.

Meskipun Latiff Mohidin dikatakan menyendiri, namun daripada beberapa contoh di atas jelas bahawa beliau tidak terlepas daripada “radar penulisan dan kritikan.” Dan, dengan terbitnya Catatan, beliau muncul dari penyepian. Memetik haluan kata beliau dalam buku ini, “sebatang pena, sebuah buku Catatan; selebihnya keresahan hidup seharian,” boleh ditafsirkan bahawa melalui buku terbaharu ini, beliau juga menjelma dari keresahan.

Membaca Catatan Latiff Mohidin, yang segera terbayang dalam fikiran saya ialah Latiff sebagai penyair dan pelukis, dan Latiff sebagai pengembara. Antara Latiff sebagai penyair dan pelukis dengan Latiff sebagai pengembara, pastinya pengembaraan beliau menjadi tumpuan saya. Jika di peringkat antarabangsa, penulis Amerika masa kini, iaitu Robert D. Kaplan yang ulasan bukunya saya masukkan dalam blog saya, terkenal sebagai penulis kembara, Latiff meletakkan dirinya sebagai seniman kembara lebih awal lagi.

Meskipun saya boleh menelitinya dalam Garis: Dari Titik ke Titik, namun pada peringkat awal pembacaan, saya asyik mencari bab atau mana-mana bahagian yang berkemungkinan menceritakan kisah pengembaraan beliau di banyak negara dan merentas benua. Meskipun dalam Catatan itu beliau ada kalanya menyatakan di manakah beliau berada, tetapi yang menarik perhatian saya ialah “Bab 11: Peribadi.” Di bawah topik “kereta api meraung,” antaranya beliau menulis: Kemudian, sewaktu mengembara pada tahun 60-an dahulu dari Noongkhai; dari Frankfurt ke Milan (Inter Continental); dari New Delhi ke Amritsar; dari Jakarta ke Surabaya; dari London ke Manchester; dari Berlin ke Alsfeld; dari Gemas ke Pasir Mas; dari Amsterdam ke Paris; dari Tanjung Pagar dan seterusnya ke Bangkok.

Buku ini mengandungi 11 bab, iaitu Sastera Umum, Sastera Lokal, Sastera Luar, Bahasa, Pantun dan Pepatah, Puisi Umum, Puisi Khas, Puisi LM, Teater dan Filem, Seni dan Budaya, dan Peribadi. Kebanyakan catatan yang dinyatakan dalam Catatan ini berkisar pada tahun 1960-an dan 1970-an. Nyata bahawa topik yang dirangkumi agak luas: sastera, bahasa, budaya, dan seni yang merentas sempadan negara dan benua. Kaya dengan pengalaman pengarangnya, Latiff Mohidin, dan sarat dengan peringatan serta tunjuk ajar: “jangan mengambil upah, suatu hari nanti engkau akan terupah” peringatan beliau kepada sasterawan upahan. Kepada yang ingin menjadi penyair, beliau memberikan bimbingan, seperti yang dapat dirujuk dalam bab Puisi Umum, Puisi, dan Puisi LM.

Meskipun saya sedari bahawa saya tidak layak mengulas puisi, apatah lagi puisi Latiff Mohidin, namun membaca puisi beliau, “Di Sayong... Di Sayong” (hlm. 223) amat membangkitkan keterujaan pada diri saya kerana bahasanya sungguh segar dan retak katanya sungguh bertenaga, menepati penjelasan beliau untuk meleraikan rasa kecewa: “asalku tanah/ bentuklah aku/ tanpa banir/ tanpa sepuh/ dari dalam aku diurut/ dari dalam aku disurih/ mulut birai/ perutku lesung/ asalku tanah/ bentuklah aku/ sehingga leherku jinjang/ sehingga pinggangku ramping/ di sela-sela jari wanita/ aku dilahirkan/ di Sayong/ di Sayong...”

Membaca buku ini, bagi saya terasa seakan-akan membaca memoir anak kelahiran Negeri Sembilan yang pernah tinggal di Singapura, negara kota yang ayahnya memiliki rumah tumpangan, dan pernah melanjutkan pengajian di Berlin. Terlalu banyak tempat yang dilawatinya, dalam dan luar negara, dan terlalu banyak orang yang ditemui dan disabahatinya daripada pelukis kepada penyair kepada penulis kepada seniman; daripada Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan kepada Sasterawan Negara; daripada pejuang nasionalis kepada sosialis. Tidak kurang manusia biasa daripada bermacam-macam latar belakang dan yang mengharungi pelbagai ragam kehidupan. Sekali-sekala muncul nama tokoh korporat yang pernah merantau bersama-sama beliau. Daripada bangsawan kepada teater; daripada bengkel kepada seminar; daripada melukis di jalanan kepada pameran bertaraf dunia. Juga perlu dinyatakan di sini, dari Balai Budaya, ke Sudut Penulis ke kantin DBP.

Walaupun banyak catatan yang menarik, namun yang menarik perhatian saya ialah usaha Latiff Mohidin untuk menyatukan sains dengan seni, seperti yang beliau nyatakan dalam “seni dan sains di Universiti Sains Malaysia” (hlm. 293). Membaca idea beliau untuk mewujudkan “karyasama” yang akhirnya menemui jalan buntu, mengingatkan saya tentang “dua budaya” C.P. Snow yang saya bincangkan dan bahaskan dalam “Dua Budaya” yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya bulan ini.

Pada 7 Mei 1959, novelis, ahli sains, dan ahli politik tersebut menyampaikan syarahan “Rede Lecture” di Senate House, Cambridge. Syarahan beliau itu adalah tentang intelektual yang terputus antara sains dengan ilmu kemanusiaan. Beliau meratapi apakah yang beliau istilahkan “dua budaya” dalam masyarakat moden, iaitu sastera dan sains. Dalam syarahan yang terkenal dan bersifat ingin tahu itu, "The Two Cultures and the Scientific Revolution", Snow mendedahkan bahaya jurang yang luas antara ahlis sains dengan “intelektual sastera.” Dalam syarahan yang kemudiannnya dipetik secara meluas itu, beliau membezakan antara budaya ilmu kemanusiaan dengan sains semula jadi, dan beliau mengutamakan sains semula jadi. Pada tahun 1959, Snow melihat jurang perbezaan antara saintifik dengan elit intelektual, sebagai satu penghalang.

Dalam bukunya, The Uncertainties of Knowledge, Immanuel Wallerstein, turut mengupas dan membahaskan dua budaya, tetapi dengan kewujudan sains sosial. “Kita memasuki abad ke-21,” tulis beliau, “dengan ketidakpastian yang cukup besar tentang kesahihan sempadan disiplin dalam lingkungan sains sosial, dan persoalan sebenar untuk kali pertama dalam dua abad, kesahan epistemologi yang memisahkan ‘dua budaya’ dan oleh itu, de facto tiga kali ganda penyekatan ilmu ke dalam supercategories sains semula jadi, ilmu kemanusiaan, dan antara kedua-duanya, sains sosial.”

Dalam buku itu juga Wallerstein cuba menarik perhatian tentang keterhakisan keagungan sains yang kini dituduh bersifat ideologi, subjektif, dan tidak boleh dipercayai. Sains kini diserang. Isytihar Wallerstein. “Tidak lagi mempunyai rasa hormat tanpa dipersoalkan yang dinikmati sejak dua dekad lalu sebagai bentuk kebenaran paling pasti – bagi kebanyakan orang, hanya bentuk pasti kebenaran.” Tentang kebenaran yang diagung-agungkan oleh sains itu, Latiff Mohidin juga mengetengahkannya di bawah topik “mencari kebenaran”: “Dikatakan bahawa para saintis mencari kebenaran. Namun, seniman pun mencari kebenaran. Jadi, mereka sama-sama mencari kebenaran” (hlm. 297). Lebih 30 tahun lalu, Latiff mempersoalkan “kebenaran yang bagaimana?” yang jelas hingga kini tidak dapat diberikan jawapannya kerana memetik Wallerstein bahawa “dari segi kebenaran, sains kini mengalami nasib seperti teologi, falsafah, dan kebijakan rakyat (folk wisdom).”

Sebagaimana Wallerstein yang menganggap sains ditawan oleh ideologi, demikian juga Latiff: “Tetapi, hidup kita ini sudah pun berabad-abad lamanya berbelah bagi (dibahagi dua oleh berbagai-bagai ideologi/fahaman politik, ekonomi, budaya...” (hlm. 298). Namun, beliau menambah tentang dunia yang dipolarisasikan – sistem-dunia kapitalis: “Maka sebagai akibatnya, timbullah pembahagian ‘dunia yang berat sebelah’ kepada pemikiran Timur-Barat, pemikiran kampung-kota, pemikiran golongan kaya-golongan miskin, pemikiran sains-seni; pemikiran yang asyik bercanggahan atau dicanggahkan.”

Berbicara tentang seni yang diketengahkan oleh Latiff bahawa “seni juga mencerminkan khalayak/penontonnya, bukan hanya kehidupan seniman/penciptanya” yang sekan-akan membangkitkan keresahan pada dirinya, elok juga dipetik Salman Rushdie yang menulis “Dangerous Art” dalam The New York Times baru-baru ini yang membahaskan seni boleh jadi berbahaya. Terlalu kerap kemasyhuran seni terbukti lebih bahaya kepada seniman itu sendiri. “Kita mungkin boleh meletakkan pertaruhan kita terhadap seni untuk menewaskan penzalim,” tulis Salman.

Dunia dan zaman tidak terlepas daripada Latiff Mohidin yang melihatnya dari segi falsafah bahawa “Kuno dan moden: kita hidup dalam dua dunia, dalam dua waktu; setiap hari, setiap saat membaur, menganyam yang dulu dengan yang kini… Apabila yang kuno kelihatan moden, yang moden kelihatan kuno sekali” (hlm. 397).

Setelah muncul dari penyepian, menjelma dari keresahan, Latiff Mohiddin memberikan jaminan bahawa beliau “senantiasa ingin melukis dan menulis mengikut nafas dan larasku sendiri...” Nyata bahawa beliau belum lagi ditimpa penyakit “lumpuh karya,” iaitu tenaga kreatif sasterawan terasa menurun. Kepada penulis dan sasterawan yang mula tumpul segala-galanya, tumpul minda, tumpul pena, tumpul kreativiti, tumpul tenaga, Latiff bagaikan ingin menyuntik semangat agar mereka terus berkarya. Kepada penulis muda yang buku ini dedikasikan, Latiff memberikan pedoman dan bimbingan agar mereka menjelajah dunia tanpa sempadan dan mengharungi samudera terbentang luas kerana di situlah mengalir sumber ilham yang tidak pernah kering tentang manusia, tentang alam, tentang kehidupan.

Kepada teman di DBP yang mungkin resah dan gelisah bukan sahaja memikirkan masa depan fungsi teras utama, bahkan organisasi itu sendiri yang kini menjadi sasaran persendaan, ini pesan Latiff, “sastera tetap dibaca supaya kita kenal apa itu insan/manusia."

(Zulkifli Salleh pernah menjadi ketua di Bahagian Majalah, Bahagian Penerbitan Sastera, dan Bahagian Ensiklopedia, sebelum mengakhiri perkhidmatannya di DBP sebagai Pengarah Penerbitan. Laman blog beliau, Sistem Dunia boleh dilawati di sini.)

0 comments:

Post a Comment

Twitter

Follow lamansesawang on Twitter

Rakan Catatan Latiff Mohidin

Catatan yang Lain

Ikut Melalui e-mel

Powered by Blogger.